Wednesday, 19 June 2013

LAPORAN PERTEMPURAN TIDAK BETUL: KETUA ESSCOM

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mantek menyangkal dakwaan sebuah akhbar Filipina yang melaporkan berlaku pertempuran antara 400 anggota Sulu dan pasukan keselamatan negara di daerah Lahad Datu.

Beliau berkata, laporan akhbar Filipina itu tidak benar kerana tidak ada berlaku sebarang pertempuran di kawasan yang didakwa oleh akhbar berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa dakwaan sebuah akhbar di Filipina (The Philippine Star) yang mendakwa berlaku pertempuran berbalas tembak menembak antara pasukan keselamatan kita dengan pihak mereka pada 18 Jun lalu adalah tidak benar.

“Sebenarnya tidak berlaku sebarang pertempuran seperti yang didakwa. Ini satu dakwaan tidak berasas yang ditimbulkan dengan niat tidak baik.

“Ia juga bertujuan untuk menunjukkan keadaan di kawasan kita tidak selamat. Sehingga kini, semenjak berlaku kemasukan penceroboh di Kampung Tanduo Lahad Datu pada Februari lalu, tidak berlaku lagi sebarang pencerobohan kerana kawasan perairan kita dikawal ketat oleh pasukan pertahanan dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini. Terdahulu Mohammad membuat kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said di pejabat Speaker hari ini.

Media Filipina melaporkan bahawa kira-kira 400 lelaki bersenjata bertempur dengan pasukan keselamatan Malaysia di Kampung Tungku dekat Lahad Datu pada petang Isnin.

Jurucakap kumpulan bersenjata Sulu, Abraham Idjirani mendakwa pertempuran itu dilaporkan kepadanya oleh Agbimuddin Kiram yang juga adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram.

Mohammad berkata,  kenyataan yang dikeluarkan itu adalah berniat tidak baik dan memberi gambaran seolah-olah berlaku peperangan di Lahad Datu.

“Sebenarnya ini tidak benar... bagaimana berlaku pertempuran sekiranya tiada kemasukan (penceroboh). Ini kerana dari segi keselamatan, ia dikawal dengan begitu ketat dan bermakna tiada sebarang kemasukan penceroboh,” katanya.

Beliau berkata, Ops Daulat masih berterusan dengan kawalan keselamatan di pintu masuk negara sentiasa dikawal ketat bagi menghalang sebarang pencerobohan.

Katanya lagi selepas insiden pencerobohan di Kampung Tanduo Lahad Datu, tiada peperangan atau pertempuran berlaku di kawasan itu.

Sementara itu, berkenaan dengan laporan akhbar tempatan pada Selesa yang menyatakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun diculik sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata di Kampung Tanagian dalam kawasan Tanjung Labian, Lahad Datu pada petang Isnin, Mohammed berkata, penculikan tidak berlaku.

“Berdasarkan siasatan awal pegawai Esscom, mendapati ia tidak benar dan ia lebih kepada masalah keluarga … saya tidak boleh komen lebih kerana ini masih lagi dalam siasatan polis. Kita harap polis dapat membuat siasatan segera kerana kita pun ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Mohammad turut meminta penduduk di kawasan terbabit supaya mendapatkan maklumat  tepat sebelum menyebarkan sebarang khabar angin.

Sebelum ini terdapat laporan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Isnin lepas berhubung dakwaan Nurul Zulaikah Abdullah bahawa dirinya diculik sekumpulan lelaki dari rumahnya.

Nurul Zulaikah mendakwa dia kemudian ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit dan diikat pada sebatang pokok sebelum diselamatkan anggota keselamatan.


No comments:

Post a Comment