Showing posts with label Genaral. Show all posts
Showing posts with label Genaral. Show all posts

Tuesday, 28 May 2013


PENGHORMATAN TERAKHIR … Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kanan) memberi penghormatan terakhir kepada adik keduanya, Petrus Paimil, 71, yang telah meninggal dunia pada 25 Mei, 2013.

Mendiang disembahyangkan di Gereja St. Theresa, Tambunan  sebelum dikebumikan di tanah perkuburan gereja berkenan.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap wakil rakyat Tambunan, turut menerima ucapan takziah daripada orang ramai.

Hadir sama memberi penghormatan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Maximus Ongkili dan kelihatan sama Timbalan Presiden PBS, Datuk Alimudin Kaida.

Pairin dan keluarga akan berkabung sehingga ‘monumpoli’ (buka pantang) pada 30 Mei ini.
  

Thursday, 23 May 2013

Rakyat asing dakwa dapat KP melalui Projek IC

KOTA KINABALU:  Keluarga rakyat asing mengatakan mereka menerima kad pengenalan biru di Sabah melalui ‘Projek IC’ sebelum memohon untuk pendaftaran lewat bagi anak-anak mereka,” kata seorang pegawai mahkamah kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan dengan pendatang tanpa izin di sini hari ini.

Melissa Chia, pendaftar kanan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memberi keterangan hari ini bahawa rakyat asing, kebanyakannya warga Filipina dan Indonesia tanpa surat beranak Malaysia, membuat permohonan seperti itu untuk anak-anak mereka apabila beliau bekerja sebagai magistret di Tawau dan Semporna semenjak 2008.

“Mereka kata, ‘Saya tidak mempunyai surat beranak kerana dapat IC melalui Projek IC,’” kata Chia semasa RCI hari ini (23 Mei, 2013).


“Mereka kata, ‘Jadi semasa saya bekerja di kem atau industri kayu, terdapat kumpulan yang memberi saya borang untuk memohon. Jadi saya ikut dan pohon. Saya dapat IC biru,” tambahnya apabila ditanya apa maksud keluarga rakyat asing dengan “Projek IC.”


Chia mengatakan beliau tidak mempunyai angka rasmi berapa ramai warga asing memberitahunya mereka menerima kad pengenalan biru melalui 'Projek IC'.


Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui 'Projek IC', di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.


Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke1985, menafikan kewujudan 'Projek IC'.


Sindiket melibatkan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mendapat RM11 juta hasil daripada penjualan kad pengenalan (IC) kepada pendatang haram di Sabah, kata Pegawai Polis Kanan Cawangan Khas (SB) Ahmad Fauzan Mohamad Febuari lalu.


Sebelum itu bekas pengarah JPN Ramli Kamarudin, bagaimanapun, memberitahu RCI pada Januari bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengarahkan dirinya untuk mengeluarkan resit JPN, yang sama dengan nama dan nombor kad pengenalan pengundi berdaftar kepada pendatang.


Ramli telah mengatakan lebih kurang 200 resit JPN dikeluarkan di lima atau enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya negeri 1994.


Pilihan raya negeri 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi DUN.


Akan tetapi beberapa ADUN PBS belot menyertai Barisan Nasional (BN) sejurus selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.


Ikuiri di hadapan lima orang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung pada Isnin. - The Malaysian Insider  

KDN rampas akhbar Pakatan Pakatan hari ini

KUALA LUMPUR: Akhbar milik parti Pakatan Rakyat (PR) PAS, PKR dan DAP dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kawasan pagi ini (23 Mei, 2013) di seluruh negara.

Harakah milik PAS, Suara Keadilan milik PKR dan The Roket milik DAP dirampas oleh pegawai-pegawai KDN di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.
“Ya Harakah dirampas di beberapa tempat pagi ini,” kata pengarang Harakah Zulkifli Sulong apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Harakah yang dirampas adalah Edisi Jumaat 24-26 Mei yang memaparkan tajuk muka depan “GST hadiah BN untuk rakyat”.
Portal Harakahdaily melaporkan Pengurus Pemasaran Harakah, Ahmad Faisal Tawang mengatakan pagi ini beliau menerima pangggilan telefon daripada pengedar-pengedar yang memaklumkan pihak KDN menjalankan operasi merampas Harakah.
Katanya, KDN bukan sahaja merampas Harakah di kedai-kedai malah turut menyerbu premis pengedar. Di Melaka dianggarkan lebih 500 naskah Harakah dirampas manakala di Alor Setar Kedah pula dilaporkan sebanyak 1,000 naskah.

Rampasan di Kedah itu dilaporkan dibuat di atas lori, sebelum sempat akhbar itu diturunkan untuk diagih kepada pengedar dan dijual.

“Di Seremban Negeri Sembilan pejabat pengedar turut diserbu oleh KDN. Tetapi di Kedah pihak KDN tidak menunjukkan kad penguatkuasa dan surat dari KDN yang sah sebelum bertindak,” katanya dipetik dari Harakahdaily.

KDN mengesahkan menjalankan operasi menguatkuasakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 dan merampas sebanyak 1,408 Suara Keadilan, 1,062 Harakah dan 70 The Rocket.

“Tindakan penahanan ini diambil atas kegagalan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 di bawah Seksyen 5 iaitu Kesalahan Untuk Mencetak, Mengimport, Menerbit Akhbar Tanpa Permit, tidak mematuhi syarat-syarat permit iaitu untuk edaran ahli-ahli sahaja seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” kata KDN dalam satu kenyataan petang ini.

“Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara bermula pada 22 Mei 2013 dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini.”

Hari ini ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan.

Difahamkan kesemuanya ditahan secara berasingan dalam tindakan keras polis hari ini. Ini adalah siasatan ketiga polis mengenai hasutan semenjak pilihan raya 5 Mei. - The Malaysian Insider


Wednesday, 22 May 2013

Perkahwinan warga asing dengan penduduk tempatan Sabah hampir 20,000

KOTA KINABALU: (22 Mei, 2013) - Jumlah perkahwinan warga asing dengan penduduk tempatan Sabah mencecah hampir 20,000 sejak tahun 2000 sehingga tahun ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diberitahu hari ini.

Baharuddin Alwi, yang berkhidmat di Jabatan Agama Islam Sabah (JAIS) berkata statistik jabatan itu menunjukkan 8,859 lelaki warga asing berkahwin dengan wanita di negeri ini dari tahun 2000 hingga Oktober 2012.

Beliau yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Syariah, di JAIS berkata 10,922 wanita warga asing pula berkahwin dengan lelaki tempatan dalam tempoh sama.

Baharuddin berkata sejak tahun 2000 hingga 2013 jumlah perkahwinan warga asing yang direkodkan ialah 19,781.

Saksi itu berkata perkahwinan warga asing juga meningkat daripada 399 pada tahun 2000 kepada 2,545 pada Oktober 2012.

Menjawab soalan pegawai pengendali Datuk Azmi Arifin, saksi ke-78 itu berkata mengikut Undang-Undang Islam Negeri Sabah setiap perkahwinan warga asing mesti didaftarkan dengan JAIS.

Ketika ditanya pengerusi Suruhanjaya Tan Sri Steve Shim Lip mengenai relevan soalan perkahwinan warga asing itu, Azmi menjawab ia bagi menunjukkan perkahwinan itu menyebabkan populasi penduduk Sabah meningkat.

Shim juga meminta Baharuddin mengemukakan statistik perkahwinan sebelum tahun 2000, di mana saksi itu memberitahu bahawa pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian kerana rekod sebelum tahun itu dibuat secara manual.

Baharuddin juga berkata warga asing itu termasuk Filipina, Bangladesh, Algeria dan Afganistan.
Saksi itu memberitahu Suruhanjaya bahawa warga asing yang hendak berkahwin dengan rakyat tempatan mestilah mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah seperti pasport, IMM13 iaitu resit pengenalan diri sementara dan surat bancian.

Kepada soalan lain, Baharuddin berkata memang terdapat perkahwinan gadis di bawah umur 16 tahun di negeri itu tetapi sebelum perkahwinan mereka didaftar di JAIS, pemohon mesti mendapat kebenaran untuk berkahwin dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Sementara itu, Penolong pengarah Unit Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah Mohd Azlan Hussin berkata jabatan itu telah membantu kanak-kanak jalanan warga asing dengan menempatkan mereka di Rumah Perlindungan Ihsan dengan menyediakan tempat tinggal, buku, alat tulis, makanan dan pakaian.

Saksi ke-77 itu berkata sejak Jun 2007 hingga Okt 2012, seramai 1,455 kanak-kanak jalanan berumur enam tahun hingga 18 tahun tinggal di situ.

“Daripada jumlah itu, 1,119 adalah kanak-kanak lelaki manakala 336 lagi perempuan,” katanya sambil menambah kanak-kanak ini masuk ke Sabah bersama ibu bapa atau penjaga mereka tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau menerangkan selepas mereka berumur 19 tahun, sekiranya tiada ibu bapa atau penjaga datang menuntut, mereka akan ditempatkan di penempatan tahanan sementara orang dewasa.

Saksi itu juga tidak menafikan berlakunya eksploitasi buruh kanak-kanak di samping masalah sosial lain melibatkan kanak-kanak jalanan ini.


Sementara itu, saksi ke-79 yang merupakan ketua jurutera Sabah Electric Sdn Bhd (SESB) Christiana Linus Majail, berkata pihaknya menjalankan operasi secara bulanan di setiap kawasan setinggan di negeri itu bagi membendung masalah kecurian talian elektrik.

Beliau berkata syarikat itu mencatat kerugian besar akibat kecurian elektrik yang berlaku di lima kawasan setinggan di negeri ini iaitu di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.

“Sebagai contoh di Kota Kinabalu dari tahun 2009 hingga tahun lepas jumlah kerugian direkodkan ialah RM3,717,720 membabitkan 33 kawasan setinggan dengan penghuni seramai 5,530,” katanya.

Kepada soalan sama ada tindakan mahkamah diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini, Christiana berkata beliau kurang pasti mengenai perkara itu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Datuk Siti Aishah Mohd Asri pula menafikan jabatan itu tidak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan malah berkata peluang itu sentiasa terbuka kepada mereka. 

Beliau berkata jabatan itu telah menjalankan promosi dalam sektor pertanian, peladangan dan pembinaan yang banyak dimonopoli warga asing kepada rakyat tempatan tetapi majikan masih sukar menarik minat mereka ke dalam sektor itu.

Beliau bersetuju dengan cadangan pegawai pengendali Manoj Kurup bahawa sektor itu dianggap ‘dull, dirty, dangerous and difficult’ (tidak menarik, kotor, bahaya dan sukar) oleh rakyat negeri itu.

Siti Aishah juga berkata negeri itu tidak membenarkan majikan mengambil warga asing bekerja sebagai pengawal keselamatan atas faktor keselamatan.

Saksi ke-76 itu berkata jabatan itu bertanggung jawab dalam menguruskan permohonan lesen pengambilan pekerja asing yang dikemukakan majikan.

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung esok.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J. Luping.

Monday, 20 May 2013

Faktor geografi, politik sebabkan populasi warga asing meningkat di Sabah


KOTA KINABALU:  (20 Mei, 2013) - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin di Sabah hari ini diberitahu faktor geografi dan politik menyebabkan jumlah populasi pendatang asing di negeri itu meningkat dengan drastik sejak tahun 1963 sehingga 2012.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Abu Bakar Mat berkata faktor tersebut menyebabkan pengeluaran kad pengenalan (IC) biru kepada golongan pendatang meningkat di Sabah dalam tempoh 49 tahun itu.  

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup,  Abu Bakar berkata sebanyak 5,753 IC biru dikeluarkan kepada warga asing di Sarawak selepas mereka memperoleh taraf sebagai warganegara sejak 1963 sehingga akhir tahun lepas. 

Ditanya Manoj mengenai pendapatnya mengapa jumlah pengeluaran IC di Sarawak amat ketara perbezaaanya berbanding 66,000 di Sabah dalam tempoh yang sama, Abu Bakar berkata ia bergantung kepada keadaan di negeri masing-masing. 

“Secara peribadi saya nampak lokasi di Sarawak berbeza dengan di Sabah.  Kedudukan geografi di Sabah yang hampir dengan Filipina dan juga faktor politik menyebabkan jumlah populasi warga asing meningkat di Sabah berbanding di Sarawak,” katanya.

Saksi ke-63 itu juga berkata kedudukan Sabah yang berdekatan dengan perairan laut dan juga bersempadan dengan Filipina juga merupakan faktor pendatang asing berhijrah ke negeri itu berbanding Sarawak.

Ketika ditanya mengenai cadangannya bagi menangani masalah pendatang asing di Sabah, Abu Bakar berkata ia boleh dilakukan dengan mengetatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sempadan negeri itu dan juga dengan mewujudkan lebih banyak pintu masuk imigresen bagi memastikan kemasukan secara sah.

Abu Bakar yang memegang jawatan itu sejak tahun 2003 juga berkata pada 1966 sehingga 1980 permohonan IC di Sarawak mestilah disertakan dengan sijil perakuan taraf dan sijil kelahiran.

Beliau berkata selepas 1980 hanya sijil kelahiran sahaja diperlukan untuk memohon IC dan sijil perakuan taraf tidak boleh lagi digunakan. 

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong juga diberitahu bahawa implikasi sosial seperti gejala dadah, mencuri, kesihatan, dan kebersihan banyak berlaku di negeri itu disebabkan masalah setinggan yang didiami rakyat tempatan dan juga warga asing.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J. Luping.

Penolong pengarah penguatkuasa kanan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Mohammed Amir Izzat berkata selain masalah sosial, kewujudan rumah setinggan itu juga mencacatkan pemandangan indah di ibu negeri Sabah.  

Ditanya pegawai pengendali Jamil Aripin, Mohammed Amir berkata pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan operasi merobohkan setinggan di situ.

“Setakat bulan Mei tahun ini sebanyak 253 buah rumah setinggan dirobohkan.  Pada 2012 sebanyak 324 buah struktur setinggan dirobohkan, pada 2011 sebanyak 714 dirobohkan, 2010 pula sebanyak 510 buah dirobohkan dan pada 2009 sebanyak 1,520, buah rumah berjaya dirobohkan,” katanya.

Saksi ke-64 itu berkata penghuni setinggan terdiri daripada rakyat tempatan dan juga warga asing yang mendiami di kawasan tanah milik kerajaan dan juga di tanah lot milik persendirian.


Beliau menjelaskan terdapat kemudahan bekalan air, elektrik yang dibuat sambungan secara tidak sah di samping jalan raya.

Saksi itu juga berkata kebanjiran warga asing di bandaraya itu banyak menyumbang kepada aktiviti yang tidak bermoral kerana ramai antara mereka bekerja di pusat hiburan di samping pihaknya menerima ancaman dan kenderaan mereka dirosakkan semasa operasi meroboh setinggan itu.

Mohammed Amir juga menafikan dakwaan terdapat pendatang asing memperoleh lesen perniagaan menggunakan IC palsu.

“Berkemungkinan mereka adalah sebagai rakan kongsi, tetapi jika ada sudah pasti pihak kami akan menolak permohonan mereka,” katanya lagi yang tugasnya antara lain memproses lesen perniagaan dan mengawal selia pertumbuhan setinggan di bandaraya itu.

Abd Rahim Katiman, pembantu penguatkuasa Majlis Daerah Tenom pula memberitahu Suruhanjaya bahawa pada tiap-tiap tahun pihaknya akan ke kawasan setinggan untuk memastikan rekod sentiasa dikemas kini.  

Beliau berkata di Tenom hanya terdapat satu kawasan setinggan sahaja dengan 34 buah rumah dan 174 penghuni yang terdiri daripada warga Pakistan, Suluk Bajau Jawa dan Murut dan mereka bekerja sebagai petani, peniaga dan buruh. 

Saksi ke-65 itu juga berkata sehingga 2007 hingga 2013 pihaknya tidak menerima sebarang aduan pendatang asing menjalankan perniagaan di situ.

Kassim Selamat, ketua unit setinggan Majlis Perbandaran Sandakan berkata seramai 32,095 orang tinggal di 43 koloni setinggan dan 19,370 adalah bukan warganegara Malaysia.

Bagaimanapun beliau tidak pasti mereka dari negara mana tetapi kebanyakannya adalah dari selatan Filipina.

Beliau juga bersetuju bahawa Sandakan mempunyai masalah pendatang warga asing yang sangat ramai dan tinggi akibat kebanjiran pendatang asing di situ.  

Kassim berkata sebanyak 4,620 buah rumah setinggan dirobohkan sejak tahun 2000 hingga 2008 manakala sebanyak 1,080 berjaya dirobohkan antara tahun 2009 hingga 2012.

Saksi ke-66 itu berkata sebelum dirobohkan pihaknya akan memberi notis 14 hari atau sebulan sebelum kerja-kerja meroboh dilakukan.  

Majid Patola, yang bertugas sebagai merinyu Perbandaran Tawau dalam keterangannya berkata seramai 19,455 penghuni setinggan di situ dengan 11,904 adalah bukan warganegara.

Beliau juga berkata wabak penyakit seperti taun banyak berlaku di situ kerana ketiadaan sistem pembetungan yang tidak betul dan kekurangan bekalan air bersih.

Perbicaraan bersambung esok. Seramai tujuh saksi dipanggil memberi keterangan hari ini.

"Lim patut minta maaf pada saya"


PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung kenyataannya menggesa mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya di Malaysia supaya berhijrah ke negara di mana mereka boleh mempraktikkan kepercayaan politik mereka, yang menurutnya telah disalah tafsir.

“Dia (Lim) yang patut minta maaf kepada saya, sebab salah tafsir kenyataan saya. Bukan saya minta maaf kepadanya,” katanya dengan nada serius pada sidang media sempena hari pertama beliau bertugas di kementerian itu, di sini hari ini.

Malaysiakini diberi amaran


PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran keras kepada portal berita Malaysiakini supaya lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan berita.

"Malaysiakini kerap memutarbelitkan berita atau kenyataan," katanya.

Beliau berkata portal berita itu perlu berpegang kepada etika kewartawanan tanpa memutarbelitkan berita atau kenyataan asal menjadi kontroversi.

“Anda (wartawan Malaysiakini) selalu putar belitkan kenyataan, selalu sangat. Perkara yang tak ada anda buat ada, anda tulis elok-elok.

“Saya pantau setiap perkataan, ayat, perenggan, setiap berita di Malaysiakini. Anda jangan main api dengan saya. Anda selalu putar belit. 

“Saya beri amaran, tolong tulis mengikut etika kewartawanan sebenar, okay?,” katanya kepada wartawan portal itu pada sidang media sempena hari pertama beliau bertugas di kementerian itu, di sini, hari ini.

STAR Sabah anjur pemeriksaan kesihatan percuma



KOTA KINABALU, (20 Mei, 2013) – STAR Sabah Chinese Task Force telah menganjurkan  Pemeriksaan Kesihatan Melalui Mata oleh Prof. Dr Martin C.T Ho, seorang Iridology dan Sclerology.

Perkhidmatan itu bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang secara percuma di Kepayan Ridge, Lido, kelmarin (19 Mei, 2013).

Dr Martin juga mempunyai kemahiran dalam merawat Colon Hydrotherapy dan Live Cell Morphology.

Dr Martin adalah seorang Perunding Kesihatan, Evo Freedom International Sdn. Bhd. Dan maklumat boleh diperolehi dengan melayari website www.efi2u.com.

Pusat operasi terletak di Kobusak Health Centre, Taman Viewland 3C, Lot C-13, Jalan Kobusak-Hungab, Lido, Penampang.

Dr Martin (kiri) memberi penerangan tahap kesihatan kepada salah seorang pelanggan (kanan sekali) yang mendapatkan pemeriksaan percuma itu.

Masyarakat perlu miliki kemahiran IT: Hamisa


HAMISA bersama rakyat di Kampung Kuala Merotai semasa Majlis Penutupan Sukaneka Kg Kuala Merotai, kelmarin.


TAWAU: Masyarkatat harus mempunyai kemahiran dan kepakaran IT, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat.

Katanya,  IT kini telah menjadi sebahagian rutin kehidupan manusia, suka atau tidak ledakan teknologi canggih itu terus berkembang mengikut zaman.

Hamisa juga mengingatkan masyarakat supaya menjadi pengguna IT  yang bijak dan sihat jiwa dan minda.

"Manakala pengguna dalam kalangan kanak-kanak perlu dipantau kerana banyak laman sosial banyak mempengaruhi minda anak-anak," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Sukaneka Kg Kuala Merotai, Tawau di sini kelmarin (19 Mei, 2013).

Hamisa juga mengakui, bahawa IT merupakan medium maya yang cepat untuk mendapatkan maklumat tetapi, semua maklumat harus ditapis sebaik-baiknya.

Sunday, 19 May 2013

Immaculate wakil Kota Kinabalu

Immaculate (dua kiri), Hemy (dua kanan), Ashley (kiri) dan Roseanne (kanan).


KOTA KINABALU:Cik Immaculate Lojuki, 20, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu selepas mengalahkan 14 peserta lain dalam pertandingan itu sekali gus mewakili daerah Kota Kinabalu ke pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri pada 31 Mei ini.

Dengan kemenangan itu beliau menerima hadiah wang tunai RM4,000, barangan kemas bernilai RM3,000, telefon bimbit Digi bernilai RM2,500 dan mahkota bernilai RM8,000 dan piala.

Naib johan pula dimenangi oleh Cik Hemy Manjadi, 23, dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan mahkota berlian bernilai RM6,000 dan barangan kemas bernilai RM2,000 serta piala.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Cik Ashley Selvi Ravindran, 21 menerima hadiah wang tunai RM2,000, mahkota berlian bernilai RM4,500 dan barangan kemas bernilai RM1,500 serta piala.

Tempat keempat pula dimenangi oleh Cik Roseanne Yay, 22, menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan barangan kemas bernilai RM500.

Pemenang tempat pertama hingga keempat masing-masing akan mewakili daerah  Kota Kinabalu, Likas, Tanjung Aru dan Inanam ke pertandingan akhir peringkat negeri Sabah di Dewan KDCA Penampang.

Immaculate turut memenangi gelaran Miss Personaliti dan menerima hadiah barangan kemas bernilai RM1,000, manakala kategori Pilihan Ramai dan Aramaiti dimenangi oleh Cik Ryannie Neils Yong, 18 dan Miss Digi dimenangi oleh Cik Stacey Elev Baritus Gungkit.


Ritchell wakil Ranau


WAKIL RANAU … Cik Ritchell Andreas Micheal dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Daerah Ranau sekali gus akan mewakili daerah itu ke pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri di Dewan KDCA Penampang pada 31 Mei ini.

Tempat kedua  Cik Erlasttini Erni Bidi dan ketiga Cik Jocelyn Ana Yapat.
Ritchell (tengah) Erlasttini (kiri) dan Jocelyn Ana (kanan).

Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau  itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, pada Sabtu (18 Mei, 2013).



Pesta Kaamatan Peringkat Sandakan 2013

Zakaria rasmi Pesta Kaamatan Peringkat Sandakan 2013.

Charles menyumpit sasaran.

Zakaria melastik.


RASMI PESTA KAAMATAN ... Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris (tengah) bersama-sama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk James Wong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin, Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang  bersama-sama tetamu jemputan lain menuai padi tanda sempurnanya perasmian perayaan Pesta Kaamatan 2013 Peringkat Daerah Sandakan kelmarin (18 Mei, 2013). 

Sementara itu, Charles (kanan) mencuba bakatnya menyumpit yang merupakan antara acara tradisional Pesta Kaamatan di Sabah.

Zakaria yang juga wakil rakyat Gum-Gum (tengah) melastik objek (sasaran) salah satu jenis sukan tradisional dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) di Sabah.
  

Thursday, 16 May 2013

Guna siber sebar maklumat tanah


KOTA KINABALU: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan  meminta Jabatan Tanah dan Survei di negeri itu supaya menggunakan siber untuk menyebarkan maklumat  tanah.

"Perkara ini perlu dipertimbang bagi meningkatkan lagi penyebaran maklumat kita," katanya ketika merasmikan Hari Inovasi dan Integriti jabatan itu di Sibu, Sarawak, malam tadi.

Katanya penggunaan teknologi siber amat berkesan dan mudah untuk mendapatkan maklumat mengenai tanah di negeri itu.

“Isu tanah ini kerap dipolemik dan diperbesar-besarkan oleh pembangkang yang memutar belit maklumat tidak lengkap daripada badan bukan kerajaan tempatan dan asing yang kemudian disebar menerusi Internet,” katanya.
               

Wednesday, 15 May 2013

Orang bukan Islam haram guna nama ALLAH


PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan, larangan terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh komuniti bukan Islam di negara ini masih terpakai ekoran terdapat perintah penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap penerbitan berbahasa Melayu The Herald.

"PPMM ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes berkenaan permohonan Gereja Titular Roman Bshop Catholic untuk menggunakan nama Allah dalam konteks agama Kristian ini masih belum dilupuskan di Mahkamah," kata Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

"Oleh kerana terdapat perintah penggantungan terhadap keputusan awal Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2011 berhubung kebenaran menggunakan nama Allah di dalam penerbitan berbahasa Melayu The Herald, maka kedudukan sedia wujud yang melarang penggunaan nama Allah bagi penganut agama bukan Islam adalah tetap terpakai dan masih berkuatkuasa sehingga kes ini dilupuskan sepenuhnya oleh Mahkamah di negara ini," katanya.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang masih berdegil menggunakan perkataan itu adalah melanggar kesalahan dan peraturan di negara ini.

Monday, 13 May 2013

Elviralynn Unduk Ngadau Kaamatan Labuan 2013


UNDUK NGADAU .... Pelajar tahun akhir  Perbankan Pesisir Pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), Cik Elviralynn Ukon, 23, dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Pesta Kaamatan (Ratu Pesta Kaamatan) 2013 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Blessed Scrament, Labuan pada Ahad (12 Mei, 2013).

Elviralynn dari Ranau, Sabah menerima sebuah tropi, wang tunai dan peralatan solek sekali gus akan mewakili Labuan ke peringkat negeri Sabah.

Beliau juga turut dimahkotakan sebagai Miss Natural Beauty.

Sementara itu, dua lagi pelajar UMS-KAL,  Cik Istelita James, 21, dan  Cik Eshiryinter Peter, 20,  masing-masing muncul naib johan dan tempat ketiga.  

Tempat keempat jatuh kepada pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML),  Cik Flowiena Shira Sipail, 19, yang turut dinobatkan sebagai Miss Frendly.


Manakala tempat kelima dimenangi seorang lagi pelajar UMS-KAL, Cik Mayzlyne Ley Matius, 21 tahun.


Pertandingan yang dianjurkan oleh KDCA (Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun) Labuan itu disertai oleh 17 gadis jelita.


Unduk Ngadau Pesta Kaamatan 2013 Peringkat Labuan, Elviralynn (duduk) bersama Istelita (dua  kiri), Eshiryinter (dua kanan), Flowiena (kiri sekali) dan, Mayzlyne (kanan sekali).

*Good day to all! may i make correction here, the 1st place: Ms. Elviralynn Ukon (Tati topiodo/Natural beauty), 4th Place: Ms. Flowiena Shira Sipail (Tati Topiodo/Ms. Friendly), Not Ms. Istelita James. Please make proper correction. thanks you!

Saturday, 11 May 2013

Pekan Kota Belud dilanda banjir kilat

 DIPENUHI AIR … Astaka  dan padang yang digunakan pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri pada 1 Mei  lalu diitenggelami air.


TURUT DILIMPAHI AIR … salah satu jalan di pekan Kota Belud turut  banjir.

TERSELAMAT … dua ekor anjing yang menjadikan astaka bola keranjang sebagai tempat menyelamatkan diri daripada banjir.

TENGGELAM … jambatan besi yang menghubungkan kawasan Pasar Tani dan kawasan Sri Rangan ditenggelami air.

OLEH WARTAWAN SIDANG RAKYAT

KOTA BELUD: Hujan lebat yang  turun tidak henti-henti dari pagi hingga malam pada Jumaat menyebabkan pekan di sini dilanda banjir kilat.

Astaka Kota Belud yang menjadi lokasi pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 1 Mei lalu turut ditenggelami  air akibat daripada limpahan air Sungai Tempasuk. 

Kawasan lain yang turut dilanda banjir ialah padang, pasar tani, jalan raya di kawasan Kedai Gui Brother, lokasi replika Selamat Datang Kota Belud yang berhampiran Public Bank dan Stesen Minyak Esso juga dilimpahi air.

Banjir kilat itu selain menyebabkan para peniaga tempatan  tidak dapat menjalankan perniagaan rutin mereka, ia juga menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga jam 10 pagi. 


Warga Kota Belud menggesa pihak berkuasa tempatan di sini supaya mengkaji semula sistem peparitan di pekan itu bagi mengelak berlakunya banjir kilat pada masa akan datang.

Wednesday, 1 May 2013

Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah 2013



UNDUK NGADAU PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH ... Cik Imelda Lim  Chiew Chen dari Kampung Piasau (tengah), tempat kedua Imelda Dora  Manu Matthew (kanan) dari Kampung Tambulion dan tempat ketiga Ruzell Rozaliah Micheal (kiri) dari Kampung Bundu Paka. Imelda Lim kan mewakili daerah Kota Belud ke pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Negeri (KDCA), di Hongkod Koisaan Penampang pada 30-31 Mei ini.

Teluk Usukan bakal muncul hab logistik baharu di Asia Tenggara

SAKSIKAN ... Musa sedang menyaksikan tayangan video mengenai industri minyak ketika melawat gerai kelmarin.


LANCAR PESTA KAAMATAN ... Ketua Menteri , Datuk Seri Musa Haji Aman melancar- kan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Padang Pekan Kota Belud, kelmarin.

Berucap pada majlis itu, Musa berkata, Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun di Sabah, kini menjadi tunjang kekuatan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini selaras dengan semangat 1Malaysia.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, calon-calon BN kawasan Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said, DUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan DUN Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan.
TANDATANGANI .... Musa (dua, kiri) bersama Salleh (kiri sekali), Abdul Rahman (tiga, kiri) dan Herbert (dua, kanan) menandatangani plak sebagai simbolik pelan- caran Pusat Sokongan Industri Minyak dan Gas Teluk Usukan, Kota Belud.


KOTA BELUD:  Teluk Usukan di sini bakal muncul sebagai hab logistik baharu di rantau Asia Tenggara menerusi usaha menjadikan kawasan itu sebagai pusat sokongan industri minyak dan gas.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata selain itu, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Sabah serta Asian Supply Base berkenaan akan mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

“Saya difahamkan, dalam fasa-fasa awal sahaja dianggarkan lebih kurang 500 peluang pekerjaan ditawarkan dan dijangka meningkat sehingga 1,000 orang apabila keseluruhan fasa selesai.

“Ini akan membantu meningkatkan pendapatan, kemahiran serta kemampuan warga tempatan yang ingin menceburkan diri dalam industri minyak dan gas serta sektor berkaitan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri yang bertema ‘Kekalkan Semangat Muhibah dan Persefahaman Melalui Kaamatan’ di padang pekan Kota Belud. Pada majlis sama beliau turut melancarkan Projek Pusat Sokongan Industri Minyak & Gas Teluk Usukan.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan negeri Sabah, calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said, DUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan DUN Kadamaian, Datuk Herbet Lagadan.

Musa yang juga pengerusi BN negeri, berkata projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri membangunkan Sabah selain memastikan setiap rakyat menikmati pembangunan hasil daripada kestabilan politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

Sehubungan itu rakyat di Sabah, khususnya di Kota Belud, harus mengetepikan perasaan ingin “menderhaka” kepada kerajaan BN yang komited memacu pembangunan di seluruh Sabah demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, katanya.

Pada masa yang sama, Musa mengajak rakyat di Sabah menjadikan Kaamatan sebagai wadah memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran ekonomi global.

“Bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa, pesta ini tidak seharusnya dilihat sebagai medan bagi memperkukuhkan semangat perpaduan dan memartabatkan seni warisan budaya semata-mata,” katanya. 

Pesta Kaamatan itu, katanya adalah manifestasi kepentingan sektor pertanian sebagai antara sektor terpenting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi terutama di daerah Kota Belud yang dikenali sebagai ‘jelapang padi’.

Pesta Kaamatan yang diraikan kaum Kadazandusun Murut antara lain bertujuan mempamer kekayaan kebudayaan warisan kebudayaan negeri Sabah dan dirayakan sepanjang bulan Mei dengann acara kemuncak biasanya berlangsung di Bangunan Hongkod Koisaan Penampang pada 30 dan 31 Mei.

Kota Belud yang terletak kira-kira 70 km dari Kota Kinabalu berada di unjuran kaki Gunung Kinabalu dipilih menjadi tuan rumah pesta itu tahun ini.

BN pastikan lebih ramai rakyat Sabah miliki tanah


KOTA MARUDU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) komited dalam memastikan lebih ramai penduduk asal di negeri ini memiliki tanah sendiri menerusi kaedah geran berkelompok yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata jika BN mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13 ini, kerajaan akan berbuat demikian untuk terus memakmurkan dan mengutamakan kepentingan rakyat di negeri ini.

"Kita mengutamakan orang asal, bukannya syarikat-syarikat dari luar seperti diamalkan beberapa pemimpin sebelum ini, tuan-tuan boleh periksa fail di Jabatan Tanah dan Ukur.

"Saya tidak pernah bagi tanah kepada syarikat luar, sebaliknya kita bagi (tanah) kepada rakyat supaya mereka dapat memiliki tanah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan geran berkelompok kepada 150 penduduk dari Kampung Bombong 1 dan 112 penerima dari Kampung Sungai Magandai, di sini hari ini. 

Mengenai permintaan penduduk tempatan untuk mengusahakan tanah milik Lembaga Pembangunan Perhutanan Sabah (SAFODA)  di daerah ini, Musa berkata beliau akan mengarahkan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Datuk Osman Jamal membuat kajian mengenai perkara itu.

"Kita akan selesaikan masalah dan beri tanah itu kepada rakyat yang sudah lama tinggal dan berkebun di situ...kita menghormati mereka. Mereka sudah lama tinggal di situ dan adalah menjadi keutamaan kepada kita untuk memberikan tanah itu (kepada rakyat)," katanya merujuk isu yang dibangkitkan penyandang Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Tanah seluas 4,707 hektar itu yang sebelum ini diberikan kepada Syarikat Begaraya ketika era pentadbiran bekas ketua menteri Datuk Yong Teck Lee walaupun ia sudah diduduki oleh penduduk asal kampung itu.

Dalam pada itu, katanya permohonan tahan empat kampung berhampiran iaitu Kampung Sonsogon Magandai, Sonsogon Suyad, Sonsongan Paliu dan Binontungan Suyad menerusi kaedah geran berkelompok, sedang diproses.

Parlimen Kota Marudu diwakili calon BN Maximus yang berdepan tiga calon dari Parti Keadilan Rakyat, Parti Reformasi Sabah dan Parti Maju Sabah.

Komuniti 1Malaysia perantara kerajaan dan rakyat: Salleh



SAKSIKAN PENTARAMA … Salleh (duduk, dua kanan), Ado Peter (dua kiri), Lin (kiri sekali) dan yang lain bersama menyaksikan permentasan Pentarama.
TAHNIAH … Rahman (kanan) menyampaikan hadiah kepada juara Karaoke Pentarama Jabatan Penerangan.
TURUT MENGHIBUR … 
Jasri juara Sugandoi Kota Belud.

KOTA BELUD: Komuniti 1 Malaysia merupakan pertubuhan sukarela yang ditubuh dan diselia oleh Jabatan Penerangan dan menjadi perantara kerajaan dengan rakyat bagi menyokong gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said, berkata justeru kedua-duanya tidak dapat dipisahkan dan saling membantu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Katanya, kumpulan komuniti ini ialah golongan berpengaruh yang mampu memainkan peranan sebagai penerima, penyebar maklumat serta bertindak sebagai agen penyampai maklum balas kepada kerajaan.

Salleh yang juga calon Barisan Nasional kerusi DUN Usukan, berkata melalui program sepakat ini, sudah tentu maklumat dan pemantapan sistem  maklumat kerajaan akan terus ke minda dan jiwa masyarakat setempat.

Katanya, sesuai dengan peredaran zaman dan ledakan  maklumat, amat wajar setiap masyarakat dapat menapis maklumat dan menerima maklumat itu sebagai corak baru dalam bermasyarakat.

Salleh berkata, pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Penerangan melalui program itu amat wajar disokong kerana ia menjadi ‘platform’ Jabatan Penerangan yang berkesan menyampaikan maklumat dasar-dasar dan isu-isu semasa negara dan usaha memenangi minda rakyat.
“Dengan transformasi  Komuniti 1Malaysia ini, adalah diharapkan agar matlamat gagasan 1Malaysia dapat dicapai melalui penglibatan pelbagai kaum dan etnik di seluruh negara dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan seterusnya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sepakat Komuniti 1 Malaysia bertempat di padang pekan di sini, pada Selasa (30 April, 2013).

Turut hadir calon Barisan Nasional Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Yunus Haji Saprin, ADO (Pentadbiran), Peter Jiton, Ketua PBS Usukan, Lin Harun dan kira-kira 500 masyarakat setempat.

“Alangkah bertuahnya kita sebagai penduduk Malaysia kerana dapat hidup tenteram dan selamat berkongsi menikmati kemakmuran negara ini,” ujarnya.

Majlis itu disajikan pelbagai persembahan permentasan Unit Pentarama Jabatan Penerangan dan pertandingan karaoke, juara sugandoi Kota Belud 2013 Jasri Madin juga terlibat menghibur pada hadirin.