Tuesday, 17 January 2012

Buruh maut ditikam lima lelaki


LAHAD DATU: Seorang buruh ladang maut ditikam di bahagian dada kanan oleh sekumpulan lima lelaki tidak dikenali di sebuah kedai minum di Felda Sahabat 2, Tungku dekat sini malam Isnin.

 Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa, yang dikenali Rodi Usof, 31, sedang duduk minum di kedai itu bersama dua lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin Mat, berkata sekumpulan lima lelaki berusia lingkungan 30-an tdilihat masuk ke kedai itu dan duduk tidak jauh dari meja mangsa.

Shamsudin berkata, siasatan awal mangsa diserang oleh kumpulan lelaki terbabit sewaktu hendak ke tandas sebelum dia dilihat terlantar rebah oleh rakannya.

“Kesemua lelaki tersebut melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Melihat mangsa rebah dengan kesan tikaman, dua rakannya itu membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan, bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia.

Shamsudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu (HLD) untuk dibedah siasat.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis Lahad Datu atau pegawai penyiasat, Cif Inspektor Ladamah Haji Sulaiman di talian 013-5511999 untuk membantu siasatan,” tambahnya lagi.


PERIKSA … pegawai penyiasat sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.


No comments:

Post a Comment