Baharuddin Alwi, yang berkhidmat di Jabatan
Agama Islam Sabah (JAIS) berkata statistik jabatan itu menunjukkan 8,859 lelaki
warga asing berkahwin dengan wanita di negeri ini dari tahun 2000 hingga
Oktober 2012.
Beliau yang merupakan Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Pentadbiran Syariah, di JAIS berkata 10,922 wanita warga asing pula
berkahwin dengan lelaki tempatan dalam tempoh sama.
Baharuddin berkata sejak tahun 2000 hingga 2013
jumlah perkahwinan warga asing yang direkodkan ialah 19,781.
Saksi itu berkata perkahwinan warga asing juga
meningkat daripada 399 pada tahun 2000 kepada 2,545 pada Oktober 2012.
Menjawab soalan pegawai pengendali Datuk Azmi
Arifin, saksi ke-78 itu berkata mengikut Undang-Undang Islam Negeri Sabah
setiap perkahwinan warga asing mesti didaftarkan dengan JAIS.
Ketika ditanya pengerusi Suruhanjaya Tan Sri Steve Shim
Lip mengenai relevan soalan perkahwinan warga asing itu, Azmi menjawab ia bagi
menunjukkan perkahwinan itu menyebabkan populasi penduduk Sabah meningkat.
Shim juga meminta Baharuddin mengemukakan
statistik perkahwinan sebelum tahun 2000, di mana saksi itu memberitahu bahawa
pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian kerana rekod sebelum tahun itu
dibuat secara manual.
Baharuddin juga berkata warga asing itu
termasuk Filipina, Bangladesh, Algeria dan Afganistan.
Saksi itu memberitahu Suruhanjaya bahawa warga
asing yang hendak berkahwin dengan rakyat tempatan mestilah mengemukakan
dokumen pengenalan diri yang sah seperti pasport, IMM13 iaitu resit pengenalan
diri sementara dan surat bancian.
Kepada soalan lain, Baharuddin berkata memang
terdapat perkahwinan gadis di bawah umur 16 tahun di negeri itu tetapi sebelum
perkahwinan mereka didaftar di JAIS, pemohon mesti mendapat kebenaran untuk
berkahwin dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Sementara itu, Penolong pengarah Unit Kanak-Kanak
di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah Mohd Azlan Hussin berkata jabatan itu
telah membantu kanak-kanak jalanan warga asing dengan menempatkan mereka di
Rumah Perlindungan Ihsan dengan menyediakan tempat tinggal, buku, alat tulis,
makanan dan pakaian.
Saksi ke-77 itu berkata sejak Jun 2007 hingga
Okt 2012, seramai 1,455 kanak-kanak jalanan berumur enam tahun hingga 18 tahun
tinggal di situ.
“Daripada jumlah itu, 1,119 adalah kanak-kanak
lelaki manakala 336 lagi perempuan,” katanya sambil menambah kanak-kanak ini
masuk ke Sabah bersama ibu bapa atau penjaga mereka tanpa sebarang dokumen
pengenalan diri.
Beliau menerangkan selepas mereka berumur 19
tahun, sekiranya tiada ibu bapa atau penjaga datang menuntut, mereka akan
ditempatkan di penempatan tahanan sementara orang dewasa.
Saksi itu juga tidak menafikan berlakunya
eksploitasi buruh kanak-kanak di samping masalah sosial lain melibatkan
kanak-kanak jalanan ini.
Sementara itu, saksi ke-79 yang merupakan ketua jurutera
Sabah Electric Sdn Bhd (SESB) Christiana Linus Majail, berkata pihaknya
menjalankan operasi secara bulanan di setiap kawasan setinggan di negeri itu
bagi membendung masalah kecurian talian elektrik.
Beliau berkata syarikat itu mencatat kerugian
besar akibat kecurian elektrik yang berlaku di lima kawasan setinggan di negeri
ini iaitu di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.
“Sebagai contoh di Kota Kinabalu dari tahun
2009 hingga tahun lepas jumlah kerugian direkodkan ialah RM3,717,720
membabitkan 33 kawasan setinggan dengan penghuni seramai 5,530,” katanya.
Kepada soalan sama ada tindakan mahkamah
diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini, Christiana berkata beliau
kurang pasti mengenai perkara itu.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah Datuk Siti
Aishah Mohd Asri pula menafikan jabatan itu tidak memberi peluang pekerjaan
kepada rakyat tempatan malah berkata peluang itu sentiasa terbuka kepada
mereka.
Beliau berkata jabatan itu telah menjalankan
promosi dalam sektor pertanian, peladangan dan pembinaan yang banyak dimonopoli
warga asing kepada rakyat tempatan tetapi majikan masih sukar menarik minat
mereka ke dalam sektor itu.
Beliau bersetuju dengan cadangan pegawai
pengendali Manoj Kurup bahawa sektor itu dianggap ‘dull, dirty, dangerous and
difficult’ (tidak menarik, kotor, bahaya dan sukar) oleh rakyat negeri itu.
Siti Aishah juga berkata negeri itu tidak
membenarkan majikan mengambil warga asing bekerja sebagai pengawal keselamatan
atas faktor keselamatan.
Saksi ke-76 itu berkata jabatan itu bertanggung
jawab dalam menguruskan permohonan lesen pengambilan pekerja asing yang
dikemukakan majikan.
Prosiding di hadapan lima anggota panel
diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong
bersambung esok.
Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor
Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan
Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas
peguam besar Sabah Tan Sri Herman J. Luping.
No comments:
Post a Comment