Monday, 19 December 2011
Maximus dan Anita bukan calon boleh menang: Jaipin
KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat Jaipin Mohigal menggesa pucuk pimpinan Barisan Nasional pusat supaya tidak menyenaraikan nama Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek, Lasiah @ Anita Baranting sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang kerana mereka bukanlah dikategorikan sebagai calon yang boleh menang.
Beliau juga meminta Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan supaya nama Maximus dan Anita 'disenaraihitamkan' daripada senarai calon pada PRU-13.
Mantan Ketua Kampung, Kampung Bunsadan Kota Marudu itu mencadangkan supaya kerusi Parlimen Kota Marudu dan DUN Tandek diserahkan kepada Umno.
Jaipin menegaskan, tidak ada faedahnya mereka (Maximus dan Anita) dicalonkan semula kerana mereka bukanlah pembawa 'berkat' kepada penduduk Kota Marudu/Pitas dan Tandek tetapi pembawa kutuk.
Katanya, sepanjang mereka memimpin di kawasan berkenaan kehidupan rakyat semakin tertekan akibat kehilangan hak ke atas tanah-tanah anak negeri (NCR) yang kini telah diimiliki oleh sebuah syarikat besar FMU.
"Tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat di kawasan yang mereka wakili kerana rakyat sudah berada di ambang pengusiran daripada tanah-tanah leluhur mereka. Semuanya berpunca daripada kegagalan pemimpin-pemimpin tersebut mempertahankan hak rakyat.
Menurut Jaipin lagi, semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008, Maximus dan Anita menggunakan isu NCR kononnya isu itulah yang menjadi keutamaan mereka jika menang.
"Mereka berjanji akan menghalau syarikat FMU itu dari daerah Kota Marudu dan Pitas. Akibat terlalu percaya kepada janji-janji itu rakyat Kota Marudu,Tandek dan Pitas telah mengundi pemimpin berkenaan dan menang," jelasnya.
Jaipin berkata, kini sudah empat tahun mereka menunggu Maximus dan Anita menunaikan janji namun, sehingga sekarang semuanya tinggal janji.
Labels:
Politic
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment