KUCHING,
20 Jan: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tasik Biru Datuk Peter
Nansian Ngusie, seorang daripada lima pemimpin Parti Demokratik Progresif
Sarawak (SPDP) yang dipecat, hari ini berkata beliau menyerahkan nasibnya kepada kepimpinan
Barisan Nasional (BN).
Nansian,
yang juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, berkata berdasarkan
logik, beliau bertanding sebagai calon BN dan masih bertugas di bawah kerajaan
BN.
"Jadi,
kenapa saya perlu keluar daripada BN?... DUN yang saya wakili masih kerusi BN
dan saya tidak pernah dipecat daripada BN," katanya kepada pemberita ketika
ditanya mengenai status beliau selaku wakil rakyat tanpa parti.
Presiden
SPDP Tan Sri William Mawan berkata Nansian dan wakil rakyat lain, yang masih
cenderung menyokong BN, tidak boleh membawa bersama mereka kerusi DUN yang
mereka wakili memandangkan kerusi DUN terbabit telah pun diperuntukkan kepada
SPDP.
Keputusan
untuk menamatkan keanggotaan dalam parti empat wakil rakyat terbabit --
Nansian, Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, Adun Bekenu Rosey
Yunus dan Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang -- pada Ahad lepas, dibuat untuk
mengelak kekeliruan dalam kalangan anggota akar umbi parti dan orang ramai berhubung
kedudukan mereka dalam BN.
Keputusan
untuk memecat bekas Setiausaha Agung Datuk Sylvester Entri susulan beberapa
pertelagahan dengan Presiden dibuat pada mesyuarat majlis tertinggi yang
diadakan sebelum itu.
Bagaimanapun,
Nansian berkata kumpulannya tidak mahu menghabiskan masa berbalah dengan puak
Mawan, sebaliknya memilih untuk memperjelaskan tentang kedudukan mereka dalam
BN dan turun padang berkhidmat kepada rakyat.
"Gaya
kami semakin matang," katanya, sambil menambah pelancaran Kelab BN di pusat
khidmat Tasik Biru dan Mas Gading di Bau esok akan menjadi wadah untuk mereka
berkhidmat kepada pengundi di kawasan pilihan raya berkenaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment