KOTA KINABALU: Anggota
Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Seri Lajim Ukin sah sebagai ketua
pembangkang Sabah.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri
Salleh Tun Said, berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menerima maklum
pelantikan Lajim sebagai ketua pembangkang.
Katanya, pihaknya tiada halangan terhadap
pemilihan Lajim yang dibuat berdasarkan amalan konvensional.
Pada ketika ini, tambahnya, dewan menyerahkan
kepada mereka (pembangkang) kerana dewan tidak ada hak melantik dan bukan
tanggungjawab kita untuk menentukan siapa ketua pembangkang.
“Kita mengambil kira sokongan majoriti
pembangkang...kita take note tetapi bukan tanggungjawab kita menentukan
pelantikan ketua pembangkang di DUN,” katanya kepada pemberita selepas menerima
kunjungan Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk
Mohammad Mentek di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini,
hari ini.
Salleh berkata pihak dewan telah menerima surat
dari Lajim berhubung cadangan menjadi ketua pembangkang pada 11 Jun lepas.
Surat itu turut ditandatangani lima Adun
termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Parti Reformasi Sabah
(Star) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan beserta surat dari ibu pejabat PKR yang
ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
Sementara itu, Lajim, dalam sidang akhbar berasingan,
berterima kasih atas perhatian Speaker terhadap pelantikan beliau itu.
Beliau turut menafikan tiada kesepakatan di
kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk DAP, sebaliknya pelantikan itu
mendapat persetujuan kesemua yang berkenaan.
Pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas,
BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai
48 daripada 60 kerusi DUN.
Persidangan DUN kali ini menyaksikan 12 wakil
pembangkang daripada DAP, PKR dan Star.
No comments:
Post a Comment