Thursday, 13 June 2013

Pelantikan ketua pembangkang di DUN Sabah tidak termaktub dalam perlembagaan


BINCANG... Salleh (kanan) berbincang dengan timbalan speaker, Datuk Johnny Mositun (kiri) sambil diperhatikan oleh Wakil Rakyat Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said berkata, pelantikan ketua pembangkang di DUN Sabah tidak termaktub dalam perlembagaan dan tiada dalam peraturan mesyuarat DUN Negeri.

Beliau berkata, sebaliknya pemilihan ketua pembangkang di DUN adalah berdasarkan konvensional.
“Jika parti pembangkang ingin berbuat demikian maka mereka boleh mengemukakan kepada pihak speaker dan kita akan ambil tindakan sewajarnya selepas syor itu dikemukakan.

“Bagaimanapun sehingga sekarang mereka (pembangkang) belum berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada terdapat bilik khas untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pembangkang Salleh berkata, bilik khas untuk Adun pembangkang juga disediakan selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

“Memang dari dahulu pun kita ada sediakan tempat untuk pembangkang dan sudah menjadi amalan biasa bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi di mana kedudukan pembangkang juga diiktiraf,” katanya.

Mengenai perbahasan sidang DUN Sabah yang dijangka hangat dengan kehadirian 12 Adun pembangkang, beliau meminta semua wakil rakyat supaya mematuhi peraturan mesyuarat sedia ada.

“Bagi saya, tiada bezanya sama ada jumlah Adun daripada Pembangkang banyak atau sedikit apa yang penting sesiapa pun yang melibatkan diri dalam perbahasan mestilah mengikuti peraturan sedia ada.

“Ini kerana perbahasan ini adalah perbahasan sihat, semua wakil rakyat masing-masing mempunyai pandangan dan pendapat. Apa yang penting mereka perlu bersikap profesional,” katanya.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata, beliau akan menjalankan tugas sebagai speaker secara profesional berpandukan peraturan sedia ada.

Perasmian pembukaan persidangan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada Isnin ini manakala persidangan DUN akan diadakan selama tiga hari bermula 18 Jun ini.




No comments:

Post a Comment