Showing posts with label Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah. Show all posts

Thursday, 23 May 2013

Bakar rumah wanita, lelaki Sarawak dipenjara 18 bulan

KE PENJARA ... Ajang diiringi anggota polis untuk menjalani hukuman penjara .


KOTA KINABALU: Gara-gara cinta tidak berbalas, seorang lelaki dari Sarawak yang bertindak membakar sebuah rumah di mana wanita itu tinggal dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ajang Wan, 52, yang dihadapkan di hadapan hakim  Duncan Sikodol mengaku melakukan kesalahan itu pada 10 Jan kira-kira jam 10.30 malam do Rumah  Kongsi Ladang Buaya di  Kg Putaton, Penampang.
Kesalahan ini di bawah Seksyen  436 Kanun kesiksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh didenda.

Menurut fakta kes seorang lelaki berusia 55 tahun telah membuat laporan polis tentang kejadian itu selepas dimaklumkan oleh para pekerjanya.

Setelah menerima maklumat tertuduh ditahan di  Klinik Kesihatan Penampang  pada 15 Jan untuk siasatan lanjut.

Polis juga merekodkan kenyataan dari seorang wanita yang tinggal di rumah kongsi itu.

Menurut wanita itu yang bekerja sebagai tukang kebun di  Ladang Buaya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi tertuduh telah mengancamnya kerana wanita ni enggan berkahwin dengannya meskipun didesak oleh tertuduh beberapa kali.

Menurut fakta kes semasa kejadian tertuduh juga mengalami kecederaan dan terbakar di bahagian kaki dan ketika itu dia juga di bawah pengaruh alkohol.

Wanita itu juga dipanggil untuk memberikan kenyataan di mahkamah dan berkata dia juga kehilangan banyak barangan peribadi termasuk wang simpanannya.

Wanita itu berkata tertuduh terus memaksa untuk menerima cintanya tetapi wanita itu terus menolak kerana dia (wanita itu) mempunyai anak untuk dijaga.

Wanita itu juga memberitahu tertuduh juga mengamok di rumahnya setiap kali tertuduh mabuk.

Dalam rayuannya, Ajang berkata dia ketika itu dalam keadaan mabuk dan tidak sedar apa yang dilakukannya. Tertuduh juga mendakwa menghadapi masalah mental dan mempunyai empat anak untuk disara.

Timbalan Pendakwa Raya,  Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bagaimanapun meminta hukuman berat dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.


Wednesday, 22 May 2013

Mahkamah Tinggi perintah pelawak terkenal bela diri



SHAH ALAM: (22 Mei, 2013) -  Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga pekerjanya diperintah membela diri atas pertuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membebaskan mereka daripada pertuduhan pada Jun tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Alim berkata beliau cuba melihat kerompongan dalam kes pendakwaan namun semuanya mempunyai penjelasan.

“Ujian air kencing keempat-empat tertuduh juga positif, jadi bagaimana mahkamah boleh katakan bahawa pegawai yang menjalankan ujian air kencing itu berbohong?

“Manusia lakukan kesilapan, dan menghisap dadah pun satu kesilapan. Mahkamah mementingkan keadilan, jadi saya ketepikan semua perintah Majistret dan kesemua responden diperintah membela diri dalam kes ini di Mahkamah Majistret yang sama,” katanya.

Abdul Alim menetapkan Isnin ini untuk sebutan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pada 25 Jun tahun lepas, Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membebaskan Saiful Apek, 44, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Keempat-empat tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Fadly Hashim, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad.



Kes rogol bawah umur di Sabah tidak pernah digugur: Peguam Negara


PUTRAJAYA, (22 Mei, 2013) - Pendakwaan akan terus mengendalikan kes seorang gadis berusia 12 tahun enam bulan di Sabah yang didakwa dirogol seorang pengurus sebuah restoran berusia 40 tahun.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat kenyataan terbuka hari ini yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya, kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini, anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu, dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan.

“Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Gani berkata memandangkan mangsa enggan memberi keterangan, pasukan pendakwaan terpaksa bergantung kepada bukti lain seperti laporan Asid Deoksiri bonukleik (DNA), laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan pegawai penyiasat berkaitan mangsa serta memeriksa akaun Facebook mereka, yang belum diperoleh.

“Dalam perkara ini, saya ada seorang saksi di mana kawan perempuan itu duduk di belakang kereta, tetapi apabila duduk di belakang, apa yang kita nampak adalah isu lain. Bagaimanapun, saya percayakan budak itu, jadi kita memerlukan keterangan lanjut daripada beliau dan kita perlu menganalisis keterangannya dengan teliti,” katanya.

Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika kes sedang berjalan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.
Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai ‘Sogit’, iaitu satu bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk bagi menyiasat isu berkenaan. 

“Pada pandangan saya, pada masa ini tiada bayaran ‘Sogit’ dari sudut perundangan. Maka saya mengesyaki ia sama seperti rasuah. Jadi saya mengarahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masuk campur dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Presiden Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITS), Norhanida Anol mahu Riduan dihukum kerana mendakwa tertuduh membawa ‘satu gejala atau penyakit baharu’ yang boleh merosakkan masyarakat.  “Ini adalah perkara yang keji! Lelaki ini memberi satu platform kepada yang lain untuk bertindak (merogol) dan lari daripada kesalahan (dengan mengahwini mangsa).

“Kita mempunyai banyak masalah ketika ini, dan nampaknya kini kita juga terpaksa menangani gejala baharu seperti ini,” katanya kepada Bernama.

Norhanida berkata beliau juga bimbang perkahwinan antara tertuduh dan managsa akan menimbulkan isu seperti perbuatan curang dan penderaan.

Beliau berkata PITS sebelum ini terpaksa membantu wanita muda dan bayi mereka selepas ditinggal suami, keluarga serta perogol mereka.

Beliau berkata hakikat bahawa mangsa berasal dari keluarga miskin lebih membimbangkan kerana keluarga gadis itu mungkin akan melepaskan tanggungjawab mereka kepada suaminya.

Aktivis sosial Datuk Patrick Sindu pula berkata perbuatan Riduan melanggar undang-undang dan menyalah guna hak mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Lelaki ini telah mengambil kesempatan terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdosa untuk keseronokan sendiri, dan dia berani mengatakan dia telah bertanggungjawab dengan mengahwini mangsa.

“Ini bukan kes ‘suka sama suka’ seperti yang lelaki itu dakwa. Kerosakan telah berlaku dan dia ingat dia boleh lari daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Kanak-Kanak Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk Mariati Robert berkata jika kes itu tidak dibicarakan sepenuhnya, maka “ini merupakan hari yang menyedihkan untuk wanita dan gadis di Malaysia jika perogol fikir mereka boleh memperalat Mahkamah Syariah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dan liabiliti.”

“Hakikat bahawa lelaki itu kini berkahwin dengan mangsa tidak membebaskannya daripada pertuduhan merogol,” katanya.

Mariati juga menggesa Mahkamah Syariah mempertimbang untuk mendakwa lelaki itu atas pertuduhan berzina.

Riduan didakwa pada 28 Feb lepas dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dari 1 hingga 4 Julai ini.

Sunday, 24 March 2013

Ketua Pemerintah Tentera Sulu ditangkap dikenali Datu Amir Bahar Hushin Kiram


LAHAD DATU: Ketua Pemerintah Tentera Sulu yang ditangkap di kawasan paya di daerah Semporna pada Sabtu lepas dikenali sebagai Datu Amir Bahar Hushin Kiram.


Identiti lelaki terbabit disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam sidang media Operasi Daulat di Felda Sahabat, dekat sini, hari ini.

Turut hadir sama pada sidang media itu ialah Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Khalid berkata, lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak insiden pencerobohan berlaku di Lahad Datu pada 12 Febuari lalu.

Pada Sabtu lepas, lelaki itu bersama isterinya telah berjaya ditahan dikawasan paya, pada kira-kira jam 1.30 pagi oleh pasukan keselamatan.

Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut SOSMA.

“Dua tangkapan terbaharu SOSMA itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung dengan penduduk Tanduao yang dipindahkan beliau berkata, pihaknya telah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.

“Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifeli memberitahu kawasan Kampung Tanduao kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung tersebut juga sudah dikecilkan.

“Operasi Daulat masih diteruskan dan kini, fokus utama operasi ini ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya lagi. 



Tuesday, 31 January 2012

Lelaki mati ditikam, disyaki oleh rakan sebilik


TAWAU:  Seorang lelaki rakyat Indonesia berusia 29 tahun mati ditikam, disyaki oleh rakan sebiliknya di sebuah rumah pekerja di Kem Luasong, kira-kira 110 kilometer dari sini.
Kejadian pada pukul 6 pagi Ahad lepas itu dikatakan hanya disebabkan lelaki itu membawa masuk sebuah katil usang ke dalam bilik yang dikongsi dengan seorang rakyat Filipina berusia 39 tahun itu, kata Ibrahim.

Hanya kerana terpijak kasut remaja maut dibelasah

TAWAU:  Seorang remaja warga asing maut dibelasah sekumpulan lelaki di persimpangan bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan, kira-kira 100 kilometer dari sini  hanya kerana terpijak kasut di majlis kenduri dan tari menari di Kalabakan.
Remaja lelaki berusia 16 tahun itu cedera di perut, muka, kepala dan tangan itu mati di Hospital Tawau pada pukul 3.20 petang  Isnin. 
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin, berkata siasatan awal polis mendapati remaja rakyat asing itu dipukul menggunakan kayu dan tangan oleh sekumpulan lelaki berusia 17 dan 23 tahun yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu.
“Mereka menunggunya di bulatan besar Jalan Tawau-Keningau di Kalabakan.  Sebaik mangsa yang menaiki motosikal tiba bersama dua rakan lain, mereka diserang secara tiba-tiba menggunakan kayu dan tangan.
 “Dua rakan mangsa sempat melarikan diri,” katanya di sini ,hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu, polis menahan lapan remaja dengan dua daripadanya rakyat asing dua hari lepas bagi membantu siasatan kes itu.  

Thursday, 26 January 2012

Abang bakar rumah adik

BAKAR RUMAHA ADIK ... Tertuduh yang hanya berkain pelikat (tiga, kiri) diiringi keluar oleh pegawai polis dari mahkamah.

TAWAU: Seorang abang tergamak membakar rumah adik sendiri mengakibatkan kerugian kira-kira RM45,000.

Tertuduh Dua Alang @ Azmir Sangkalang, 42, mengaku pergi ke rumah adiknya dan menggunakan mancis yang dibawanya bersama telah membakar kertas dan meletakkan kertas itu di ruang tamu sehingga menyebabkan kebakaran.
Tertuduh mengatakan dia membakar rumah itu kerana adiknya menganggap dirinya bukan abangnya.  
Berdasarkan fakta itu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke Dua Alang kerana membakar rumah adik sendiri.
Majistret Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas, Dua Alang selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah kayu tidak bernombor di Kampung Salimbangun, Semporna, kira-kira pukul 4 petang pada 29 Sept tahun lalu.
Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Sept tahun lalu di Kampung Salimbangun, Semporna.
Dakwaan terhadap Dua Alang dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.
Sebelum kejadian, pengadu bersama anaknya telah meninggalkan rumah pergi ke rumah pakciknya di Kg. Kabogan dan semasa dalam perjalanan pengadu telah berselisih dengan tertuduh dan tertuduh mengatakan dia mahu membakar rumah pengadu.
Pengadu tidak menghiraukan kata-kata tertuduh kerana disyaki tertuduh kurang siuman dan meneruskan perjalanan ke rumah pakciknya.
Semasa pengadu balik ke rumahnya dia telah mendapati rumahnya yang diperbuat daripada kayu telah hangus musnah terbakar dan tiada barang yang berjaya diselamatkan.
Pihak bomba telah dihubungi bagi memadam kebakaran namun rumahnya telah musnah dijilat api dan pengadu telah mengesyaki tertuduh yang membakar rumahnya lalu bertindak membuat laporan polis.



Wednesday, 25 January 2012

Lelaki peluk mayat teman wanita

 PUJUK ... Anggota polis cuba memujuk seorang lelaki yang berbaring bersebelahan dengan mayat teman wanitanya yang mati selepas terjun dari tingkat 17 di sebuah flat di Taman Utara, Batu Uban, George Town, Pulau Pinang  awal pagi tadi.
Polis mengambil hampir sejam memujuk lelaki berkenaan yang memeluk mayat teman wanitanya. 
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki terbabit dikatakan tidak dapat menerima hakikat yang teman wanitanya, Lau Kah Kah, 22, maut selepas terjun dari tingkat 17 flat berkenaan.
Orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian pada mulanya menyangkakan ada dua mayat di situ namun agak terkejut apabila melihat lelaki berkenaan secara tiba-tiba bergerak.
Anggota polis cuba memujuk lelaki itu dan selepas hampir sejam dia mula melepaskan pelukannya itu dan bersandar di tepi tangga berhampiran mayat.

Friday, 20 January 2012

Ops Utama Perdana PDRM


OPS UTAMA PERDANA PDRM … Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong telah melancarkan Ops Utama Perdana Polis DiRaja Malaysia di Bandar Sibuga Jaya dan Batu 8 Jalan Labuk di Sandakan, kelmarin.

Ianya bertujuan bagi membolehkan pihak polis mendekati masyarakat serta golongan peniaga di kawasan berkenaan sambil mengedarkan risalah-risalah supaya mereka dapat mengetahui cara sebenar membuat sesuatu aduan kepada pihak polis.

Rowell memberitahu pihaknya juga kerap mengadakan rondaan berjalan kaki serta rondaan kereta peronda di sekitar kawasan ini termasuklah taman-taman perumahan untuk memastikan keselamatan masyarakat lebih terjamin.

Kelihatan Rowell (tiga, kiri) bertemu dengan masyarakat setempat di Bandar Sibuga Jaya.



Wednesday, 18 January 2012

Peniaga kejar perompak


LABUAN, 18 Jan:  Seorang peniaga mengambil risiko mengejar dua lelaki yang merompaknya wang RM14,500 sejurus selepas beliau mengeluarkan wang itu dari sebuah bank di sini. 
Ketua Polis Labuan Supt Saiman Kasran berkata hari ini kejadian itu berlaku di luar pejabat peniaga itu di Kg Durian Tunjong dekat sini pada kira-kira 10.40 pagi Isnin lepas.
Sebelum itu, Saiman berkata peniaga itu diekori oleh dua lelaki yang tidak dikenali menaiki motosikal dan melihatnya mengeluarkan wang dari bank.  
Saiman berkata ketika peniaga ini menuju ke pejabatnya, dua lelaki itu tiba-tiba merampas begnya yang mengandungi wang tersebut dan melarikan diri. 
“Peniaga itu mengejar mereka dengan kereta dan cuba menyekat dua lelaki itu tetapi gagal,” katanya.
Saiman berkata polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
 Beliau menasihatkan orang ramai yang mengeluarkan wang yang banyak dari bank supaya lebih berhati-hati.

Tuesday, 17 January 2012

Buruh maut ditikam lima lelaki


LAHAD DATU: Seorang buruh ladang maut ditikam di bahagian dada kanan oleh sekumpulan lima lelaki tidak dikenali di sebuah kedai minum di Felda Sahabat 2, Tungku dekat sini malam Isnin.

 Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa, yang dikenali Rodi Usof, 31, sedang duduk minum di kedai itu bersama dua lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin Mat, berkata sekumpulan lima lelaki berusia lingkungan 30-an tdilihat masuk ke kedai itu dan duduk tidak jauh dari meja mangsa.

Shamsudin berkata, siasatan awal mangsa diserang oleh kumpulan lelaki terbabit sewaktu hendak ke tandas sebelum dia dilihat terlantar rebah oleh rakannya.

“Kesemua lelaki tersebut melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Melihat mangsa rebah dengan kesan tikaman, dua rakannya itu membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia.

Shamsudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD) untuk dibedah siasat.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis Lahad Datu atau pegawai penyiasat, Cif Inspektor Ladamah Haji Sulaiman di talian 013-5511999 untuk membantu siasatan,” tambahnya lagi.


PERIKSA … pegawai penyiasat sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.