SHAH ALAM: (22 Mei, 2013) - Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama
tiga pekerjanya diperintah membela diri atas pertuduhan memasukkan dadah jenis
kanabis ke dalam badan tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Alim Abdullah membuat
keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah
Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada Jun
tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Abdul Alim berkata beliau cuba
melihat kerompongan dalam kes pendakwaan namun semuanya mempunyai penjelasan.
“Ujian air kencing keempat-empat tertuduh juga positif,
jadi bagaimana mahkamah boleh katakan bahawa pegawai yang menjalankan ujian air
kencing itu berbohong?
“Manusia lakukan kesilapan, dan menghisap dadah pun satu
kesilapan. Mahkamah mementingkan keadilan, jadi saya ketepikan semua perintah
Majistret dan kesemua responden diperintah membela diri dalam kes ini di
Mahkamah Majistret yang sama,” katanya.
Abdul Alim menetapkan Isnin ini untuk sebutan di Mahkamah
Majistret Petaling Jaya dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000
dengan seorang penjamin.
Pada 25 Jun tahun lepas, Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid
membebaskan Saiful Apek, 44, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed
Yusoff dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah
Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy
Mohamad, 30, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1,
Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.
Keempat-empat tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Fadly
Hashim, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh
dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara
dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad
Ishrakh Saad.
No comments:
Post a Comment