Thursday, 23 May 2013

KDN rampas akhbar Pakatan Pakatan hari ini

KUALA LUMPUR: Akhbar milik parti Pakatan Rakyat (PR) PAS, PKR dan DAP dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa kawasan pagi ini (23 Mei, 2013) di seluruh negara.

Harakah milik PAS, Suara Keadilan milik PKR dan The Roket milik DAP dirampas oleh pegawai-pegawai KDN di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.
“Ya Harakah dirampas di beberapa tempat pagi ini,” kata pengarang Harakah Zulkifli Sulong apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Harakah yang dirampas adalah Edisi Jumaat 24-26 Mei yang memaparkan tajuk muka depan “GST hadiah BN untuk rakyat”.
Portal Harakahdaily melaporkan Pengurus Pemasaran Harakah, Ahmad Faisal Tawang mengatakan pagi ini beliau menerima pangggilan telefon daripada pengedar-pengedar yang memaklumkan pihak KDN menjalankan operasi merampas Harakah.
Katanya, KDN bukan sahaja merampas Harakah di kedai-kedai malah turut menyerbu premis pengedar. Di Melaka dianggarkan lebih 500 naskah Harakah dirampas manakala di Alor Setar Kedah pula dilaporkan sebanyak 1,000 naskah.

Rampasan di Kedah itu dilaporkan dibuat di atas lori, sebelum sempat akhbar itu diturunkan untuk diagih kepada pengedar dan dijual.

“Di Seremban Negeri Sembilan pejabat pengedar turut diserbu oleh KDN. Tetapi di Kedah pihak KDN tidak menunjukkan kad penguatkuasa dan surat dari KDN yang sah sebelum bertindak,” katanya dipetik dari Harakahdaily.

KDN mengesahkan menjalankan operasi menguatkuasakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 dan merampas sebanyak 1,408 Suara Keadilan, 1,062 Harakah dan 70 The Rocket.

“Tindakan penahanan ini diambil atas kegagalan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 2012 di bawah Seksyen 5 iaitu Kesalahan Untuk Mencetak, Mengimport, Menerbit Akhbar Tanpa Permit, tidak mematuhi syarat-syarat permit iaitu untuk edaran ahli-ahli sahaja seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” kata KDN dalam satu kenyataan petang ini.

“Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara bermula pada 22 Mei 2013 dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini.”

Hari ini ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan.

Difahamkan kesemuanya ditahan secara berasingan dalam tindakan keras polis hari ini. Ini adalah siasatan ketiga polis mengenai hasutan semenjak pilihan raya 5 Mei. - The Malaysian Insider


No comments:

Post a Comment