Wednesday, 18 January 2012

Pembantu rumah Kemboja dakwa dilayan seperti hamba di M’sia


MELBOURNE, (Bernama): Seorang pembantu rumah dari Kemboja mendedahkan dia telah dilayan majikannya seperti seorang hamba ketika bekerja di Kuala Lumpur, demikian menurut satu laporan dalam akhbar ‘The Age’ hari ini.  
Kejadian seekor ular berukuran satu meter memasuki kediaman majikannya ‘mengakhiri’ kesangsaraan Orn Eak selama dua tahun dan perkhidmatannya ditamatkan selepas itu.
(Binatang seperti ular atau naga memain peranan istimewa sekali dalam mitologi orang Kemboja)
“Apabila ular tersebut menjalar masuk ke kediaman majikan saya, dia menyalahkan saya dan terus membuang saya kerja,” Orn Eak yang berusia 28 tahun memberitahu wakil akhbar berkenaan bagi rantau Asia Tenggara, Lindsay Murdoch.
 “Sebenarnya saya dipersalahkan untuk semua perkara, termasuk kematian ibu majikan saya yang sudah lanjut usia.”
Sebagai seorang ibu tunggal memiliki anak lelaki berusia lima tahun, Orn Eak berkata dia datang bekerja di Malaysia kerana ibunya susah untuk meneruskan penghidupan di kampung mereka di wilayah Kompong Thom.  Orn Eak mendakwa dia tidak diberi cuti mingguan dan bekerja sejak awal pagi hingga dini hari menjaga ibu majikannya yang sudah tua itu. Katanya, dia selalu dipukul dan kelaparan.
Layanan buruk itu terus menjadi-jadi selepas sahaja wanita tua itu meninggal dunia di hospital.
Bulan Oktober tahun lepas, Kemboja mengenakan larangan sementara bagi penghantaran pekerja pembantu rumah ke Malaysia berikutan sejumlah aduan mengenai perbuatan menginaya.
Perintah tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen selepas ‘sejumlah maklumat negatif’ diterima mengenai layanan terhadap pembantu rumah Kemboja di Malaysia.
Ibu kepada Orn Eak bernama Ee Tha, 55, memberitahu “The Age” yang dia menerima hanya dua pembayaran bagi tempoh hampir dua tahun daripada majikan anaknya itu berjumlah US$270 (kira-kira RM840).
Majikan menolak pula daripada gaji Orn Eak, yang dikatakan US$180 sebulan (kira-kira RM560) bagi bayaran tiket kapal terbang pulang.
Apabila Orn Eak kembali ke Phnom Penh pada bulan November, seorang wanita mengambilnya dari lapangan terbang terus membawanya ke pejabat agensi pekerjaan.
“Saya menceritakan tentang kejadian ular tersebut kepada seorang pengarah.  Lima lelaki kemudian masuk ke dalam bilik lalu memukul saya. Mereka menghantukkan kepala saya ke pintu kaca dan menendang saya,” katanya.  
Ee Tha, yang disuruh datang ke Phnom Penh untuk mengambil anak perempuannya itu memberitahu: “Bila sahaja melihat muka dan badan anak saya itu luka dan bercalar, saya amat sedih.”
Selepas Ee Tha enggan meninggalkan pejabat agensi pekerjaan itu bersama anaknya selagi anaknya itu tidak diberi wang yang sepatutnya diterima, seorang pengarah akhirnya menyerahkan lebih US$1,200 (kira-kira RM3,740) – ini bermakna Orn Eak memperoleh hanya US$1,470 (kira-kira RM4,580) selepas bekerja hampir dua tahun.
Petugas kebajikan telah mengesahkan tentang apa yang deritai oleh bekas pembantu rumah tersebut, kata akhbar berkenaan.

No comments:

Post a Comment