Tuesday, 17 January 2012

Jaipin sambut baik pengasingan NCR Kota Marudu dari tanah milik Begaraya


KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat Jaipin Mohigal menyambut baik langkah kerajaan untuk mengasingkan tanah Hak Adat Pribumi (NCR) dari kawasan yang diluluskan kepada Begaraya Sdn Bhd di Kota Marudu.
Katanya, langkah dan pendekatan itu sangat melegakan hati rakyat di daerah berkenaan yang menuntut hak terhadap tanah milik leluhur mereka sejak 1997 lagi.
“Saya berharap ianya berjalan lancar dimana rakyat diberi hak sepenuhnya terhadap tanah milik nenek moyang mereka untuk kesinambungan hidup genarasi akan datang,” katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri Sains,  Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang berkata bahawa tanah-tanah NCR Kota Marudu akan diasingkan dari kawasan yang diluluskan kepada Begaraya Sdn Bhd.
Dr Maximus membuat kenyataan itu selepas mesyuarat yang dipengerusikan Oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Osman Jamal di Kota Marudu baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Adun Tandek, Anita Baranting, Adun Matunggung, Sarapin Magana dan para pegawai Begaraya.
Antara lain Dr Maximus berkata, kerja-kerja pengukuran akan dilakukan oleh pasukan ukur selepas Tahun Baru Cina ini bermula dari Kampung Bombong 1 dan Kampung Samparita untuk mengeluarkan geran komunal.
Dr Maximus juga berkata, terdapat kira-kira 40 kampung di Kota Marudu yang bertindih  dengan tanah Begaraya masing-masing akan diperuntukkan tanah 40 hektar sebagai rizab kampung.
Tanah seluas 40 hektar itu termasuklah tanah perkuburan (2 hektar), kemudahan kerajaan (8 hektar), 6 hektar bagi setiap keluarga dengan anak sehingga lima orang dan 20 ekar bagi setiap keluarga lebih daripada lima orang anak.
Golongan yang berhak mendapat sebidang tanah itu adalah keluarga atau mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
Menyentuh perkara itu, Jaipin berkata, di atas kertas pelan penyelesaian pertikaian tanah NCR dengan Begaraya nampaknya menarik, apa pun hakikatnya kita tunggu dan lihat sama ada pendekatan itu boleh dilaksanakan.
Beliau juga berterima kasih kepada Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang akhirnya menunaikan janjinya seperti yang  dilaung-laungkannya semasa kempen pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun, Jaipin mengingatkan supaya langkah yang diambil itu bukan ‘paracetamol politik’ untuk melegakan sementara hati rakyat menjelangnya pilihan raya umum ke-13 ini dan, selepas pilihan raya kesakitan kembali semula.

No comments:

Post a Comment