Thursday, 26 January 2012

Abang bakar rumah adik

BAKAR RUMAHA ADIK ... Tertuduh yang hanya berkain pelikat (tiga, kiri) diiringi keluar oleh pegawai polis dari mahkamah.

TAWAU: Seorang abang tergamak membakar rumah adik sendiri mengakibatkan kerugian kira-kira RM45,000.

Tertuduh Dua Alang @ Azmir Sangkalang, 42, mengaku pergi ke rumah adiknya dan menggunakan mancis yang dibawanya bersama telah membakar kertas dan meletakkan kertas itu di ruang tamu sehingga menyebabkan kebakaran.
Tertuduh mengatakan dia membakar rumah itu kerana adiknya menganggap dirinya bukan abangnya.  
Berdasarkan fakta itu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke Dua Alang kerana membakar rumah adik sendiri.
Majistret Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas, Dua Alang selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah kayu tidak bernombor di Kampung Salimbangun, Semporna, kira-kira pukul 4 petang pada 29 Sept tahun lalu.
Hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 30 Sept tahun lalu di Kampung Salimbangun, Semporna.
Dakwaan terhadap Dua Alang dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.
Sebelum kejadian, pengadu bersama anaknya telah meninggalkan rumah pergi ke rumah pakciknya di Kg. Kabogan dan semasa dalam perjalanan pengadu telah berselisih dengan tertuduh dan tertuduh mengatakan dia mahu membakar rumah pengadu.
Pengadu tidak menghiraukan kata-kata tertuduh kerana disyaki tertuduh kurang siuman dan meneruskan perjalanan ke rumah pakciknya.
Semasa pengadu balik ke rumahnya dia telah mendapati rumahnya yang diperbuat daripada kayu telah hangus musnah terbakar dan tiada barang yang berjaya diselamatkan.
Pihak bomba telah dihubungi bagi memadam kebakaran namun rumahnya telah musnah dijilat api dan pengadu telah mengesyaki tertuduh yang membakar rumahnya lalu bertindak membuat laporan polis.



No comments:

Post a Comment