UNIT Pemusnah bom dari IPK Kepayan menggunakan robot untuk mengesan bom pada sebuah kereta yang dilontar bom malam Selasa. |
SEORANG anggota polis dari Unit Pemusnah Bom dari IPK Kepayan melakukan pemeriksaan pada bahagian belakang kenderaan yang rosak dilempar bom itu. |
PENAMPANG: Dua lelaki termasuk seorang remaja cemas selepas kenderaan yang mereka naiki dilontar bom ketika berada di pintu masuk sebuah tokong Cina berhampiran pasaraya besar Megalong di pekan Dongonggon, dekat sini, malam Selasa.
Dipercayai selepas itu, mangsa mendapati ada sebuah kereta Perodua Kancil menghampiri kenderaan mereka lalu salah seorang daripada suspek di dalam kereta terbabit melontar sesuatu ke arah kenderaan mangsa.
Difahamkan juga, suspek sempat memberhentikan kenderaan mereka tidak jauh dari tempat kejadian, dipercayai untuk menunggu bom terbabit meletup dan sejurus selepas letupan berlaku, suspek terus melarikan diri dengan memecut laju kenderaan mereka.
Bagaimanapun, dua mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan kerana sempat keluar daripada kenderaan, dan kerosakan pula hanya berlaku pada bahagian belakang kereta terbabit.
Kejadian itu turut menggemparkan penduduk di sekitar pekan Donggongon apabila bunyi letupan dikatakan boleh didengar sejauh hampir dua kilometer.
Selain itu, cermin tingkap pada beberapa premis yang terletak berhampiran turut pecah akibat impak letupan berkenaan, bagaimanapun, tiada kenderaan lain yang mengalami kerosakan kerana hanya kenderaan milik mangsa yang berada di situ ketika kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Pihak polis masih menyiasat motif sebenar serangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Tambah beliau, sepasukan anggota daripada Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan dan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.
No comments:
Post a Comment