“JANGAN tuduh kami sebagai pengundi hantu, kerana ia satu penghinaan kepada rakyat Malaysia kelahiran Sabah pada keseluruhannya”.
Itulah kata-kata yang diluahkan seorang suri rumah berasal
dari Sandakan, Sabah, Hasnawati Jura, 32, yang menjadi pengundi berdaftar di
Klang untuk sekian lama, bila menanggapi dakwaan pihak pembangkang kononnya
banyak pengundi hantu didatangkan dari Sabah ke Selangor.
Hasnawati yang kini menetap di Flat Bandar Bukit Tinggi 1
Fasa 4 berkata beliau kesal dengan tindakan pakatan rakyat yang menggelar
rakyat Sabah sebagai pengundi hantu dan menggunakan isu pengundi hantu sebagai
bahan kempen menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.
“Saya sudah bermastautin selama kira-kira 16 tahun di
Semenanjung dan sudahpun mengemas kini alamat rumah supaya dapat mengundi di
Klang dan isu menjadi pengundi hantu tidak timbul,” katanya di Klang, hari ini.
Hasnawati yang mempunyai tiga orang anak, berkata suaminya
juga merupakan anak kelahiran Sabah dari Kota Kinabalu, yang mengundi di Klang
untuk sekian lama, setelah memenuhi segala syarat yang ditetapkan.
“Saya nak tanya pembangkang, di mana bukti ada cubaan
membawa masuk pengundi hantu ke Semenanjung untuk memastikan kemenangan Barisan
Nasional (BN).
“Isu pengundi hantu yang cuba dibangkitkan pembangkang
tidak betul kerana mereka tidak tahu hujung pangkal cerita sebenarnya,” katanya
yang akan mengundi untuk kali ketiga di kawasan Parlimen Klang pada, PRU13 Ahad
ini.
Norijah Taliyur, 40, yang berasal dari Tenom, Sabah
berkata beliau telah mengundi untuk sekian lama di Klang dan menyifatkan
tuduhan pengundi hantu itu tidak berasas sama sekali.
Tuduhan itu, katanya boleh mengelirukan rakyat dan
mengancam kredibiliti pilihan raya pada keseluruhannya.
Beliau berkata usaha menjatuhkan imej Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) menggunakan isu pengundi hantu ketika berkempen adalah tidak wajar
kerana SPR sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali perlu dihormati
kedudukannya agar rakyat yakin kewibawaan badan itu melaksana pilihan raya
secara bebas dan adil.
Beliau yang sudah bermastautin di Semenanjung selama 22
tahun, kesal dengan tuduhan itu kerana ia seolah-olah menidakkan hak dan
kepentingan anak jati Sabah.
Sementara itu, Mohd Ibrahim Abdullah, 50, yang berasal
dari Membakut, Sabah berkata beliau bermastautin di Jalan Batu Nilam, Klang
untuk sekian lama.
“Kebanyakan mereka yang datang ke Klang untuk mencari
rezeki dan menetap di sana untuk sekian lama dan menggunakan saluran betul
menjadi pengundi,” katanya.
Data kawasan Parlimen Klang menunjukkan bahawa ada
sejumlah 95,871 pengundi berdaftar di kawasan itu.
Mengikut pecahan kaum, orang Melayu ialah seramai 31,330
orang (32.68 peratus), Cina 44,204 orang
(46.11 peratus), India, 18,961 orang (19.78 peratus), Orang Asli 65 orang
(0.07 peratus), Bumiputera Sabah 483
orang (0.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak 163 orang (0.17 peratus) manakala
665 orang (0.69 peratus) ialah dari kaum lain.
Sementara itu, Abdullah Jamrid, 48, yang mengetuai bilik
gerakan BN di Flat Bukit Tinggi 1 Fasa 4 berkata 80 peratus daripada penduduk
di flat itu yang mempunyai 1,000 unit rumah, terdiri daripada Bumiputera Sabah
yang sudah bermastautin di Klang.
“Mengikut pemeriksaan kami, mereka telahpun memenuhi
segala syarat dan kelayakan untuk mengundi di Klang dan tuduhan pengundi hantu
itu adalah melampau,” katanya.
No comments:
Post a Comment