SANDAKAN: Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Haji Lajim Ukin, menegaskan spekulasi dan khabar angin yang cuba disebarkan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan untuk menyingkirkan beliau daripada arus politik perdana.
Beliau menasihatkan rakyat tidak mudah terpengaruh dan mempercayai khabar angin kononnya beliau akan keluar daripada Umno sedangkan beliau masih lagi di dalam Barisan Nasional (BN), sebagai Timbalan Menteri dan Anggota Majlis Tertinggi (AMT) Umno Pusat.
"Ia cuma khabar angin saja. Setiap kali menjelang pilihan raya akan timbul bermacam-macam spekulasi ... bukan saya saja tetapi mungkin ramai lagi," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Malam Mesra Budaya sempena Pelancaran Persatuan Warisan Budaya Bumiputera Sabah (WARIS) di SK Sri Melanta Jaya, Jalan Bokara, di sini, malam Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menambah bahawa khabar angin ini mungkin disebabkan kerana kelantangannya bersuara dalam sesuatu isu.
Beliau yang juga Presiden WARIS membidas sikap dan tindakan sesetengah pihak yang padanya sebagai tidak bertanggungjawab.
Mengenai persatuan itu, Lajim menjelaskan, penubuhan WARIS bukan untuk bersaingan dengan persatuan-persatuan kebudayaan sedia ada di negeri ini.
"WARIS yang diwujudkan beberapa tahun lalu sebagai wadah perjuangan untuk masyarakat Bumiputera bagi membolehkan kerajaan memberi perhatian agar nilai semua budaya dipertahankan.
Lajim berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh negeri ini untuk mempromosikan adat dan budaya Bumiputera supaya kerajaan mendengar suara Bumiputera.
No comments:
Post a Comment