Monday, 30 January 2012

Perang siber PRU-13

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said memberi amaran kepada ahli-ahli Puteri Umno supaya memperlengkapkan diri dengan pengetahuan taktikal peperangan menerusi siber untuk menentang propaganda pembangkang.
Salleh mendorong Pergerakan Puteri supaya menggunakan sepenuhnya laman sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Blog untuk menyalurkan maklumat dan mematah propaganda licik pembangkang.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu berkata, Puteri Umno perlu mempunyai strategi menangani isu-isu yang ditimbulkan pembangkang yang disiarkan dalam laman sosial itu.
“Kita tidak akan menang ‘peperangan' itu jika kita tidak mempunyai perancangan rapi  dan kelengkapan senjata untuk menangkis  isu-isu  jumud yang diwar-warkan pihak lawan di medan kempen PRU-13 nanti,” katanya semasa merasmikan penutupan Kursus Penyelaras IT Puteri Umno Sabah di Hotel Grand Borneo, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu ahli-ahli Puteri Umno supaya menjadi sayap muda yang terkuat dalam Umno.
“Kesetiaan kepada parti, kepimpinan pusat dan negeri adalah elemen penting yang perlu diberi keutamaan jika pergerakan itu mahu digelar ‘tiang negara’,” katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan itu menjentik Puteri Umno supaya tidak alfa menjaga sistem maklumat  pengundi wanita bawah 40 tahun di mana pada Pilihan Raya Umum (2004 dan 2008) Puteri Umno diberi tanggungjawab mengawasi input/output IT .
Hadir sama Ketua Puteri Umno Sabah, Musliati Moslimin dan Ketua-ketua Puteri Umno bahagian, peserta kursus dari 25 bahagian serta Puteri Umno Malaysia bahagian Biro IT.
RAMAH MESRA ... Salleh beramah mesra dengan Rosnah (dua, kiri) dan Muslaiti (kiri, sekali) pada Program Kursus Penyelaras IT Puteri Umno Sabah.
ALBUM ... Rosnah, Shirlin, Salleh dan Musliati Moslimin merakamkan gambar kenangan bersama peserta Kursus Penyelaras IT Puteri Umno Sabah di perkaranagn Grand Borneo, Kota Kinabalu.









No comments:

Post a Comment