Saturday, 26 May 2012

Spekulasi untuk singkir saya - Lajim


SANDAKAN: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Haji Lajim Ukin, menegaskan spekulasi dan khabar angin yang cuba disebarkan oleh pihak-pihak tertentu  bertujuan untuk menyingkirkan beliau daripada arus politik perdana.

Beliau menasihatkan rakyat tidak mudah terpengaruh dan mempercayai khabar angin kononnya beliau akan keluar daripada Umno sedangkan beliau masih lagi di dalam Barisan Nasional (BN), sebagai Timbalan Menteri dan Anggota Majlis Tertinggi (AMT) Umno Pusat.

"Ia cuma khabar angin saja. Setiap kali menjelang pilihan raya akan timbul bermacam-macam spekulasi ... bukan saya saja tetapi mungkin ramai lagi," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Malam Mesra Budaya sempena Pelancaran Persatuan Warisan Budaya Bumiputera Sabah (WARIS) di SK Sri Melanta Jaya, Jalan Bokara, di sini, malam Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menambah bahawa khabar angin ini mungkin disebabkan kerana kelantangannya bersuara dalam sesuatu isu.

Beliau yang juga Presiden WARIS membidas sikap dan tindakan sesetengah pihak yang padanya sebagai tidak bertanggungjawab.

Mengenai persatuan itu, Lajim menjelaskan, penubuhan WARIS bukan untuk bersaingan dengan persatuan-persatuan kebudayaan sedia ada di negeri ini.

"WARIS yang diwujudkan beberapa tahun lalu sebagai wadah perjuangan untuk masyarakat Bumiputera bagi membolehkan kerajaan memberi perhatian agar nilai semua budaya dipertahankan.

Lajim berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh negeri ini untuk mempromosikan adat dan budaya Bumiputera supaya kerajaan mendengar suara Bumiputera.




Wednesday, 9 May 2012

Pegawai ugut peneroka, Jaipin buat laporan polis


TUNJUK LAPORAN POLIS ... Jaipin (kanan) bersama dengan salah seorang peserta peneroka Tungking Mangajai menunjukkan salinan laporan polis.


BELURAN: Aktivis masyarakat Jaipin Mohigal, 62, membuat laporan polis terhadap dua orang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Pitas kerana mengugut mengusir dan menangkap peneroka Tanah Hak Adat Negeri (NCR) Kampung Koiboton Darat Tangkarason, Beluran bertujuan untuk menimbulkan ketakutan.
Jaipin membuat laporan itu di Balai Polis Beluran pada 4 Mei lalu, jam 7 malam kerana tidak senang dengan tindakan dua pegawai itu.
Katanya, tujuan lain laporan polis itu dibuat untuk keselamatan para peneroka serta harta benda mereka, di samping sebagai rujukan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan pihak-pihak berkenaan mengenai status/sejarah yang berlaku di kawasan itu sebelum ini.
Menurut Jaipin, pada 3 Mei lalu, jam 1.30 petang  pegawai berkenaan datang ke kampung itu menemui para peneroka NCR dan memberi amaran dengan berkata: “Kalau kamu tidak lari dari kawasan ini, besok kami datang tangkap kamu.”
Sementara rakan pegawai itu pula mengugut akan memusnahkan tanaman getah mereka jika mereka meneruskan penerokaan di ‘Hutan Simpan’ itu.
Ketika kejadian beliau (Jaipin) tidak bersama dengan peneroka kerana berada di Kota Kinabalu sebab mempunyai urusan lain. Beliau mengetahui perkara itu apabila diberitahu oleh anaknya yang juga peneroka di kampung itu.
Jaipin yang mengetuai peneroka NCR Kg Koiboton Darat dalam laporan polisnya antaranya mendakwa tindakan mereka meneroka tanah itu kerana telah mendapat restu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Datuk Dr Maximus Ongkili.
Jaipin berkata, apabila peneroka memberitahu pegawai itu bahawa mereka mendapat kebenaran Ketua Menteri Sabah untuk mengusahakan tanah NCR itu, pegawai berkenaan berkata: “Musa Aman (Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman) cakap saja itu, itu politik...tidak betul.”
Seorang daripada peneroka meminta pegawai itu supaya menghubungi Ketua Menteri untuk mendapatkan pengesahan, bagaimanapun pegawai-pegawai berkenaan tidak berbuat demikian sebaliknya bergegas meninggalkan kawasan tersebut.
Apa yang peliknya, kata Jaipin, pada keesokan harinya (4 Mei) seorang kakitangan dari Jabatan  Perhutanan Pitas datang menemui para peneroka NCR Kg Koiboton Darat meminta supaya mereka (peneroka) mengusahakan tanaman yang sedia ada dan tidak memperluaskan kawasan penerokaan mereka.
Aktivis itu juga berkata bahawa mereka sudah lama meneroka kawasan tanah NCR itu sejak 1980-an lagi dan sehinggalah sekarang. Di mana kawasan NCR itu sudahpun ditanami dengan pelbagai jenis tanaman dan kini telah mengeluarkan hasil.
Difahamkan, bahawa kawasan tanah NCR Kg Koiboton Darat sebelum ini tidak termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Paitan. Hanya apabila wujudnya syarikat FMU (Begaraya) di kawasan itu baharulah ianya dimasukkan dalam geran FMU tersebut.
“Sebelum wujudnya syarikat FMU di kawasan itu terdapat lebih 30 buah rumah penduduk dan kini hanya tinggal lima buah rumah, apabila Jabatan Perhutanan Sabah bertindak merubuh rumah-rumah  berkenaan dan memusnahkan tanaman penduduk,” jelas Jaipin ketika ditemui di kediamannya di Kota Kinabalu, hari ini.
Penduduk juga telah membina sebuah jambatan kereta diperbuat daripada kayu bagaimanapun jambatan itu dirosakkan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan.
Menurut Jaipin lagi, Jabatan Kesihatan Beluran pernah memberi bantuan tangki air kepada penduduk di kampung itu.
Difahamkan juga bahawa pihak kerajaan sekarang telah merancang untuk membina rumah-rumah PPRT di kampung itu, di mana tapak rumah sudah dikenal pasti dan hanya menunggu pelaksanaannya.
Jaipin memberitahu bahawa beliau dan peneroka lain mensasarkan meneroka seluas 1,500 ekar dengan 100 orang peserta di tanah NCR Kg Koibiton Darat dan, berharap kepada kerajaan yang ada sekarang supaya bertimbang rasa terhadap peneroka yang tidak memiliki tanah bergeran.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lalu telah meluluskan pindaan Undang-undang Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 yang antara lain membolehkan penduduk pedalaman dan kawasan terpencil di negeri ini memiliki tanah hutan simpan yang sudah lama diteroka dan diusahakan mereka.
Melalui pindaan itu juga, lebih ramai penduduk berpeluang memajukan sektor pertanian di kawasan yang sudah diteroka berpuluh-puluh tahun sebelum ini.
Pindaan itu membenarkan status tanah simpan ditukar kepada tanah negeri yang membenarkan penduduk asal atau sudah lama menduduki tanah terbabit untuk terus tinggal di situ selain mengusahakannya sebagai sumber utama rezeki.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, dalam sidang medianya di bangunan DUN Sabah di sini, selepas sidang itu berkata: “Jika ada rizab hutan sudah diduduki rakyat dengan begitu lama, kita sedia menukarkannya kepada tanah negeri bagi membolehkan mereka terus tinggal di situ.”
Musa juga meminta Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) buat penilaian. Begitu juga dengan wakil rakyat, harus bertanggungjawab dan sahkan penduduk sudah lama tinggal di tanah rizab berkenaan.