Thursday, 23 May 2013

Kebolehan guru di Sabah lebih baik berbanding Semenanjung: Masidi

KOTA KINABALU: Tahap kemampuan dan kebolehan guru-guru di Sabah adalah lebih baik berbanding dengan guru-guru di Semenanjung, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pelajaran Sabah, Datu Masidi Manjun.

Katanya, hal ini kerana masalah yang dihadapi oleh guru−guru di sini adalah berlainan dengan guru-guru di Semenanjung.

“Selalu kita bandingkan pencapaian pendidikan di sini dengan di Semenanjung seperti Terengganu yang telah dijadikan sebagai penanda aras.

“Tetapi lihat sahaja dari aspek geografi Sabah lebih besar daripada Terengganu, ada guru dan murid di Sabah yang terpaksa berjalan kaki setengah hari untuk pergi dan pulang dari sekolah, saya tidak rasa ada guru dan murid di Terengganu yang berhadapan dengam cabaran sedemikian,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Solidaririti dan Apresiasi sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada malam Rabu (22 Mei, 2013).

Oleh itu, katanya, semua pihak harus berpijak di bumi yang nyata apabila menilai negeri ini dari segi pencapaian pendidikan.

Katanya, walaupun guru−guru di Sabah melalui cabaran yang amat getir, namun semangat mereka untuk mendidik tidak pernah luntur dan semangat juang yang amat tinggi inilah yang menjadikan mereka lebih baik dari guru−guru di tempat lain.

"Dalam pada itu, Sambutan Hari Kemerdekaan yang akan disambut secara besar−besaran pada tahun ini bermula Julai sehingga Sambutan Hari Malaysia pada September nanti juga akan membuka lembaran baru bagi mengingati tentang segala yang telah dicapai oleh Sabah dalam tempoh 50 tahun ini," katanya.

“Tidak terkecuali dalam bidang pendidikan, pencapaian yang diperolehi di negeri ini harus dinilai berdasarkan keadaan dan dituasi yang telah dilalui.

Sementara itu, majlis pada malam tersebut turut menobatkan beberapa para guru yang memberi sumbangan dan jasa dalam dalam pendidikan di negeri ini melalui Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Pensyarah Inovatif, Anugerah Bakti Pedalaman, Anugerah Pemimpin Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Anugerah Pusat Sumber Cemerlang, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Anugerah dan Anugerah KHas Guru Sejati Lahad Datu.

Selain itu, majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 guru dari seluruh Sabah itu juga turut menyaksikan pelancaran buku Sejarah Perkembangan Pendidikan di Sabah, Pen A, Logo ‘Guru Mengajar Murid Belajar, dan Lagu ‘1Agenda 1Impian’.

Kata Masidi, acara pelancaran yang diadakan itu merupakan sumbangan kreatif dan inovatif yang cemerlang oleh guru-guru di Sabah dan perlu diberi penghargaan yang tinggi bagi menjana kecemerlangan Jabatan Pelajaran Sabah yang berterusan.

Sementara itu, Masidi turut menyifatkan ciptaan Pen A oleh Androd Sadian, seorang guru Fizik di SMK Tandek Kota Marudu menunjukkan bahawa kemampuan guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman seharusnya tidak dipandang rendah.

“Pen yang dicipta untuk memudahkan para pelajar menjwab soalan dalam mata pelajaran Fizik ini bukan sahaja yang pertama wujud di Malaysia malah berkemungkinan besar menjadi yang pertama dicipta di dunia juga,” katanya.

Sementara itu, menurut Androd, Pen A yang telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Torray Science Foundation dan Kementerian Pelajaran Malaysia ini merupakan satu alternatif kepada Peraturan Tangan Kiri dan Tangan Kanan Fleming di dalam subjek Fizik Keelektromagnetan.

Pen A dijual pada harga RM7.50 dan akan menemui pasaran di seluruh negara mulai bulan depan termasuk akan dipasarkan di negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga.

Sementara itu, menurut penulis buku Sejarah Perkembangan Pendidikan di Sabah, Dr. Dayu Sansalu, buku tersebut membantu pembaca dalam mengetahui tentang Sejarah pendidikan di Sabah bermula dari tahun 1881 sehingga 1981.

“1881 merupakan tahun permulaan kepada pendidikan moden di Sabah dan 1981 adalah tahun wujudnya sistem Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),” kata Dr. Dayu.

Katanya, buku yang mengandungi 7 bab dan lebih 300 muka surat itu juga menceritakan tentang sistem Pendidikan Sekolah Cina di negeri ini.

No comments:

Post a Comment