KOTA MARUDU: Aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal menempelak kumpulan lapan ketua kampung di sini yang mendesak beliau meminta maaf secara terbuka kepada MP Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili dan Adun Tandek, Anita Baranting berhubung kenyataannya yang menggelar pemimpin-pemimpin itu sebagai pembawa kutuk.
Ketika dihubungi, Jaipin menegaskan bahawa tiada keperluan untuk beliau meminta maaf kepada pemimpin terbabit kerana kenyataannya baru-baru ini tidak berunsur 'menyumpah',
"Sebaliknya penduduk Kota Marudu dan Tandek lah yang menjadi mangsa kutuk kerana kehilangan tanah anak negeri (NCR) akibat kepimpinan yang lemah kedua-dua pemimpin itu," jelasnya.
"Sedangkan Maximus dan Anita mendapat 'berkat' kerana memiliki kedudukan dalam kerajaan dan menerima upah lumayan setiap bulan, di samping memiliki pelbagai harta," katanya sebagai mengulas tindakan kumpulan lapan ketua kampung di sini yang membuat laporan polis terhadapnya pada 31 Dis. 2011.
Katanya, Maximus dan Anita lah yang sepatutnya meminta maaf kepada penduduk Kota Marudu dan Tandek yang menjadi mangsa perebutan tanah NCR dengan syarikat FMU kerana gagal melindungi rakyat.
Mengenai kumpulan lapan ketua kampung itu dan PKR (Hendrus Anding), Jaipin berkata, mereka sebenarnya bertindak demikian semata-mata untuk melindungi 'bos-bos' mereka itu daripada tersungkur dalam arena politik dan kedudukan.
Sementara itu, Ketua Kampung Jusika Giaras menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dalam kumpulan lapan ketua kampung di Kota Marudu yang bertindak membuat laporan polis terhadap Jaipin pada Sabtu (31 Dis. 2011).
Difahamkan bahawa Jusika tidak mengetahui perkara itu dan, tidak pernah mana-mana individu mempelawanya menyertai kumpulan tersebut.
"Ketika kumpulan itu membuat laporan polis, saya tidak bersama mereka kerana tidak dimaklumkan. Kalaupun diberitahu saya tidak akan menyertai kumpulan itu kerana tindakan Jaipin adalah tidak salah," jelasnya.
Jusika yang juga antara mangsa kerakusan syarikat FMU meminta Tahar Untalis selaku ketua kumpulan itu supaya mengugurkan namanya daripada senarai kumpulan tersebut.
No comments:
Post a Comment