Wednesday, 1 May 2013

Komuniti 1Malaysia perantara kerajaan dan rakyat: Salleh



SAKSIKAN PENTARAMA … Salleh (duduk, dua kanan), Ado Peter (dua kiri), Lin (kiri sekali) dan yang lain bersama menyaksikan permentasan Pentarama.
TAHNIAH … Rahman (kanan) menyampaikan hadiah kepada juara Karaoke Pentarama Jabatan Penerangan.
TURUT MENGHIBUR … 
Jasri juara Sugandoi Kota Belud.

KOTA BELUD: Komuniti 1 Malaysia merupakan pertubuhan sukarela yang ditubuh dan diselia oleh Jabatan Penerangan dan menjadi perantara kerajaan dengan rakyat bagi menyokong gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said, berkata justeru kedua-duanya tidak dapat dipisahkan dan saling membantu bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Katanya, kumpulan komuniti ini ialah golongan berpengaruh yang mampu memainkan peranan sebagai penerima, penyebar maklumat serta bertindak sebagai agen penyampai maklum balas kepada kerajaan.

Salleh yang juga calon Barisan Nasional kerusi DUN Usukan, berkata melalui program sepakat ini, sudah tentu maklumat dan pemantapan sistem  maklumat kerajaan akan terus ke minda dan jiwa masyarakat setempat.

Katanya, sesuai dengan peredaran zaman dan ledakan  maklumat, amat wajar setiap masyarakat dapat menapis maklumat dan menerima maklumat itu sebagai corak baru dalam bermasyarakat.

Salleh berkata, pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Penerangan melalui program itu amat wajar disokong kerana ia menjadi ‘platform’ Jabatan Penerangan yang berkesan menyampaikan maklumat dasar-dasar dan isu-isu semasa negara dan usaha memenangi minda rakyat.
“Dengan transformasi  Komuniti 1Malaysia ini, adalah diharapkan agar matlamat gagasan 1Malaysia dapat dicapai melalui penglibatan pelbagai kaum dan etnik di seluruh negara dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan seterusnya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sepakat Komuniti 1 Malaysia bertempat di padang pekan di sini, pada Selasa (30 April, 2013).

Turut hadir calon Barisan Nasional Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Yunus Haji Saprin, ADO (Pentadbiran), Peter Jiton, Ketua PBS Usukan, Lin Harun dan kira-kira 500 masyarakat setempat.

“Alangkah bertuahnya kita sebagai penduduk Malaysia kerana dapat hidup tenteram dan selamat berkongsi menikmati kemakmuran negara ini,” ujarnya.

Majlis itu disajikan pelbagai persembahan permentasan Unit Pentarama Jabatan Penerangan dan pertandingan karaoke, juara sugandoi Kota Belud 2013 Jasri Madin juga terlibat menghibur pada hadirin.








No comments:

Post a Comment