Tuesday, 31 January 2012

Jentera meradak gemparkan JKKK


SAMIN AHMAD.

KENINGAU: Badan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) gabungan lima kampung bersama 162 pengusaha  tanaman kelapa sawit dan getah di Kg. Bukit Indah/Ulu Bunang Sook bertekad akan mempertahankan tanah yang telah mereka usahakan sejak 1994 lagi.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak yang juga Pengerusi JKKK Kg.  Serumpun, Samin Ahmad,  64, berkata, mereka amat terkejut apabila sebuah jentera ‘menyelinap’ masuk menceroboh kawasan berkenaan tanpa pengetahuan mereka.
Samin dengan nada marah berkata,  pada 10 Oktober 2011 masalah itu telah mendapat perhatian Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur, Datuk Osman Jamal dan Adun Sook, Datuk Elleon Alfred Angin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Dalam pertemuan itu, katanya, penduduk telah diberi jaminan tidak akan kehilangan hak kerana masalah itu akan dibincang secara ‘menang-menang’ antara penduduk kampung terlibat dan Safoda.
“Anehnya  tiba-tiba pula muncul jentera pemaju tanpa membawa sebarang dokumen kebenaran ‘meradak’ ke kawasan yang dipertikaikan,” jelasnya.
“Berikutan dengan tindakan ‘biadab’ pemaju itu maka, penduduk telah mengadakan mesyuarat tergampar untuk menentang sekeras-kerasnya penerokaan itu selagi belum ada penyelesaian total dibuat,” tegas Samin.
Menurut Samin, salinan minit mesyuarat bantahan yang diadakan pada 22 Januari lepas itu turut  diberikan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

JENTERA  MERADAK ... jentera milik pemaju ini memasuki kawasan yang dipertikaikan tanpa pengetahuan penduduk terlibat.
MULA DITEROKA ...kawasan yang mula diterokai oleh pemaju tanpa sebaran penyelesaian melibatkan penduduk.

BANTAH ... penduduk yang terlibat bergambar selepas mengadakan mesyuarat bantahan.




No comments:

Post a Comment