Tuesday, 18 June 2013

Sanloda mampu bantu pemilik tanah NT

BERSAMA AHLI SANLODA … Musa (tengah) bergambar kenangan bersama dengan ahli Persatuan Sanloda yang diketuai oleh Clarence (lima dari kiri) pada kunjungan hormat bersama Ketua Menteri di Pejabat DUN, hari ini.

KOTA KINABALU: Persatuan Pemilik Tanah Adat Sabah (Sanloda) yang akan dirasmikan pada Ogos nanti dijangka mampu membantu pemilik Tanah Anak Negeri (NT) untuk mengambil peluang dalam kemakmuran ekonomi negeri.

Menurut Pengerusi Malakun Holdings, Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun Sanloda, persatuan ini berupaya membantu para pemilik tanah NT diurus secara baik.

“Ramai kalangan masyarakat hanya memegang satu hingga dua ekar sahaja tanah NT ini, dan mereka tidak mampu untuk membangunkan tanah mereka.

“Tetapi dengan adanya gabungan dalam persatuan ini, mereka mampu membangunkan tanah itu bersama dan menikmati hasil ekonomi yang dimajukan itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata kini status tanah NT tidak bernilai jika dibandingkan dengan tanah yang berstatus CL atau Commercial Land.

Katanya, petani tidak boleh mendapatkan pinjaman daripada bank untuk tanah mereka yang berstatus NT.

“Kami juga akan mencari cara untuk mengatasi masalah itu bagi membantu petani kita yang mempunyai tanah NT di negeri ini,” katanya sambil mencadangkan agar Musa menjadi penaung kepada persatuan itu.

Selain itu katanya, Sanloda juga akan membantu kerajaan untuk menerangkan polisi yang diamalkan kepada rakyat khususnya pemilik tanah berstatus NT sehingga ke peringkat akar umbi. 




No comments:

Post a Comment