KOTA BELUD: Pemberian geran bantuan pentadbiran RM3,000 setahun kepada 363 Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara membuktikan kerajaan menghargai serta prihatin terhadap semua usaha yang disumbangkan pasukan itu kepada negara.
Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata selain itu
setiap anggota pasukan bomba sukarela pula diberikan perlindungan insuran
bernilai RM15,000 jika ditimpa kemalangan atau kematian.
"Inisiatif itu bertujuan
memberi perlindungan serta sokongan kepada anggota pasukan bomba sukarela
supaya lebih bersemangat dalam memberi perkhidmatan cekap dan berkesan kepada
masyarakat.
"Saya berbangga kerana statistik
menunjukkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Sabah mempunyai 39 pasukan
bomba sukarela berdaftar dan aktif.
"Lebih membanggakan lapan
pasukan bomba sukarela itu berdaftar dan aktif di Kota Belud," katanya ketika
menutup Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Peringkat Negeri 2013, di Dewan Tun
Said, di sini, baru-baru ini.
Abdul Rahman yang juga Anggota
Parlimen Kota Belud berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini
mempunyai 363 pasukan bomba sukarela seluruh negara membabitkan 15,787 orang
anggota.
Katanya, ia adalah satu
pencapaian membanggakan kerana kewujudan pasukan bomba sukarela, dapat membantu
pasukan bomba menghadapi bencana alam, selain meningkatkan kesedaran terhadap
aspek keselamatan di komuniti terbabit.
"Setiap keperluan pasukan
bomba sukarela akan dinilai sebaiknya supaya keutamaan dapat diberikan kepada
yang amat memerlukan terlebih dahulu," katanya.
Sehubungan itu, tambahnya,
kementeriannya ingin melihat pasukan bomba sukarela bergerak maju seiring
pembangunan negara dan setaraf pasukan bomba sukarela di negara maju.
No comments:
Post a Comment