Monday, 30 January 2012

Parti KITA bukan embun pagi, kata Pengiran Othman


 SANDAKAN: Pengerusi Perhubungan Parti KITA Negeri Sabah, Datuk Pengiran Othman Rauf, menolak andaian sesetengah pihak bahawa Parti KITA seumpama ‘embun pagi’ yang lenyap ketika fajar menyinsing.
Katanya, seperti parti-parti lain, parti KITA mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan kerana misi dan visinya adalah berpandukan kepada kebenaran.
Pengiran Othman berkata, jika dapat menubuhkan kerajaan beliau akan memastikan hanya satu parti atau 'One Party Government' di negeri ini.
“Ini adalah antara agenda KITA  dan sekali gus menguatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap parti yang telah dilancarkan pada Oktober tahun lepas,” tambahnya.
Pengiran Othman menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti KITA peringkat P.187 Kinabatangan dan P.183 Beluran di Bilik Mesyuarat, Hotel Jockey Lodge, di sini, petang Ahad.
Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda Parti KITA Negeri Sabah, Alias Rahmad Benjamin; Pengerusi Penyelaras Parti KITA Kinabatangan, Edham Karim dan Pengerusi Penyelaras Parti KITA Beluran, Hamza Karuput.
Menurut Pengiran Othman, parti KITA berhasrat untuk bertanding dalam semua kawasan pilihan raya di negeri ini termasuk 60 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parti berkenaan tidak akan bersekongkol dengan mana-mana parti terutamanya pembangkang.
Pada majlis itu juga, Pengiran Othman menerima kemasukan beberapa ahli daripada cawangan parti UPKO di Kinabatangan yang bertindak keluar parti untuk menyertai parti KITA.

BERUCAP ... Pengiran Othman (kiri) semasa berucap pada majlis itu


ANTARA YANG HADIR … sebahagian penyokong  parti KITA dari Kinabatangan dan Beluran.


No comments:

Post a Comment