Wednesday, 18 January 2012

PKR Elopura kesal LHDN enggan kendali BR1M


SANDAKAN: Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Elopura, Chan Tzun Hei, menyatakan rasa kesalnya terhadap pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa seolah-olah tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Katanya, ini kerana orang ramai terpaksa berulang-alik ke pejabat-pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) khususnya UPKR Elopura semata-mata untuk mendapatkan maklumat mengenai pemberian bantuan itu.
Katanya, UPKR Elopura tidak tahu menahu orang ramai perlu pergi ke pejabat mereka untuk berurusan soal mendapatkan bantuan itu sehinggalah pada satu mesyuarat mengenai pemberian bantuan BR1M di Bilik Gerakan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) petang Isnin lepas.
“Kalau kita tengok, pejabat kami dipenuhi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung pemberian baucar BR1M ini sedangkan kami tidak tahu menahu orang ramai perlu ke pejabat UPKR,” jelasnya.
Chan yang ternyata kesal dengan cara perkhidmatan LHDN memberitahu bahawa pihaknya terpaksa memaklumkan orang ramai supaya pergi ke Dewan Masyarakat Sandakan pada Khamis ini (hari ini) untuk mendapatkan baucer bantuan itu.
Tinjauan yang dibuat mendapati orang ramai mula mengunjungi pejabat UPKR Elopura sejak pagi dan menyatakan rasa kesal kerana maklumat yang diberikan tidak mengelirukan.
“Mereka cakap pergi ke pejabat Elopura tapi sampai sini tiada pula. Apa ni ... buat penat saja,” kata seorang penerima yang enggan namanya disiarkan.

No comments:

Post a Comment