Thursday, 13 June 2013

YB diminta utamakan kepentingan rakyat


GANDINGAN MANTAP ... Musa bersalaman dengan salah seorang dari tiga   Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah sambil diperhatikan oleh Datuk Seri Yahya Hussein dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.


OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik untuk membela nasib rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata ini penting bagi menunaikan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka khususnya wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

“Semua Adun sebanyak 60 orang sudah selesai mengangkat sumpah dan ia berjalan dengan baik, teratur dan sempurna.

“Saya minta kepada semua mereka supaya menjalankan tugas masing-masing sebagaimana yang diamahankan oleh rakyat khususnya Adun BN.

“Kita anggap ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk menunaikan tanggungjawab kita kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Musa turut meminta kepada semua anggota dewan undangan negeri supaya mengikuti peraturan-peraturan ketika berbahas di DUN pada minggu depan.

“Saya minta semua  Adun supaya semasa berbahas pastikan berwibawa, ada sopan santun dan mengikut peraturan-peraturan dewan sedia ada.

“Ini adalah dewan yang mulia, oleh itu kita diminta menjalankan tugas kita seperti apa yang diharapkan oleh rakyat dengan baik, teratur dan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Perasmian penggal baru sidang DUN negeri Sabah akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di bangunan yang sama pukul 9.30 pagi pada 17 Jun depan.

Sesi perbahasan pula akan bermula pada 18 hingga 19 Jun dan sesi penggulungan pada 20 Jun ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), BN Sabah memenangi 48 kerusi daripada 60 kerusi DUN dan turut meraih kemenangan di 22 kerusi daripada 25 kerusi Parlimen.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said dan dua timbalannya serta tiga timbalan ketua menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan dan semua anggota dewan undangan negeri daripada BN dan Pembangkang.






No comments:

Post a Comment