Monday, 4 June 2012

Inkuiri nasional Suhakam mengenai hak tanah Orang Asal di Sabah

KOTA KINABALU:  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan meneruskan siri perundingan dan pendengaran awam berhubung inkuiri nasional mengenai hak tanah Orang Asal di Sabah, selama 14 hari sehingga 16 Jun ini.
Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata pendengaran awam itu untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam mengenai kes-kes yang telah direkodkan selain membantu merangka syor-syor yang bersesuaian berhubung isu tanah adat masyarakat Orang Asal di negeri ini.
“Proses pendengaran awam bermula dengan memanggil saksi-saksi daripada komuniti dan diikuti saksi-saksi daripada pihak syarikat yang berkenaan mengikut kategori isu.
“Setelah semua saksi dipanggil, saksi daripada pihak kerajaan akan dipanggil untuk memberi respons dan juga menjawab mana-mana soalan berkaitan undang-undang, dasar dan prosedur daripada ahli panel dan perunding bebas,” katanya dalam ucapan sebelum mempengerusikan inkuiri itu di sini.
Sesi hari ini disertai dua Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha’ani Abdullah dan Jannie Lasimbang dan seorang konsultan bebas Tan Sri Simon Sipaun.
Hasmy berkata sebelum ini, Suhakam turut mengadakan Konsultasi Awam Sabah di beberapa dearah iaitu Keningau, Tenom, Penampang, Kota Marudu, Tawau dan Sandakan dari 17 Jun hingga 5 Julai tahun lepas.
Katanya seramai 2,875 peserta menghadiri konsultasi itu dan 407 aduan direkodkan pasukan Inkuiri Nasional mengikut lapan kategori iaitu pentadbiran, perladangan, hutan simpan, projek pembangunan, tadahan air, taman-taman Sabah dan pampasan pengambilan tanah.
“Inkuiri ini akan meneliti punca masalah berhubung hak tanah adat (NCR) kepada tanah dengan cara komprehensif dan kita membuat analisa dan akan menyediakan laporan bagi membantu kerajaan menyelesaikan isu ini,” katanya.
Suhakam membuat pengumuman mengenai Inkuiri Nasional ini pada 10 Mei tahun lepas.

No comments:

Post a Comment