Wednesday, 18 January 2012

Kerajaan Sabah tidak pinggir masyarakat Cina


KOTA KINABALU, (Bernama): Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Cina malah akan terus memelihara kepentingan mereka sebagai sebahagian daripada arus pembangunan negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan kebajikan masyarakat Cina tetap terjamin dengan kemampuan memberikan kira-kira RM30 juta untuk bantuan kewangan kepada sekolah Cina dan pembinaan tokong sejak beberapa tahun lepas. 
“Seperti yang kebanyakan kita tahu, sebelum ini kerajaan negeri hanya mampu memperuntuk satu hingga dua juta ringgit, tetapi sejak beberapa tahun lalu kita mampu memberi kira-kira RM30 juta untuk tujuan tersebut. 
“Kerajaan juga membantu aktiviti persatuan dan dewan perniagaan Cina dan akan menyalur bantuan setakat yang mampu.
“Kerajaan negeri telah menyediakan belanjawan sebanyak RM4 bilion tahun ini, wang yang akan digunakan untuk membawa lebih banyak pembangunan sosio ekonomi,” katanya ketika merasmikan Karnival Tahun Baru Cina sempena sambutan ulang tahun ke-12 Bandar Raya Kota Kinabalu di sini malam kelmarin.
Musa yang mengalu-alukan pengisian program itu menyifatkannya sebagai pendekatan untuk memantapkan semangat masyarakat penyayang di kalangan warga kota ini selain merupakan tradisi rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidifitri, Krismas, Pesta Kaamatan dan Deepavali. 
Beliau berkata penganjuran program seumpama itu merupakan platform untuk menyampaikan mesej penting kepada rakyat tentang keutuhan dan kemantapan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri Sabah. 
Karnival yang berlangsung selama empat hari itu diserikan dengan pelbagai program menarik termasuk pemotongan kek terbesar di Sabah, acara menyalakan tanglung, persembahan paluan gendang 24 musim, tarian kebudayaan Cina dan pertunjukan bunga api.
Lebih 8,000 orang termasuk pelancong mengunjungi karnival itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir.

No comments:

Post a Comment