PAPAR, 18 Jan - (Bernama): Kementerian Kesihatan menyambut
baik keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
bahawa bank susu ibu adalah haram.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin berkata kementerian itu juga tidak menggalakkan penubuhan institusi
sedemikian.
“Kita perlu mengetahui dan mengenali ibu yang memberikan
susu kepada anak kita kerana terdapat unsur-unsur agama yang perlu dihormati,”
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan Papar,
di sini hari ini.
Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar berkata demikian
sebagai mengulas laporan media awal minggu ini, yang antara lain melaporkan
jawatankuasa itu berpendapat tindakan tersebut boleh mengakibatkan percampuran
nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara haram.
Mengenai majlis hari ini, Rosnah berharap lebih ramai
nelayan berdaftar menjadi anggota Persatuan Nelayan Kawasan Papar.
"Persatuan ini dapat menjadi pemudah cara
dalam urusan pengagihan bantuan kerajaan kepada komuniti itu," katanya.
Pada majlis itu, seramai 502 nelayan menerima elaun
bulanan sebanyak RM200.
No comments:
Post a Comment