Pensyarah kanan Sosial Sains Universiti Malaysia Sabah
(UMS) Dr Dayang Suria Mulia berkata memperoleh IC merupakan strategi pendatang
tanpa izin untuk kelangsungan hidup di Sabah dan mereka bersedia membayar harga
tinggi untuknya.
“Mereka berpendapat dengan memiliki IC Malaysia akan
memudahkan mereka di sini kerana terdapat banyak kelebihan dengan memiliki IC,”
katanya.
Dayang Suria juga berkata pendatang tanpa izin mempunyai
saudara-mara di Sabah yang memudahkan mereka untuk datang ke sini.
Beliau menjelaskan saudara-mara berkenaan akan membantu
menjamin keselamatan mereka apabila mereka masuk ke negeri ini menerusi saluran
tidak sah.
Dayang Suria berkata dalam kajiannya mengenai pendatang
yang tidak mempunyai dokumen pada 1999, beliau mendapati mereka yang tidak
mempunyai dokumen berpendapat ia memberi kebebasan untuk mereka bertukar kerja.
Katanya jika seorang pekerja asing mempunyai permit untuk
bekerja dalam sektor perladangan, sekiranya dia mahu tukar ke sektor lain, dia
perlu memohon permit kerja yang baharu.
“Apa yang saya dapati menarik (dalam kajian itu), tidak
mengira betapa ketatnya undang-undang ke atas mereka, terdapat mereka yang
tidak bimbang, terdapat mereka yang tidak takut (kepada undang-undang).
Sesetengahnya memilih untuk tidak mempunyai dokumen,” katanya.
Dayang Suria juga menegaskan industri-industri di Sabah,
khususnya dalam sektor perladangan dan pembuatan, amat bergantung kepada
bekalan pekerja asing.
Beliau menjelaskan atas hakikat bahawa penduduk tempatan
tidak bersedia menjadi buruh kasar, majikan terpaksa bergantung kepada agensi
penyumberan luar bagi memenuhi keperluan mereka.
Ditanya oleh pegawai pengendali Datuk Azmi Ariffin adakah
industri akan lumpuh tanpa sokongan pekerja asing, Dayang Suria berkata
industri akan terjejas walaupun tidak lumpuh kerana ia memberi kesan kepada
produktiviti.
Sementara itu, anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian
India Muslim Sabah (DPPIMS) Mohd Ansar Maidin menafikan dakwaan dalam sebuah
blog tahun lepas bahawa DPPIMS terlibat dalam mendapatkan kewarganegaraan
Malaysia untuk pendatang tanpa izin.
Beliau berkata anggota DPPIMS sentiasa memastikan
mendapatkan permit kerja untuk pekerja asing mereka, dan tidak membantu mereka
mendapatkan kewarganegaraan.
Suruhanjaya itu diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan
Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Anggota panel juga terdiri daripada bekas
Naib Canselor UMS Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur
Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY
Mustapha dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J Luping, yang
juga bekas Peguam Besar negeri.
Prosiding siasatan bersambung tengah hari esok.
No comments:
Post a Comment