Thursday, 26 January 2012

Proton Iswara putus dua, penumpang selamat

LAHAD DATU: Enam sekeluarga selamat, meskipun Proton Iswara yang mereka naiki terputus dua apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Lori Nissan di Kilometer 12, Jalan Lahad Datu-Tawau, dekat sini, petang Rabu.
Hanya empat daripada enam ahli keluarga itu yang berusia antara 12 hingga 40 tahun mengalami cedera ringan, kesemuanya telahpun menjalani rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lahad Datu (HLD).
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitenden Shamsudin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang semasa mereka dalam perjalanan dari Kampung Ranggu Tawau menuju ke Sandakan untuk menghantar  salah seorang ahli keluarga terbabit yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Bagaimanapun, katanya, apabila kenderaan itu melalui satu selekoh tajam di tempat kejadian tiba-tiba pemandunya yang berusia 29 tahun itu hilang kawalan dipercayai akibat permukaan jalan yang licin menyebabkan kereta dinaiki memasuki ke lorong sebelah kanan jalan.
“Pada waktu yang sama, sebuah lori datang dari arah bertentangan, menyebabkan kereta proton dinaiki enam sekeluarga itu berlanggar pada bahagian tengah tangki air sebelah kanan lori itu menyebabkan depan kereta itu terputus dua.
“Pelanggaran itu menyebabkan enjin kenderaan tertanggal dan terheret ke tepi bahu jalan sebelah kiri, manakala kedua-dua bahagian pintu depan kereta itu remuk teruk,” katanya sambil menambah ketika kejadian keadaan cuaca adalah hujan renyai.

PUTUS DUA … beginilah keadaan kereta yang dinaiki enam sekeluara terbabit.



No comments:

Post a Comment