Wednesday, 20 June 2012

Penduduk Pampang Poring ‘tersorok’ rayu pembelaan




EMELIA (kiri) bermain bersama dua rakan semasa bercuti hujung minggu di kampung mereka.

KOHIMBANG



(Laporan Khas Bahagian 1)


OLEH RAPHIEL PINUS

KOTA MARUDU: Diukur dari sudut jarak, Kampung Pampang Poring dalam daerah ini hanya sekitar 25 kilometer dari pekan terdekat Kota Marudu, namun keadaannya seakan perkampungan jauh terperosok di pedalaman.
Mungkin terlepas pandang disebabkan terletak di celah bukit-bukau mengakibatkan kurang mendapat perhatian oleh pihak berwajib, kampung ini setakat memiliki kemudahan asas yang terhad.
Walaupun baru-baru ini jalan raya telah dibuat sehingga kampung terbabit, namun keseluruhan jalan yang kurang sempurna akibat kurang penyelenggaraan masih tidak membawa perubahan ketara di kampung itu mahupun penduduknya.
Jalan berkeadaan paling teruk sejauh kira-kira 10 kilometer bermula dari Kampung Torintidon selepas menyeberangi Sungai Torintidon (nama yang dikenali penduduk sekitar).
Bukan setakat jalan yang curam, licin dan sememangnya berisiko kemalangan terutama pada musim hujan penduduk Kampung Gontoi dan Pampang Poring khususnya serta pengusaha kebun di seberang terpaksa merisikokan nyawa kerana Sungai Torintidon tidak mempunyai jambatan untuk kenderaan selain sebuah jambatan gantung bagi pejalan kaki.
Menyeberangi dengan meredah air sungai sambil memandu kenderaan dan berpenumpang memang sentiasa mengundang rasa was-was kerana sungai berkenaan telah dikenal pasti sering berlaku banjir kilat pada musim hujan.
Sebelum sampai ke Kampung Torintidon, beberapa kampung lain dilepasi antaranya Kampung Soronsob, Kampung Kionsom Baru, Kampung Lama, Kampung Panaita, Kampung Pandawar, Kampung Lampada dan  Kampung Labak.
Sudah pasti dengan keadaan sedemikian memberi kesan terhadap pembangunan di kampung-kampung berkenaan termasuk penduduk Kampung Gontoi berdekatan Kampung Pampang Poring terutamanya kalangan pelajar.
Para pelajar berasal di Kampung Pampang Poring seramai lebih 30 orang tertekan kerana di awal usia tujuh tahun sudah terpaksa menanggung keperitan sedemikian yang mungkin tidak pernah terbayangkan oleh kanak-kanak seusia mereka di kawasan lain.
Mereka sama ada terdesak untuk berjalan kaki lebih kurang tiga hingga empat jam ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lampada atau terpaksa berjauhan  dengan keluarga dan tinggal di asrama disediakan di sekolah berkenaan.
Sebelum asrama didirikan, para pelajar terpaksa tinggal bersama saudara mara atau menumpang di rumah penduduk kampung berdekatan sekolah disebabkan perjalanan yang sukar selain daripada kekurangan kenderaan.
“Walaupun kini agak mudah kerana telah mempunyai asrama untuk didiami berhampiran sekolah tetapi kami masih perlu berjalan kaki sehingga tiga jam pada jarak kira-kira 15 kilometer sama ada balik ke kampung atau kembali ke sekolah pada setiap hujung minggu disebabkan ketiadaan kenderaan,” keluh seorang pelajar Tahun 1 di SK Lampada, Emelia Era Kondidi.
Bagi kira-kira 250  penduduk Kampung Pampang Poring melibatkan lebih kurang 28 keluarga, mereka hanya bergantung kepada perkhidmatan sebuah kenderaan usang jenis pacuan empat roda milik seorang penduduk di situ apabila mempunyai urusan di luar kampung.
Apabila kenderaan tidak dapat digunakan, ada kalangan mereka yang terpaksa menyusuri sungai mengambil masa sehingga enam jam berjalan kaki sehingga ke Kampung Soronsob apabila keadaan memaksa.

Dahagakan pembangunan


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pampang Poring Kohimbang Bulangkis, penduduk di kampungnya amat memerlukan perhatian dari segi pembangungan.
Katanya mereka di kampung itu kebanyakannya mengusahakan padi huma, berburu serta menangkap ikan sebagai sumber makanan juga punca ekonomi keluarga berasa seakan diabai dan terpinggir daripada pembangunan berbanding kampung lain dengan jarak sama dari pekan terdekat.
“Generasi muda terutamanya belia telah meninggalkan kampung ini bekerja di luar meninggalkan hanya golongan tua dan kanak-kanak di sini,” katanya sedih mengenangkan nasib kampung berkenaan.
Jelasnya situasi itu sudah tentu boleh dielak sekiranya kampung itu memiliki sekurang-kurangnya sistem perhubungan yang baik.
“Bagi kami generasi tua tidak akan berganjak dari sini dan terus mendiami perkampungan warisan daripada leluhur kami,” tegasnya.
Kohimbang ditemui semasa kunjungan wakil Persatuan Anak Negeri Sabah (Pansa) diketuai Presidennya Peter Gibin turut disertai Ketua Biro Pansa Kota Marudu Ahzveens Akian, Ketua Perhubungan Pansa Kampung Soronsob Unggak Modiu dan beberapa ahli jawatankuasa Pansa Pusat ke kampung itu baru-baru ini.
Memberi gambaran lanjut mengenai kampung itu dalam taklimat ringkas kepada rombongan Pansa, Kohimbang yang juga Ketua Perhubungan Pansa Kampung Pampang Poring, memberitahu kampung itu juga menerima bantuan yang agak terhad daripada pemimpin mahupun kerajaan.
Setakat ini katanya, selain daripada jalanraya dan bantuan untuk membina rumah ibadat yang baharu di situ, mereka hanya memiliki sebuah set generator sumbangan Pansa Kota Marudu. Sementara penduduk lain mendapatkan kemudahan seumpama itu untuk kegunaan sendiri.
Baru-baru ini, Pansa Kota Marudu melalui ketua bironya telah menyumbangkan set generator berkenaan selain daripada zink dan alat kelengkapan dapur bagi manfaat penduduk seterusnya mengumumkan sumbangan set alat muzik bagi kemudahan rumah ibadat di kampung itu.
Bagaimanapun, jelas Kohimbang bantuan sama ada oleh perseorangan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada mereka tidak seharusnya dijadikan alasan mengenepikan hak mereka mendapat pembelaan dari pihak kerajaan.
“Kami benar-benar dahagakan pembangunan terutamanya bekalan eletrik yang belum sampai ke kampung ini.
“Kalaupun tiang elektrik telah didirikan sehingga ke Kampung Gontoi (kira-kita 1 kilometer) tetapi sehingga sekarang bekalan masih belum dialirkan di sana, apatah lagi ke kampung kami,” ujanya.
Malah, disebabkan kedudukan sistem komunikasi juga terjejas sama termasuk melibatkan talian telekomunikasi dan siaran televisyen mengakibatkan penduduk kekurangan sumber maklumat.
“Untuk melanggan siaran prabayar tentunya jauh dari kemampuan apatah lagi kemudahan dinamakan internet,” jelas beliau.

Sebumbung lima keluarga


Antara lain, masalah utama dihadapi penduduk di kampung itu adalah memiliki rumah sendiri. Kerumitan itu dapat dilihat apabila mendapati ada antara penduduk bersesak mendiami sebuah rumah sehingga lima keluarga.
Kebanyakkannya terdiri daripada adik beradik yang masing-masing sudah berkeluarga tinggal sebumbung di rumah orang tua mereka.
Keluhan kebanyakan keluarga ini diajukan kepada penulis yang juga ahli jawatankuasa Pansa Pusat pada kunjungan baru-baru ini.
Sehubungan itu, mereka benar-benar berharap kerajaan ‘menoleh’ dan mempertimbangkan pemberian rumah kepada penduduk menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telahpun diberikan kepada penduduk-penduduk di kebanyakan kawasan lain.
“Sudah semestinya kami berasa agak janggal tinggal bersama-sama dalam sebuah rumah kecil sehingga lebih 30 orang kesemuanya tetapi kami tidak ada pilihan lain kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri,” kata seorang daripada anak Sopitur Madali, 60, satu daripada keluarga terlibat.
Majain Bulugu, 27, yang sebelum ini tinggal di rumah bapanya Bulugu Torimo, 63, bersama adik beradiknya yang lain turut berkeluarga, terpaksa berpindah bersama isteri dan anak-anak ke rumah kosong milik makciknya di lokasi berhampiran demi keselesaan.
Demikian juga beberapa keluarga lain yang terpaksa berkongsi rumah akibat ketidak upayaan memiliki rumah sendiri disebabkan terlalu tua atau uzur, mahupun ketidak mampuan dari segi kewangan.
Sebuah lagi keluarga, Dunis Bakain, 47, kini terpaksa tinggal bersama ibunya apabila rumah yang didiaminya bersama isteri dan anak terbakar sebelum ini manakala rumah asalnya terlalu usang untuk didiami.
Penduduk lain yang turut menghadapi masalah memiliki rumah selesa ialah Kundapit Batawang Yunggi, 75 dan pasangannya Komindi Lahangan Konggui, 60.
“Walaupun seorang daripada kami berjaya memohon untuk menerima bantuan ‘Orang Tua’ tetapi masih sukar bagi kami kerana terpaksa berususan di Pekan Kota Marudu setiap kali. Diburukkan lagi dengan keadaan kesihatan yang sering tidak mengizinkan,” luah Kundapit.
Lousin Magau, 53, sepuluh sekeluarga dengan seorang daripada anaknya bersekolah juga menghadapi dilema yang sama.
Kelihatan teruja dengan kehadiran rombongan Pansa, kesemua penduduk terlibat menyatakan harapan baharu untuk menyanpaikan permasalahan mereka kepada pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.
Keseluruhannya, Kohimbang menganggarkan sekurang-kurangnya sembilan keluarga di kampung ini benar-benar memerlukan perhatian kerajaan terutamanya bantuan PPRT.
“Bukan tidak pernah mengemukakan permohonan sebelum ini tetapi, mungkin disebabkan sistem jalanraya yang teruk menghalang penyaluran sebarang bantuan,” tekanya merumuskan sekiranya jalanraya ke kampung itu dapat dinaik taraf, masalah dihadapi penduduk dapat diatasi secara berperingkat.
“Kami benar-benar mengharapkan masalah ini sampai ke pengetahuan kerajaan seterusnya mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi sambil menggesa pemimpin rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek dan Parlimen Kota Marudu, turun padang meninjau masalah penduduk Kampung Pampang Poring.


USANG .... Dunis bersama isteri dan anak menunjukkan bekas kediaman mereka yang terlalu usang untuk didiami.

SESAK .... Peter (kiri) ketika melawat sebuah rumah yang didiami beberapa keluarga di kampung itu.

MENUMPANG .... Pasangan muda Majain dan isteri bersama anak tinggal di rumah makciknya supaya lebih selesa.

BERISIKO .... Kenderaan terpaksa meredah air Sungai Torintidon untuk ke Kampung Pampang Poring.













No comments:

Post a Comment