Showing posts with label Politic. Show all posts
Showing posts with label Politic. Show all posts

Tuesday, 17 January 2012

Musa optimis rakyat Sabah undi BN

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman optimis rakyat Sabah mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Katanya, rakyat Sabah suka mengenang budi dan jasa kerajaan BN seperti pepatah Melayu ‘ada ubi, ada batas, ada budi, ada balas’.
Musa mempunyai alasan tersendiri sebab rakyat Sabah terus menyokong kerajaan BN.
“Lihatlah negeri-negeri yang diterajui oleh pembangkang bukannya bertambah maju tetapi bertambah mundur,” katanya ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang pecan di sini, kelmarin.
Musa meminta rakyat supaya menolak pembangkang yang suka memburuk-burukkan usaha kerajaan.


MUSA dan Muhyiddin ketika tiba di Seminar Pemantapan Warga
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Wednesday, 4 January 2012

'Bebaskan Anwar 901' Dibantah Keras



BANTAH DEMONSTRASI ... rancangan untuk mengadakan demonstrasi ‘Bebaskan Anwar 901’ secara besar-besaran di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin ini (9 Jan. 2012)  mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak termasuklah para pemimpin politik, NGO, peniaga, pelajar dan orang awam di seluruh negara.
Mereka menyifatkan demonstrasi itu sebagai ‘permulaan kiamat’ kepada Negara Malaysia dan jika dibiarkan berlaku ianya bakal mengundang huru hara yang sukar dikawal.
Oleh itu, kerajaan dan pihak polis perlu bertindak tegas melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada kerana kalau sudah terantuk baru tengadah – itu tidak ada maknanya lagi.
Difahamkan juga, sudah beratus-ratus laporan polis telah dibuat sebagai membantah rancangan ahli parti pembangkang untuk mengadakan demonstrasi  semata-mata menuntut keadilan membebaskan ’big boss pembangkang’ itu,  iaitu penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.
Hari ini (4 Jan. 2012), Naib Ketua Pemuda Umno Kuantan Hazrin Basir (tengah) bersama-sama anggota Pemuda Umno menunjukkan laporan polis yang telah dibuat di Kuantan, Pahang bagi membantah ahli parti pembangkang untuk mengadakan demonstrasi.

Jaipin tempelak 8 ketua kampung, Jusika nafi terlibat

KOTA MARUDU: Aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal menempelak kumpulan lapan ketua kampung di sini yang mendesak beliau meminta maaf secara terbuka kepada MP Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili dan Adun Tandek, Anita Baranting berhubung kenyataannya yang menggelar pemimpin-pemimpin itu sebagai pembawa kutuk.
Ketika dihubungi, Jaipin menegaskan bahawa tiada keperluan untuk beliau meminta maaf kepada pemimpin terbabit kerana kenyataannya baru-baru ini tidak berunsur 'menyumpah',
"Sebaliknya penduduk Kota Marudu dan Tandek lah yang menjadi mangsa kutuk kerana kehilangan tanah anak negeri (NCR) akibat kepimpinan yang lemah kedua-dua pemimpin itu," jelasnya.
"Sedangkan Maximus dan Anita mendapat 'berkat' kerana memiliki kedudukan dalam kerajaan dan menerima upah lumayan setiap bulan, di samping memiliki pelbagai harta," katanya sebagai mengulas tindakan kumpulan lapan ketua kampung di sini yang membuat laporan polis terhadapnya pada 31 Dis. 2011.
Katanya, Maximus dan Anita lah yang sepatutnya meminta maaf kepada penduduk Kota Marudu dan Tandek yang menjadi mangsa perebutan tanah NCR dengan syarikat FMU kerana gagal melindungi rakyat.
Mengenai kumpulan lapan ketua kampung itu dan PKR (Hendrus Anding), Jaipin berkata, mereka sebenarnya bertindak demikian semata-mata untuk melindungi 'bos-bos' mereka itu daripada tersungkur dalam arena politik dan kedudukan.
Sementara itu, Ketua Kampung Jusika Giaras menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dalam kumpulan lapan ketua kampung di Kota Marudu yang bertindak membuat laporan polis terhadap Jaipin pada Sabtu (31 Dis. 2011).
Difahamkan bahawa Jusika tidak mengetahui perkara itu dan, tidak pernah mana-mana individu mempelawanya menyertai kumpulan tersebut.
"Ketika kumpulan itu membuat laporan polis, saya tidak bersama mereka kerana tidak dimaklumkan. Kalaupun diberitahu saya tidak akan menyertai kumpulan itu kerana tindakan Jaipin adalah tidak salah," jelasnya.
Jusika yang juga antara mangsa kerakusan syarikat FMU meminta Tahar Untalis selaku ketua kumpulan itu supaya mengugurkan namanya daripada senarai kumpulan tersebut.

Angkara 'kutuk' Jaipin didesak minta maaf

KOTA KINABALU: Gara-gara menggelar Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tandek, Anita Baranting  sebagai pembawa 'kutuk', lapan ketua kampung di Kota Marudu membuat laporan polis menuntut aktivis masyarakat Jaipin Mohigal meminta maaf.
Ketua Kampung Tahar Untalis yang mengetuai kumpulan itu menuntut Jaipin supaya meminta maaf secara terbuka kepada Maximus dan Anita berhubung kenyataannya (Jaipin) baru-baru ini yang dikatakan berunsur 'sumpahan'.
Sementara itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Hendrus Anding pula menyifatkan kenyataan Jaipin sebagai tidak berasas dan mengambarkan Maximus dan Anita sebagai pemimpin pembawa 'sial' kepada penduduk Kota Marudu.
Hendrus berkata, kenyataan Jaipin itu menyalahi hukum adat anak negeri kerana mempunyai unsur sumpahan.
Lapan ketua kampung itu ialah Ungkias Eja, Jikuat Makandung, Baun Abit, Mijuil Mingsu, Majurul Impulan, Maebin Ginadung, Jusika Giaras, Tahar Untalis dan Maijil Abit.

Monday, 19 December 2011

Maximus dan Anita bukan calon boleh menang: Jaipin


KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat Jaipin Mohigal menggesa pucuk pimpinan Barisan Nasional pusat supaya tidak menyenaraikan nama Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek, Lasiah @ Anita Baranting sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang kerana mereka bukanlah dikategorikan sebagai calon yang boleh menang.
Beliau juga meminta Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan supaya nama Maximus dan Anita 'disenaraihitamkan' daripada senarai calon pada PRU-13.

Mantan Ketua Kampung, Kampung Bunsadan Kota Marudu itu mencadangkan supaya kerusi Parlimen Kota Marudu dan DUN Tandek diserahkan kepada Umno.

Jaipin menegaskan, tidak ada faedahnya mereka (Maximus dan Anita) dicalonkan semula kerana mereka bukanlah pembawa 'berkat' kepada penduduk Kota Marudu/Pitas dan Tandek tetapi pembawa kutuk.

Katanya, sepanjang mereka memimpin di kawasan berkenaan kehidupan rakyat semakin tertekan akibat kehilangan hak ke atas tanah-tanah anak negeri (NCR) yang kini telah diimiliki oleh sebuah syarikat besar FMU.

"Tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat di kawasan yang mereka wakili kerana rakyat sudah berada di ambang pengusiran daripada tanah-tanah leluhur mereka. Semuanya berpunca daripada kegagalan pemimpin-pemimpin tersebut mempertahankan hak rakyat.

Menurut Jaipin lagi, semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008, Maximus dan Anita menggunakan isu NCR kononnya isu itulah yang menjadi keutamaan mereka jika menang.

"Mereka berjanji akan menghalau syarikat FMU itu dari daerah Kota Marudu dan Pitas. Akibat terlalu percaya kepada janji-janji itu rakyat Kota Marudu,Tandek dan Pitas telah mengundi pemimpin berkenaan dan menang," jelasnya.

Jaipin berkata, kini sudah empat tahun mereka menunggu Maximus dan Anita menunaikan janji namun, sehingga sekarang semuanya tinggal janji.


 

Gagal singkir syarikat FMU, Dr Maximus dan Anita diminta beri penjelasan


KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal, 61, meminta Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek, Lasiah @ Anita Baranting supaya memberi penjelasan kepada penduduk di kawasan berkenaan selepas gagal menunaikan janji untuk menyingkirkan sebuah syarikat besar yang telah merampas tanah-tanah anak negeri (NCR).
Jaipin yang mewakili penduduk Kota Marudu dan Tandek, berkata selepas memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek pada pilihan raya umum 2008, kedua-dua pemimpin itu terus membisu tanpa sebarang tindakan drastik terhadap syarikat itu seperti yang mereka janjikan.

Kini, Dr Maximus memegang jawatan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kabinet Persekutuan sementara, Anita ialah wakil rakyat Tandek.

Jaipin menegaskan, akibat daripada kegagalan menyingkirkan syarikat itu, penduduk di daerah Kota Marudu dan Pitas kehilangan hak ke atas tanah-tanah anak negeri seluas 60,000 hektar berdasarkan kepada kandungan surat yang diterima oleh sebuah firma perunding pengukuran dan bukannya 42,000 hektar seperti yang disiarkan sebelum ini.

Menurut kandungan surat itu lagi, katanya, syarikat itu dengan kerjasama sebuah agensi milik kerajaan negeri terlibat dalam projek pemuliharaan hutan simpan (FMU) di daerah berkenaan.

"Ini sudah tentu penduduk di kawasan terlibat bakal merempat di tempat sendiri, manakala harta benda mereka termasuk ladang dijarah oleh syarikat berkenaan. Dan, tanah-tanah perkuburan penduduk kampung mungkin akan dibajak untuk tujuan FMU.

" Inikah balasan kerajaan kepada rakyat yang memilih dan menyokong mereka selama ini," katanya.

Jaipin berkata, masalah pencerobohan tanah-tanah NCR merupakan kekangan utama yang menghambat kehidupan penduduk kampung di kawasan Parlimen Kota Marudu yang sampai sekarang belum menemui formula penyelesaiannya.

"Ini disebabkan oleh tindakan pemimpin-pemimpin di kawasan itu tidak menjadikan isu tersebut sebagai prioriti, kalau usaha itu dilakukan sudah tentu masalah itu tidak berpanjangan," tegasnya.

"Inilah masalahnya jika dipimpin oleh pemimpin yang lemah, mudah lupa pada janji, dan tidak berpendirian teguh yang menjadi mangsanya ialah rakyat kerana termakan janji manis politik – dalam erti kata, rakyat akhirnya berputih mata," ujarnya.

Sedikit masa lagi, kata Jaipin, penduduk di daerah Kota Marudu dan Pitas akan menyaksikan tanah-tanah anak negeri mereka dan harta benda menjadi puing.

Kepada Dr Maximus dan Anita, Jaipin berkata, tiada jalan pintas untuk mengekalkan kuasa kerana rakyat Kota Marudu/Tandek akan menilai semula sokongan mereka.

Sunday, 18 December 2011

60,000 hektar tanah NCR Kota Marudu, Pitas kena ‘ngap’


KELOMPOK TANAH BERGERAN KECIL ...inilah kawasan tanah bergeran kecil seluas 5,665 ekar milik sebuah syarikat lain yang dikatakan termasuk di dalam  tanah syarikat FMU.

KOTA KINABALU: Bukan 42,000 hektar tetapi 60,000 hektar tanah anak negeri (NCR) di daerah Kota Marudu dan Pitas kena ‘ngap’.
Itulah perkataan yang terpacul di bibir seorang aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal yang terkejut setelah menerima maklumat baru jumlah keluasan tanah-tanah anak negeri yang  dipohon/diambil oleh sebuah syarikat besar.
Bukan alang-alang, katanya, hampir seluruh kawasan tanah anak negeri di daerah Kota Marudu dan Pitas jatuh ke tangan syarikat itu, ianya berlaku tanpa disedari oleh penduduk kampung yang  telah mendiami dan meneroka kawasan itu sejak leluhur mereka lagi.
Malang sekali, katanya lagi, tindakan syarikat itu dikatakan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri  untuk mengambil tanah NCR yang kononnya untuk tujuan pemuliharaan hutan simpan (FMU). Di mana sebuah agensi kerajaan juga terlibat sama dalam projek FMU tersebut.
Beliau juga mempertikaikan, tentang jumlah keluasan tanah yang diukur itu kerana  dalam  permohonan asal syarikat itu pada tahun 2000 hanya seluas 42,000 hektar atau 105,000 ekar (Bil. Permohonan 2004230359) dan diukur melalui udara (Air Survey). Ini merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh akhbar ini pada 29 Oktober 2011.
Syarikat berkenaan juga sudah menjelaskan premium tanah sebanyak RM2.5 juta.
Jaipin berkata, isunya ialah bagaimana keluasaan tanah NCR yang dipohon bertambah 60,000 hektar, sedangkan permohonan asal syarikat itu adalah 42,000 hektar.
Beliau memberitahu, bahawa syarikat itu bersama dengan sebuah  agensi kerajaan telah diberi kelulusan untuk ‘Tree Plantation And Forest Management’ seluas 60,000 hektar oleh Kerajaan Negeri di daerah Kota Marudu dan Pitas melalui surat Jabatan Tanah dan Ukur Bil. LS.2201.1.1075(vol 2)/160 bertarikh 12 September 2006.
Katanya, sebaik menerima kelulusan,  syarikat itu telah  melantik sebuah firma untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan tanah seluas 60,000 hektar tersebut.
Surat Arahan Ukur (RSP.2007229011) yang dikeluarkan oleh Juruukur Daerah Pantai Barat (Utara), Kota Kinabalu melalui surat jabatan itu Ruj. DSWC(N):1.2.24/R/Vol.VII/(114) bertarikh 26 September 2007.
Jaipin berkata, firma itu telah diberi tempoh lapan (8) bulan untuk menyiapkan kerja-kerja pengukuran dan penandaan, membabitkan lapan orang  juruteknik dan pembantu menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun, katanya, pekerja-pekerja firma itu dihalang oleh penduduk-penduduk kampung (Kg Melangkap dan Kg Tagayamut Kota Marudu) ketika melakukan tugas mereka di kawasan tanah yang diluluskan setelah diberitahu tujuan mereka berada di kawasan itu.
Berikutan insiden itu, tambahnya,  firma itu telah ‘menghentikan’ kerja-kerja pengukuran dan penandaan melalui darat sebaliknya  pihak kerajaan dan syarikat menjalankan kerja-kerja pengukuran dan penandaan melalui udara (Air Survey).
Terdahulu, sebelum membuat kerja-kerja penyukatan, firma itu telah menulis surat   Ruj.5-10-22 /686/23 bertarikh 16 Oktober 2007 ditujukan kepada Pegawai Daerah/Penolong Pemungut Hasil Tanah, Kota Marudu, Pegawai Polis Daerah, Kota Marudu dan Pejabat Juruukur Daerah, Kota Marudu dan salinan kepada Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung untuk memaklumkan kerja-kerja pengukuran di tanah itu.
Jaipin berkata, apa yang menimbulkan ketidakpuashatian di kalangan penduduk ialah, mereka telah tinggal di kawasan tanah NCR itu sejak sekian lama tetapi telah dianaktirikan oleh kerajaan. Usaha mereka untuk memohon tanah juga tidak pernah diluluskan.
Beberapa penduduk tempatan antaranya WKAN Kuntinggan Singgaran yang mewkili 1,500 penduduk memohon tanah NCR seluas 4,500 ekar  melibatkan enam buah kampung dalam Mukim Simpangan dan Marak-Parak Kota Marudu.
Enam buah kampung itu ialah Kg Natu, Kg Paliu Sumbuh, Kg Malangkap Darat, Kg Malangkap Tengah, Kg Mogis dan Kg Wokok Kota Marudu.
Isang Rawai telah mengemukakan permohonan tanah NCR seluas 750 ekar di Kampung Natu, Martha Madaun (600 ekar) dan mendiang Gintulu Kapal  seluas 200 ekar serta beberapa orang lagi. Semua permohonan mereka tidak diluluskan oleh pihak berkuasa berkenaan.
Sementara itu,  WKAN Kuntinggan Singgaran ketika dihubungi kelmarin memberitahu, beliau telah  mengemukakan permohonan tanah NCR sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1970, 1998 dan 2006 setelah tidak mendapat respons daripada pihak Juruukur Daerah Pantai Barat Utara.
Bagaimanapun, katanya, setelah menunggu sekian lama pihak Juruukur Daerah Pantai Barat Utara akhirnya mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa permohonan beliau itu tidak dapat diproses.
Kuntinggan berkata, alas an yang diberikan oleh pihak Juruukur Daerah ialah kononnya kawasan yang beliau pohon bertindih/termasuk di dalam kawasan syarikat FMU dan berada dalam kawasan tadahan air Sungai Kanarom.
Beliau juga mempertikaikan alas an-alasan itu kerana terdapat permohonan tanah bergeran kecil seluas 5,665 ekar diluluskan atas nama sebuah syarikat yang bersempadan dengan tanah yang beliau pohon telah mendapat geran tanpa sebarang masalah.
“Ada beberapa kawasan lagi tanah yang dimiliki oleh syarikat-syarikat lain di Mukim Marak-Parak telah mendapat geran tanah daripada Jabatan Tanah Dan Ukur Kota Kinabalu dan tidak pula berstatus tadahan air Sungai Kanarom,” tambanya.
 “Kenapa hanya permohonan tanah daripada penduduk tempatan diberikan  status sedemikian dan tidak kepada syarikat-syarikat besar,” ujarnya.
 Walaupun kecewa dengan keputusan itu, beliau tetap berjuang supaya permohonan tanah seluas 4,500 ekar dalam Mukim Simpangan dan Marak-Parak diluluskan bagi membolehkan penduduk dan anak cucu mereka terjamin masa depan.
Katanya, apa yang penting dilakukan kerajaan ialah mengeluarkan tanah-tanah adat kampung dalam kawasan mukim berkenaan  daripada kawasan syarikat FMU dan membatalkan cadangan tadahan air Sungai Kanarom.
“Bayangkan jika berlaku pertikaian tanah adat, ladang, tanah perkuburan di kalangan penduduk, tidak ada siapa yang boleh membantu menyelesaikannya kerana tanah di mana mereka duduki itu bukan lagi milik mereka. Kita tidak boleh buat sesuatu dengan sesuka hati,” tegasnya.
“Atas sebab itulah saya merayu kepada kerajaan supaya membenarkan penduduk tempatan memiliki tanah sendiri yang bergeran untuk kelansungan hidup anak cucu kami,” katanya.



Saturday, 17 December 2011

Penduduk Kota Marudu dan Pitas Dalam Dilema


TUNJUK PELAN TANAH ... Jaipin menunjukkan 
pelan tanah yang dipohon oleh syarikat itu.


KOTA KINABALU: Penduduk kampung di daerah Kota Marudu dan Pitas bakal kehilangan hak ke atas tanah-tanah anak negeri (NCR) yang mereka duduki sejak turun temurun, jika kerajaan negeri membenarkan sebuah syarikat swasta Resofocus Corporation Sdn Bhd (Bega Raya Sdn Bhd) mengambil tanah-tanah kampung untuk tujuan pemuliharaan hutan simpan (FMU).
Dalam pelan tanah yang dipohon oleh syarikat itu hanya melibatkan dua daerah iaitu Pitas dan Kota Marudu membabitkan tanah seluas 42,000 hektar (105,000 ekar).
Seorang aktivis masyarakat dari Kampung Bunsadan, Tandek di Kota Marudu, Encik Jaipin Mohigal, 61, ketika ditemui baru-baru ini, berkata dalam permohonan syarikat itu hanya melibatkan dua daerah tetapi,  jika pelan permohonan tanah itu diamati turut melibatkan kawasan tanah adat negeri di daerah Beluran.
Menurutnya, syarikat itu telah mengemukakan permohonan tanah pada tahun 2000  (Bil. Permohonan 2004230359) di mana pengukuran dibuat melalui udara (Air Survey).
Beliau juga difahamkan bahawa syarikat besar itu sudah pun menjelaskan bayaran premium tanah sebanyak RM2.5 juta.
“Ini bermakna semua penduduk yang mendiami kawasan-kawasan (daerah) berkenaan akan kehilangan hak ke atas tanah-tanah anak negeri itu buat selamanya dan, ini pastinya akan membantutkan kelansungan hidup mereka,” tambah beliau.
“Itulah perkara yang membimbangkan dan menghantui fikiran penduduk terbabit,” kata Jaipin lagi.
Beliau difahamkan bahawa surat kelulusan atau kebenaran belum lagi dikeluarkan kepada syarikat berkenan untuk menjalankan kerja-kerja penyukatan darat.
Berdasarkan kepada maklumat itu, katanya, jika benar surat kelulusan belum lagi dikeluarkan kenapa syarikat itu tidak mematuhinya, sebaliknya terus menjalankan kerja-kerja penyukatan dan pencerobohan di kawasan tanah anak negeri yang diduduki penduduk kampung.
Beliau juga tidak pasti bagaimana syarikat itu diberi lesen untuk mengurus FMU yang bertindak lancang  menceroboh tanah NCR dan memusnahkan tanaman penduduk hanya semata mata kerana program FMU.
Jaipin turut mempertikaikan  sikap kerajaan negeri kerana gagal memantau tindakan melampau syarikat itu yang tidak mematuhi lunas-lunas perjanjian seperti yang termaktub di dalam Sustainable Forest Management (SFM) Licence Agreement mengikut Enakmen Hutan 1968.
“Jelas sekali kerajaan gagal mempertahankan hak-hak Orang Asal di negeri ini sebaliknya lebih cenderung menghakis status NCR tanpa pertimbangan yang adil,” ujarnya.
Jaipin amat kesal dan sedih melihat penduduk yang menjadi mangsa kerakusan syarikat bukan sahaja kehilangan rumah, harta benda tetapi sumber rezeki ladang tanaman kerana dimusnahkan tanpa sebarang bayaran pampasan oleh kerajaan mahu pun syarikat itu. 
Beliau ingin tahu bagaimana dengan tanah perkuburan penduduk kampung, adakah kawasan itu turut dibangunkan oleh syarikat  untuk tujuan FMU.
Sehubungan dengan itu, Jaipin menyeru kepada semua mangsa-mangsa oleh syarikat yang mengendalikan FMU di negeri ini supaya bangkit mempertahankan hak-hak mereka daripada menjadi rakyat gelandangan. 
 Dalam kes begini, katanya, sepatutnya bawalah rakyat berbincang dahulu dan beri penjelasan. Bukan menikam rakyat dari belakang.
“Janganlah kerana FMU sehinggakan menyusahkan kehidupan rakyat. Belalah nasib rakyat bukan dianiaya,” ujarnya lagi.
“Apalah ertinya slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ sedangkan apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya,” katanya.
“Adalah lebih baik jika kerajaan mengekalkan penduduk kampung menetap di kawasan FMU atau di tanah anak negeri yang diwartakan untuk FMU, dengan memberikan mereka kemudahan infrastruktur yang lengkap sesuai dengan lunas-lunas perjanjian dalam FMU.
“ Atau, keluarkan sahaja kawasan tanah adat negeri daripada kawasan FMU dan jangan diusik lagi,” jelas Jaipin.
Jaipin yang juga bekas Ketua Kampung, Kampung Bunsadan, mendedahkan, sejak berita itu tersebar luas ramai penduduk kampung di daerah terlibat naik angin dan gelisah memikirkan masa depan dan nasib anak cucu mereka.
 Menurut Jaipin lagi, sepanjang pengetahuan beliau tidak pernah diadakan dialog bagi membincangkan isu itu di kalangan agensi kerajaan, wakil-wakil rakyat kawasan berkenaan, syarikat dan penduduk.
Ironinya, katanya, pemimpin-pemimpin masyarakat seperti JKKK dan Ketua Kampung langsung tidak mengetahui kewujudan syarikat itu dan tujuan mereka. Ianya datang dengan senyap-senyap seperti pencuri di siang hari.
Jaipin berkata, bahawa beliau juga tidak tahu siapa dalang utama yang membenarkan dan membawa syarikat itu yang begitu ghairah menceroboh tanah-tanah adat di kampung mereka.
Menurutnya lagi, pernah beberapa badan NGO seperti Suhakam telah datang bertemu mangsa-mangsa terlibat perebutan tanah untuk mendapatkan maklumat terperinci kononnya mahu membantu rakyat menangani masalah itu tetapi, sehingga ke hari ini tidak ada khabar berita mengenai penyelesaiannya.
Dan sebagai makluman, katanya, dengan memberi beberapa contoh, ramai penduduk Kampung Pinatau, Kg Melangkap dan Kg Marak Parak di daerah Kota Marudu telah mengemukakan permohon tanah sejak tahun 1967 dan 1973 lagi tetapi, tidak satu pun daripada permohonan itu diluluskan oleh kerajaan.
Jaipin juga merayu kepada keprihatinan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman supaya campur tangan mengatasi masalah itu demi kebaikan kerajaan dan rakyat di kawasan terbabit, dalam erti kata sebenar kedua-dua pihak ‘menang menang’.



PELAN TANAH ... lakaran tanah yang dipohon 
oleh syarikat melibatkan keluasan 42,000 hektar.