OLEH MARRYAN RAZAN
KOTA KINABALU: Pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini adalah tindakan pengganas yang cuba menggangu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
“Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis.
Beliau
menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam
Malaysia.
Sambil merujuk
kepada buku bertajuk “Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed
Sultanate of Sulu”, Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah
sebagai sebahagian dari Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama
iaitu:
“Pertama,
berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, “Sultan Sulu”
pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad
(completely and irrevocable ceded) wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah
untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan
(cession money) tahunan.
“Kedua,
sebarang tuntutan atau hak “Sultan Sulu” terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah
atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila
penduduk Sabah membuat keputusan sendiri (self determination) melalui pungutan
suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada Ogos hingga September 1963.
“Bangsa-Bangsa
Bersatu di bawah Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat Sabah menyatakan hasrat mereka
secara sukarela untuk merdeka dari penjajahan British dan justeru, bersetuju
bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.
“Berdasarkan
asas-asas yang saya nyatakan itu, kerajaan tidak akan membiarkan walau
seincipun tanahnya dituntut oleh “Sultan Sulu III” atau mana-mana pihak. Oleh
itu adalah tidak benar bahawa “Sultan Sulu III” berhak menuntut negeri Sabah,”
katanya.
Musa berkata
demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) yang bertanya
“adakah benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan
siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan tersebut” pada sesi soal jawab
Persidangan Dewan Undangan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN), di Likas,
dekat sini, hari ini.
Musa yang juga
pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan
diri sebagai “Tentera Di Raja Kesultanan Sulu” yang dianggarkan seramai 200
orang dikesan mencerobohi Lahad Datu pada 9 Feb lepas.
“Dalam kejadian
tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang
dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap
kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac,” katanya.
Beliau berkata
pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota
polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk-penduduk kampung
meninggalkan rumah kediaman mereka.
Bagi menjamin
keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan
Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan
keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan.
Musa berkata
penubuhan Kawasan Keselamatan Khas di Sabah atau ESSCOM (Eastern Sabah Security
Command) yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan
insiden pencerobohan itu.
Penubuhan
Esscom yang kini diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain
bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti
pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia,
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.
Ketua Menteri
berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada ESSCOM ialah untuk
meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur
Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan.
Katanya lagi,
10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) iaitu
merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan,
Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
“ESSCOM kini
berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan
matlamat yang telah ditetapkan,” katanya.
Musa berkata
bagi memastikan visi, misi dan matlamat penubuhan ESSCOM dapat dicapai, pihak
ESSCOM telah mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai
tahun 2013 hingga 2017.
“Ini termasuk
memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan pantai timur sabah secara bersepadu
bagi mewujudkan persekitaranh yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan
perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan
keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup
rakyat,” katanya.
Beliau berkata
tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan
masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan
menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada
perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah.
“Pihak ESSCOM
berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi
sebarang ancaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan
akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu
tidak akan berulang lagi,” katanya.
Musa berkata
kerajaan telah mengambil pelbagai langkah wajar ke arah mewujudkan prasarana
yang sesuai untuk menempatkan aset-aset pasukan keselamatan di bawah ESSCOM.
“Sebanyak lima
batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah, melibatkan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Di Raja Malaysia (Pasukan Gerakan Am).
“Pihak kerajaan
masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion
tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibupejabat ESSCOM dan
beberapa balai polis hanya bersifat sementara,” katanya.
No comments:
Post a Comment