 |
SEORANG suspek berkerusi roda diiringi oleh polis masuk ke mahkamah hari ini. |
 |
GANI (kiri) bersama Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan, Datuk Nordin Hassan (dua kiri) dan seorang pegawai kanan polis masuk ke mahkamah.
|
 |
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan ketat ke atas orang ramai yang ini mendengar pertuduhan hari ini.
|
KOTA KINABALU: Sejumlah 29 individu
yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon kepada
mahkamah supaya semua tertuduh dibicarakan bersama.
Lapan peguam yang mewakili tertuduh tidak membantah
permohonan itu.
Hakim P. Ravinthran menetapkan 15 Julai bagi pengurusan
kes.
Beliau turut menetapkan 12 Julai untuk merekodkan
pengakuan seorang tertuduh, Habil Suhaili, yang tidak hadir kerana sedang
menjalani rawatan di Hospital Tawau.
Habil didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas di Jalan
Kastam Lama, Lahad Datu, antara 9 Feb dan 4 Mac, kesalahan yang memperuntukkan
hukuman penjara seumur hidup dan denda.
Antara 29 individu yang hadir di mahkamah ialah seorang
wanita tempatan yang berdepan kemungkinan penjara seumur hidup jika disabitkan
kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.
Norhaida Ibnahi, 46, didakwa melindungi sekumpulan
pengganas antara 9 Feb dan 22 Mac di sebuah rumah di Kampung Sri Melor, Bugaya,
Semporna.
Dua anak tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil
Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap
Yang di-Pertuan Agong.
Abd Hadi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di
Kampung Perigi, Semporna, antara 9 Feb dan 14 Mac manakala Abdul Majil didakwa
melakukan kesalahan itu di Jalan Lihak-Lihak, Semporna, antara 9 Feb dan 13
Mac.
Warga Filipina adalah antara tertuduh yang berdepan dua
pertuduhan sama seperti Abd Hadi dan Abdul Majil.
Datu Amirbahar Hushin Kiram, Rijmal Salleh, Saidili
Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohamad Ali Ahmad, Basil Samiul dan Rizman
Gulan didakwa melakukan kesalahan antara 9 Feb dan 10 April di Kampung Tanduo,
Lahad Datu; Kampung Muanad, Beluran dan Jalan Lihak-Lihak, Semporna.
Mereka didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan
Agong, kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup,
dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas, satu kesalahan yang boleh
dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika disabitkan.
Totoh Hismullah didakwa melakukan kesalahan sama antara 9
Feb dan 29 Mac di Kampung Simunul, Semporna.
Turut didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan
Agong ialah Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Masir Aidin, Ismail Yasin,
Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad
Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman alias Abdul, Tani Lahad Dahi
dan Julham Rashid.
Mereka didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama
Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi dan Timhar Hadir.
Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, didakwa
memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas manakala Salib Akhmad berdepan
pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan itu.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Gani berkata
beliau berharap mahkamah akan menetapkan venue yang lebih besar bagi perbicaraan
itu memandangkan tahap keselamatan ketat diperlukan dalam memastikan prosiding berjalan
lancar.
Tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah dengan menaiki empat
trak polis.
Tiga belas daripada individu terbabit, termasuk wanita itu
dan seorang tertuduh yang berkerusi roda, memakai ‘straight jackets’ dan topi
hitam yang menutup mata mereka.
Mahkamah diletakkan dalam kawalan keselamatan yang ketat
sejak awal pagi, dengan dikawal anggota polis bersenjata di dalam dan
sekeliling perkarangan mahkamah.