![]() |
WAKILI PENDUDUK .... Penduduk yang hadir memperlihatkan sokongan terhadap wakil suara mereka ke mesyuarat berkenaan bergambar bersama di hadapan Pejabat Daerah (Lama) Kota Belud. |
![]() |
LAPORAN .... Sainggim (tengah) meneliti salinan laporan dapatan Pansa yang diserahkan oleh Peter (kiri) sambil Ketua Penerangan Biro Pansa Kota Belud Robert Laim memerhati.
|
OLEH RAPHIEL PINUS
Pendirian itu disuarakan ekoran kekecewaan
terhadap keputusan perbincangan dalam satu
mesyuarat khas dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Mohd Gari
Itam.
Mesyuarat Pertikaian dan Permasalahan
Tanah Kerajaan di Kampung Sarang, Dudar, Ulu Kulut dan Kukut Kota Belud
(seperti tercatit pada surat jemputan kepada wakil penduduk) itu diadakan di
Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah (Lama) di sini, pagi Rabu lalu.
Mesyuarat berkenaan membabitkan pemimpin
peringkat kampung terlibat dan juga pegawai-pegawai mewakili agensi-agensi
berkaitan termasuk wakil pemimpin rakyat dan wakil pihak keselamatan.
Pengerusi Badan Bertindak Tuntutan Tanah
Adat Ulu Kukut, Soluin Kandua dan Ketua Badan Bertindak Tuntutan Tanah Adat
Kampung Dudar Ulu / Dudar Laut Sainggim Mojungil selepas mesyuarat itu,
mendakwa agenda perbincangan kelihatan seolah-olah mencabar dan mempertikai kewajaran
tuntutan penduduk.
“Kami disuakan dengan pelbagai
penjelasan dan alasan antaranya dengan membentangkan seksyen berkaitan tanah yang
cenderung mempersalahkan tindakan penduduk mempertahankan tanah yang diteroka nenek
moyang dan dihuni keturunan kami sekian lama.
“Malah tuduhan bahawa kami sebagai penceroboh
di situ amat menyedihkan sebab generasi kami sudah mendiami kawasan itu sejak
lebih 100 tahun lalu.
“Badan bertindak yang kami tubuhkan juga
turut diperlekehkan apabila dianggap sebagai tidak sah. Pada hal badan ini
telah dipilih oleh penduduk mewakili suara mereka,” kata Soluin dan Sainggim.
Lebih mengecewakan kata Sainggim, kritikan
seorang daripada pemimpin rakyat pada mesyuarat itu yang menyifatkan tuntutan
penduduk sebagai ‘tindakan tidak waras’.
“Kenyataan pemimpin itu seperti
merendah-rendahkan hak penduduk kalangan Anak Negeri. Pada kami, situasi ini
semata-mata cubaan untuk melemahkan semangat penduduk,” jelas mereka sambil menegaskan
untuk tidak akan mudah beralah termasuk rela berhadapan meskipun sehingga ke mahkamah
sekiranya perlu.
“Sekarang inipun kami dianggap
penceroboh. Sekiranya tanah kami diambil, bagaimana generasi kami mahu
meneruskan kehidupan? Kalau Tanah Adat ini tidak diserahkan semula, kami akan
tetap dipersalahkan apabila menerokanya bagi tujuan pertanian kelak,” ujar mereka.
Menurut Soluin dan Sainggim, tidak dinafikan
bahawa pihak Safoda menawarkan 1,000 ekar tanah diagihkan kepada penduduk
tetapi enggan bersetuju kerana berpendapat keluasan itu tidak memadai
berbanding jumlah penduduk yang lebih daripada 1,000 orang.
Merekaturut menentang cadangan untuk menghadkan
kawasan perkampungan sebagaimana disuarakan oleh seorang daripada pegawai
jabatan berkaitan pada mesyurat berkenaan.
Seterusnya mereka memohon campurtangan
daripada wakil rakyat kawasan terbabit yang sebelum ini pernah menyatakan
sokongan terhadap permohonan penduduk untuk meminta Safoda mengeluarkan kawasan
mereka.
Dalam hal berkaitan, Soluin juga
meluahkan kebimbangan dengan penebangan kayu di kawasan berkenaan yang
dianggarkan seluas kira-kira lebih 2,000 ekar sehingga kini dilakukan oleh kontraktor
mendakwa dilantik Safoda.
Tambahnya, kontraktor berkenaan bukan
setakat menebang pokok komersial tertentu malah turut menumbangkan pohon
tanaman nenek moyang mereka di kawasan yang ‘diratah’ termasuk buah-buahan
milik penduduk.
Lebih malang tegasnya, turut rosak
akhibat penebangan itu adalah kawasan tadahan air di Kukut / Ulu Kukut yang didakwanya
telah diperakui kerajaan dan diiktiraf oleh Jabatan Kesihatan.
Sekiranya penebangan ini tidak dibendung
atau dihentikan segera , kawasan itu pasti akan ‘botak’ dalam masa terdekat,
katanya lagi.
Di perkarangan bangunan Pejabat Daerah
(Lama) Kota Belud menyaksikan kehadiran sekitar 30 penduduk kampung sebagai
sokongan terhadap wakil mereka ke mesyuarat berkenaan.
Selain ahli-ahli badan bertindak turut
serta dalam mesyuarat itu pemimpin masyarakat, ketua kampung dan pengerusi
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung-kampung terlibat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Anak
Negeri Sabah (Pansa) Peter Gibin semasa menyerahkan salinan laporan dapatan
Pansa mengenai kesahihan kewujudan pendudukan awal di kawasan terbabit yang
diperolehi semasa lawatan wakil persatuan di kampung-kampung terlibat sebelum
ini,berpesan supaya penduduk mengemukakan tuntutan mereka mengikut saluran sah
dan mematuhi undang-undang.
Katanya, beliau percaya pihak berkaitan
termasuk kerajaan akan memberi pertimbangan dan mengambil tindakan terbaik demi
kebajikan penduduk Anak Negeri terlibat.
“Saya yakin kerajaan dan pemimpin tidak
akan memperlekehkan tuntutan penduduk memandangkan pengembalian hak tanah
berkait rapat dengan kesejahteraan dan pembangunan khususnya mereka yang berada
di luar bandar dan kawasan terpencil sebagaimana diwar-warkan,” katanya.
Di samping menyatakan sokongan Pansa dalam hal berkaitan
tuntutan Tanah Adat, beliau berharap semua pihak termasuk agensi terlibat memberi
layanan sewajarnya kepada badan bertindak yang mewakili ribuan penduduk
terjejas apabila berurusan dengan mereka.
“Para penduduk asal tetap berhak
mendapat layanan selayaknya kerana saya pasti perkara yang mereka perjuangkan tentunya
berasas,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment