Monday, 10 June 2013

MDKB bakal jadi PBT terbaik tempoh lima tahun

OLEH GINDANAU SAKAT

KOTA BELUD: Majlis Daerah Kota Belud (MDKB) akan dijadikan sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbaik dan contoh agensi dalam tempoh lima tahun.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata untuk memastikan usaha itu tercapai, cadangan supaya MDKB memikirkan kaedah memperluaskan saiz kawasan perkadaran supaya hasil kutipan cukai agensi itu bertambah.

“ MDKB mempunyai pendapatan RM200,000 sebulan namun jumlah itu belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan pengurusan serta pembangunan kawasan perkadarannya,” katanya semasa mengadakan perjumpaan dengan ketuaketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di daerah ini, di Rumah Rehat Kota Belud, hari ini.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud tidak menafikan pelbagai cabaran dihadapi MDKB menuju ke arah menjadi PBT terbaik, namun semua itu boleh ditangani.

Katanya, langkah dilaksanakan ialah menambah keceriaan pekan Kota Belud, membina lebih banyak kemudahan awam seperti tandas, perhentian bas, seni taman, kebersihan, memastikan semua lampu jalan berfungsi dan meningkatkan tahap keselamatan.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa akan membuat kajian mencari lokasi sesuai menempatkan bandar baru Kota Belud.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pegawai PBT seluruh negara, sentiasa turun padang mengenal pasti permasalahan penduduk kawasan perkadaran mereka, sekali gus mencari jalan penyelesaian segera.

PERTEMUAN … Rahman (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Rumah Rehat Kota Belud.




No comments:

Post a Comment