PUTRAJAYA, (22 Mei, 2013) - Pendakwaan akan terus mengendalikan kes seorang gadis berusia 12 tahun enam bulan di Sabah yang didakwa dirogol seorang pengurus sebuah restoran berusia 40 tahun.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata
kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.
“Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat
kenyataan terbuka hari ini yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya,
kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini,
anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu,
dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan.
“Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham
dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk
selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan
bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun
pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan,” katanya
kepada pemberita hari ini.
Abdul Gani berkata memandangkan mangsa enggan
memberi keterangan, pasukan pendakwaan terpaksa bergantung kepada bukti lain
seperti laporan Asid Deoksiri bonukleik (DNA), laporan Jabatan Kebajikan
Masyarakat dan laporan pegawai penyiasat berkaitan mangsa serta memeriksa akaun
Facebook mereka, yang belum diperoleh.
“Dalam perkara ini, saya ada seorang saksi di mana kawan
perempuan itu duduk di belakang kereta, tetapi apabila duduk di belakang, apa
yang kita nampak adalah isu lain. Bagaimanapun, saya percayakan budak itu, jadi
kita memerlukan keterangan lanjut daripada beliau dan kita perlu menganalisis
keterangannya dengan teliti,” katanya.
Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol
mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira
10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika
kes sedang berjalan.
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad
kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama
ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.
Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad
Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan
untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang
dibuat pada 18 April.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang
Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa
untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar
kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai ‘Sogit’, iaitu satu
bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah.
Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau
dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan
daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk
bagi menyiasat isu berkenaan.
“Pada pandangan saya, pada masa ini tiada
bayaran ‘Sogit’ dari sudut perundangan. Maka saya mengesyaki ia sama seperti
rasuah. Jadi saya mengarahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia) masuk campur dalam perkara ini,” katanya.
Sementara itu, di KOTA KINABALU, Presiden Persatuan Ibu
Tunggal Sabah (PITS), Norhanida Anol mahu Riduan dihukum kerana mendakwa
tertuduh membawa ‘satu gejala atau penyakit baharu’ yang boleh merosakkan
masyarakat. “Ini adalah perkara yang
keji! Lelaki ini memberi satu platform kepada yang lain untuk bertindak
(merogol) dan lari daripada kesalahan (dengan mengahwini mangsa).
“Kita mempunyai banyak masalah ketika ini, dan
nampaknya kini kita juga terpaksa menangani gejala baharu seperti ini,” katanya
kepada Bernama.
Norhanida berkata beliau juga bimbang
perkahwinan antara tertuduh dan managsa akan menimbulkan isu seperti perbuatan
curang dan penderaan.
Beliau berkata PITS sebelum ini terpaksa
membantu wanita muda dan bayi mereka selepas ditinggal suami, keluarga serta
perogol mereka.
Beliau berkata hakikat bahawa mangsa berasal
dari keluarga miskin lebih membimbangkan kerana keluarga gadis itu mungkin akan
melepaskan tanggungjawab mereka kepada suaminya.
Aktivis sosial Datuk Patrick Sindu pula berkata perbuatan
Riduan melanggar undang-undang dan menyalah guna hak mangsa di bawah Akta
Kanak-Kanak 2001.
“Lelaki ini telah mengambil kesempatan terhadap
seorang kanak-kanak yang tidak berdosa untuk keseronokan sendiri, dan dia
berani mengatakan dia telah bertanggungjawab dengan mengahwini mangsa.
“Ini bukan kes ‘suka sama suka’ seperti yang
lelaki itu dakwa. Kerosakan telah berlaku dan dia ingat dia boleh lari daripada
dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil
Wanita dan Kanak-Kanak Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk Mariati Robert
berkata jika kes itu tidak dibicarakan sepenuhnya, maka “ini merupakan hari
yang menyedihkan untuk wanita dan gadis di Malaysia jika perogol fikir mereka
boleh memperalat Mahkamah Syariah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab
dan liabiliti.”
“Hakikat bahawa lelaki itu kini berkahwin
dengan mangsa tidak membebaskannya daripada pertuduhan merogol,” katanya.
Mariati juga menggesa Mahkamah Syariah
mempertimbang untuk mendakwa lelaki itu atas pertuduhan berzina.
Riduan didakwa pada 28 Feb lepas dan kes itu
ditetapkan untuk perbicaraan dari 1 hingga 4 Julai ini.
No comments:
Post a Comment