Wednesday, 19 June 2013

TARIK BALIK IC DAN YANG BARU DIKELUARKAN DI SABAH: BUMBURING

KOTA KINABALU: Adun Tamparuli Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing hari ini muncul ahli politik kedua mencadangkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah supaya kad pengenalan (IC) ditarik balik dan yang baru dikeluarkan.

“Selepas IC ditarik balik (oleh Jabatan Pendaftaran Negara), orang-orang berkenaan perlu memohon semula dengan menggunakan sijil kelahiran mereka yang dapat membuktikan sama ada mereka pribumi Sabah,” katanya.   

Semalam, Anggota Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau memberitahu RCI pendekatan sedemikian dapat membantu mengenalpasti warga Malaysia tulen.

Disoal oleh peguam Datuk John Sikayun, selaku peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam Sabah, sama ada cadangan itu akan mengakibatkan kesan tertentu seperti implikasi sosial dan pindaan kepada undang-undang sedia ada, Bumburing berkata itu mungkin, tetapi tidak terdapat pendekatan tunggal bagi menangani dengan berkesan pertambahan kehadiran pendatang haram di negeri ini. 

Ditanya oleh pegawai pengendali Manoj Kurup mengapa berlaku pemberian IC secara haram di Sabah, Bumburing percaya ini untuk mengubah corak demografi pengundi. 

“Jika kita minta orang-orang berkenaan memohon semula IC, kita akan dapat menentukan bila ini (pemberian IC secara tidak sah) bermula,” kata beliau.  

Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah Mohd Zaki Harry Susanto memberitahu siasatan itu beliau ada mendengar desas-desus bahawa Adun Api-Api Christina Liew sebenarnya seorang Cina Indonesia dengan nama Christina Hadi Kusumo. 

Bagaimanapun, anggota panel RCI Datuk Henry Chin Poy Wu berkata semasa bertugas sebagai ketua polis daerah Tawau, beliau mengenali ibu bapa Liew yang datang dari Hong Kong ke Tawau di mana ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Kinabalu itu dilahirkan. 

Siasatan itu diketuai bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Selain Chin, bekas ketua polis Kuala Lumpur, anggota lain dalam panel lima orang ialah bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas setiausaha kerajaan negeri Datuk KY Mustapha, dan bekas timbalan ketua menteri Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas peguam besar Sabah.  




No comments:

Post a Comment