Sunday, 7 July 2013

Pengguna harus tahu hak mereka: Musbah

TANAM KELAPA ... Musbah menanam kelapa mawar di perkarangan Kompleks Sukan Botung, Kota Belud, sempena program tersebut.

PADAM API ... Musbah menyembur pamadam api pada demonstrasi cara-cara memadam api semasa majlis itu.


OLEH GINDANAU SAKAT/MR KODOK

KOTA BELUD: Pembantu Menteri Pertanian  Dan Industri Makanan, Datuk Musbah Jamli, berkata belia dan masyarakat perlu peka terhadap isu-isu kepenggunaan kerana dengan cara itu dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada semua golongan.

Katanya, penting bagi masyarakat  luar bandar supaya diberi pendedahan dan pendidikan berkaitan ilmu kepenggunaan lestari disamping melaksanakan aktiviti masyarakat.

Musbah berkata, ilmu-ilmu kepenggunaan boleh diperolehi melalui ceramah, seminar, bengkel, penerbitan dan juga melalui kerja-kerja amal seperti aktiviti bergotong-royong.

“Masyarakat pengguna terutama golongan belia merupakan nadi penggerak masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kepenggunaan Bersama Belia di Dewan Kompleks Sukan, dekat sini, pada Sabtu (6 Jun 2013).

Program Kepenggunaan Bersama Belia adalah anjuran bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan (PPDNKK) dan Persatuan Badminton Belia Kota Belud.

Program itu adalah pertama dianjurkan tahun ini di daerah ini dan, Kampung Tempasuk dipilih sebagai lokasi mengadakan program tersebut.

Menurut Musbah, bahawa lima program seumpama itu telah diadakan di beberapa kampung dan daerah di Sabah pada 2012.

Musbah yang juga wakil rakyat Tempasuk berkata, program kepenggunaan bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan belia dan masyarakat.

Turut hadir wakil timbalan pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Murtazzah Hj Manap, Presiden Persatuan Badminton Kota Belud, Amirul Jibar dan kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Tempasuk.


Pengguna mesti bijak jangan tertipu peniaga licik

BERI PENERANGAN … seorang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat memberikan penerangan kaedah memadam api daripada tong gas, sambil diperhatikan oleh Musbah (empat kiri), Murtazzah (tiga kiri) dan Amirul (dua kiri).

MENCUBA … seorang petugas media memadamkan api daripada tong gas dengan menutup corong gas menggunakan jari.

KOTA BELUD: Sebagai pengguna yang bertanggungjawab harus melengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat kepenggunaan supaya dapat melindungi diri dan keluarga daripada ditipu dan ditindas oleh peniaga yang tidak beretika.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan  (PPDNKK), Sabah, Suhaimi Mat Sari berkata selain itu, pengguna juga harus bijak, berimformasi dan tahu akan perkara-perkara asas hak-hak kepenggunaan supaya tidak mudah dikelirukan.

“Ilmu Kepenggunaan boleh didapati melalui ceramah-ceramah atau bahan-bahan pameran,” katanya pada Program Kepenggunaan Bersama Belia Peringkat Daerah Kota Belud di Dewan Kompleks Sukan Botung, dekat sini pada Sabtu (6 Jun 2013).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya Murtazzah Hj Manap.

Program itu adalah anjuran bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan dengan Persatuan Badminton Kota Belud yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Musbah Jamli.

Katanya proram tersebut bertujuan mendidik masyarakat khususnya golongan belia supaya memahami aspek-aspek perundangan kepenggunaan dan hak-hak mereka sebagai pengguna.

Suhaimi berkata, tujuan lain menyedarkan rakyat mengenai kuasa mereka sebagai pengguna dan, pada masa yang sama memberi penjelasan kepada masyarakat cara melindungi pengguna daripada ditipu oleh peniaga yang licik.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Yiton mewakili Pegawai Daerah Kota Belud, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR), Dewan Uundangan Negeri Tempasuk, Ali Udin Hj Paitu, Pegawai Kemajuan Rakyat (CDO) DUN Tempasuk, Siang Sibin dan Presiden Persatuan Badminton Kota Belud, Amirul Hj Jibal.