Wednesday, 22 May 2013

Gerakan cadang semua parti komponen BN bergabung


KUALA LUMPUR: (22 Mei, 2013) - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bergabung menjadi satu parti sahaja bagi meraih kembali sokongan rakyat dan mengelakkan masalah perkauman, kata Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn hari ini.

Katanya, cadangan itu merupakan transformasi yang wajar dilakukan BN setelah mencapai keputusan buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memenuhi aspirasi rakyat negara ini terutama generasi muda sekarang.

“Ia juga selaras dengan perkembangan senario politik selepas PRU13 yang telah berlaku di mana golongan muda lebih menjurus ke arah menyokong parti dan bukannya memilih calon pada PRU13.

“Kami berpendapat semua parti perlu menjadi parti yang bukan berasaskan perkauman, di mana penggabungan semua parti-parti komponen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak dapat membawa imej baru daripada BN bagi memastikan sokongan mereka terhadap BN dapat dikembalikan dan menjaminkan perpaduan di kalangan anggotanya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di sini.

Pada PRU13 5 Mei lalu, Gerakan hanya menang satu kerusi parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi, manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya memperoleh tiga kerusi iaitu Pemanis di Johor serta Tanjong Papat dan Elopura di Sabah daripada 31 kerusi yang ditandingi. 

Chang berkata parti itu akan membincangkan keputusan penerimaan jawatan dalam kerajaan pada mesyuarat jawatankuasa pusat yang dijangka diadakan pada minggu ketiga bulan depan.

Katanya keputusan yang dibuat pada 11 Mei lepas terlalu tergesa-gesa kerana ia dibuat beberapa hari sejurus selepas PRU13 berlangsung.

Beliau berpendapat parti komponen BN tanpa mengira MCA atau Gerakan harus menerima jawatan dalam kerajaan walaupun kalah teruk pada PRU13 bagi meneruskan transformasi kerajaan BN.

“Melainkan jika anda tidak setuju dengan dasar BN maka anda menolak jawatan itu, tapi jika anda masih dengan BN jadi anda mesti setuju menerima jawatan yang ditawarkan untuk memastikan BN dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) melaksanakan transformasi mereka,” katanya.  

Ditanya mengenai penerimaan masyarakat terhadap Gerakan jika menerima semula jawatan dalam kerajaan, Chang berkata keputusan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan pusat dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang boleh diubah dan bukannya pada Mesyuarat Agung Tahunan parti.

 “Perubahan perlu dilakukan selaras dengan keperluan dan kehendak masyarakat bukannya tidak boleh (menerima jawatan kerajaan) buat selama-lamanya, oleh itu kami akan membawakannya kepada mesyuarat untuk membincangkan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Chang menyelar tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang mengadakan pelbagai perhimpunan bagi membantah keputusan PRU13 yang mendakwa kononnya mereka mendapat undi popular lebih banyak daripada BN.

“Mereka perlu faham negara ini mengamalkan sistem pilihan raya Westminster iaitu pengiraan jumlah kerusi dan bukannya berdasarkan bilangan undi, keputusan PRU13 juga diiktiraf seluruh negara. 

“Jika mereka mahu meminda sistem pilihan raya yang sedia ada ini, mereka seharusnya mengikuti prosedur iaitu membentang usul itu di Parlimen dan mendapat persetujuan semua pihak, bukannya dengan cara mengadakan perhimpunan bagi menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment