Monday, 19 December 2011
Gagal singkir syarikat FMU, Dr Maximus dan Anita diminta beri penjelasan
KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal, 61, meminta Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek, Lasiah @ Anita Baranting supaya memberi penjelasan kepada penduduk di kawasan berkenaan selepas gagal menunaikan janji untuk menyingkirkan sebuah syarikat besar yang telah merampas tanah-tanah anak negeri (NCR).
Jaipin yang mewakili penduduk Kota Marudu dan Tandek, berkata selepas memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek pada pilihan raya umum 2008, kedua-dua pemimpin itu terus membisu tanpa sebarang tindakan drastik terhadap syarikat itu seperti yang mereka janjikan.
Kini, Dr Maximus memegang jawatan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kabinet Persekutuan sementara, Anita ialah wakil rakyat Tandek.
Jaipin menegaskan, akibat daripada kegagalan menyingkirkan syarikat itu, penduduk di daerah Kota Marudu dan Pitas kehilangan hak ke atas tanah-tanah anak negeri seluas 60,000 hektar berdasarkan kepada kandungan surat yang diterima oleh sebuah firma perunding pengukuran dan bukannya 42,000 hektar seperti yang disiarkan sebelum ini.
Menurut kandungan surat itu lagi, katanya, syarikat itu dengan kerjasama sebuah agensi milik kerajaan negeri terlibat dalam projek pemuliharaan hutan simpan (FMU) di daerah berkenaan.
"Ini sudah tentu penduduk di kawasan terlibat bakal merempat di tempat sendiri, manakala harta benda mereka termasuk ladang dijarah oleh syarikat berkenaan. Dan, tanah-tanah perkuburan penduduk kampung mungkin akan dibajak untuk tujuan FMU.
" Inikah balasan kerajaan kepada rakyat yang memilih dan menyokong mereka selama ini," katanya.
Jaipin berkata, masalah pencerobohan tanah-tanah NCR merupakan kekangan utama yang menghambat kehidupan penduduk kampung di kawasan Parlimen Kota Marudu yang sampai sekarang belum menemui formula penyelesaiannya.
"Ini disebabkan oleh tindakan pemimpin-pemimpin di kawasan itu tidak menjadikan isu tersebut sebagai prioriti, kalau usaha itu dilakukan sudah tentu masalah itu tidak berpanjangan," tegasnya.
"Inilah masalahnya jika dipimpin oleh pemimpin yang lemah, mudah lupa pada janji, dan tidak berpendirian teguh yang menjadi mangsanya ialah rakyat kerana termakan janji manis politik – dalam erti kata, rakyat akhirnya berputih mata," ujarnya.
Sedikit masa lagi, kata Jaipin, penduduk di daerah Kota Marudu dan Pitas akan menyaksikan tanah-tanah anak negeri mereka dan harta benda menjadi puing.
Kepada Dr Maximus dan Anita, Jaipin berkata, tiada jalan pintas untuk mengekalkan kuasa kerana rakyat Kota Marudu/Tandek akan menilai semula sokongan mereka.
Labels:
Politic
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment