Wednesday, 1 May 2013
BN pastikan lebih ramai rakyat Sabah miliki tanah
KOTA MARUDU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) komited dalam memastikan lebih ramai penduduk asal di negeri ini memiliki tanah sendiri menerusi kaedah geran berkelompok yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas.
Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata jika BN mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13 ini, kerajaan akan berbuat demikian untuk terus memakmurkan dan mengutamakan kepentingan rakyat di negeri ini.
"Kita mengutamakan orang asal, bukannya syarikat-syarikat dari luar seperti diamalkan beberapa pemimpin sebelum ini, tuan-tuan boleh periksa fail di Jabatan Tanah dan Ukur.
"Saya tidak pernah bagi tanah kepada syarikat luar, sebaliknya kita bagi (tanah) kepada rakyat supaya mereka dapat memiliki tanah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan geran berkelompok kepada 150 penduduk dari Kampung Bombong 1 dan 112 penerima dari Kampung Sungai Magandai, di sini hari ini.
Mengenai permintaan penduduk tempatan untuk mengusahakan tanah milik Lembaga Pembangunan Perhutanan Sabah (SAFODA) di daerah ini, Musa berkata beliau akan mengarahkan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri, Datuk Osman Jamal membuat kajian mengenai perkara itu.
"Kita akan selesaikan masalah dan beri tanah itu kepada rakyat yang sudah lama tinggal dan berkebun di situ...kita menghormati mereka. Mereka sudah lama tinggal di situ dan adalah menjadi keutamaan kepada kita untuk memberikan tanah itu (kepada rakyat)," katanya merujuk isu yang dibangkitkan penyandang Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Tanah seluas 4,707 hektar itu yang sebelum ini diberikan kepada Syarikat Begaraya ketika era pentadbiran bekas ketua menteri Datuk Yong Teck Lee walaupun ia sudah diduduki oleh penduduk asal kampung itu.
Dalam pada itu, katanya permohonan tahan empat kampung berhampiran iaitu Kampung Sonsogon Magandai, Sonsogon Suyad, Sonsongan Paliu dan Binontungan Suyad menerusi kaedah geran berkelompok, sedang diproses.
Parlimen Kota Marudu diwakili calon BN Maximus yang berdepan tiga calon dari Parti Keadilan Rakyat, Parti Reformasi Sabah dan Parti Maju Sabah.
Labels:
Genaral
Location:
Kota Marudu, Sabah, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment