Friday, 21 June 2013

Peguam bukan Islam dibenar bertindak sebagai peguam syarie

PUTRAJAYA: Peguam bukan Islam dibenarkan bertindak sebagai peguam syarie di semua mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Ini berikutan pengisytiharan Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983 mewajibkan mereka yang beragama Islam sahaja layak memohon sebagai peguam syarie telah melampaui batasan undang-undang (ultra vires) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin turut berpendapat bahawa perkataan 'mana-mana orang' yang dinyatakan dalam Seksyen 59(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 adalah termasuk orang-orang yang bukan Islam.

Seksyen 59(1) menyatakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh menerima mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang hukum Syarak menjadi peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah.

"Jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu," kata Abu Samah yang bersidang bersama hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali.
               
 Abu Samah berkata MAIWP telah bertindak melampaui kuasa apabila ia menggubal Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983.

Beliau berkata ia adalah pandangan mahkamah bahawa MAIWP tidak diberi kuasa untuk membuat peraturan-peraturan yang tidak selaras dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan).


Panel tersebut membuat keputusan bersejarah itu apabila membenarkan rayuan seorang wanita Kristian, Victoria Jayaseele Martin, memohon untuk mengetepikan keputusan MAIWP menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie atas alasan beliau adalah bukan Islam.

Victoria, 51, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), memfailkan rayuan selepas permohonan semakan kehakiman ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang berpendapat MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menetapkan peraturan menerima peguam syarie.

 Abu Samah membenarkan dua lagi perintah yang dipohon oleh Victoria.

Perintah tersebut ialah perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan MAIWP untuk enggan memproses permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie.

Selain itu perintah 'mandamus' bagi memaksa MAIWP menerima dan memperoses permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie tanpa mengambil hakikat bahawa beliau adalah seorang bukan Islam.

Beliau berkata permohonan Victoria telah dinafikan tanpa proses yang diberikan kepadanya kerana beliau bukan seorang Islam.

Bagaimanapun, Abu Samah membenarkan permohonan peguam MAIWP Datuk Sulaiman Abdullah untuk menangguhkan pelaksanaan kedua-dua perintah tersebut sementara menunggu permohonan MAIWP dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 2009, Victoria berkata melalui surat bertarikh 24 Ogos, 2009, beliau memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Katanya permohonannya ditolak oleh Jawatankuasa Peguam Syarie pada 9 Sept 2009 dengan alasan bahawa permohonannya tidak dapat diproses kerana syarat utama pemohon mesti merupakan seorang Islam.


No comments:

Post a Comment