Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata cadangan besar dan
penting bagi memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh
setiap parti komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira
keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
“Selepas mengambil kira apa yang berlaku dalam PRU lepas
kalangan pimpinan BN melontarkan pandangan apakah wajar BN dilihat semula
kerana kerjasama yang wujud sekarang ialah penggabungan 13 parti yang menjadi
komponen BN dengan setiap parti mempunyai perlembagaan sendiri dan cuma
bergabung atas nama BN.
“Ada yang berpendapat mungkinkah sudah sampai masa bahawa
penggabungan itudapat dibentuk dalam satu situasi yang lebih mantap iaitu BN
sebagai sebuah parti politik, bukan lagi
gabungan pelbagai parti politik,” katanya mengulas cadangan parti Gerakan yang
mahu BN bersifat parti tunggal seperti mana yang dinyatakan pemangku
presidennya Datuk Chang Ko Youn dua hari lepas.
Bercakap kepada pemberita di sini (Phuket, Thailand) pada 24 Mei, 2013, Muhyiddin berkata
cadangan itu mempunyai asas tetapi menuntut setiap parti melakukan kajian
mendalam dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan anggota parti
masing-masing kerana ia melibatkan soal organisasi dan struktur penubuhannya.
Beliau berkata walaupun cadangan itu mungkin berdepan
tentangan tetapi yang penting setiap anggota parti perlu melihat ke depan dan
jika merasakan ia wajar dilakukan, satu mekanisme pelaksanaan yang boleh
diterima semua anggota parti yang bergabung dalam BN perlu dikemukakan segera.
"Ini adalah lebih dari soal bermuhasabah, kita kena
lihat sendiri struktur BN yang sedia ada bahawa apakah sudah sampai ketikanya
sebuah parti yang dinamakan BN dibentuk, bukan lagi dalam bentuk gabungan
parti-parti komponen BN tetapi BN sebagai sebuah parti politik," katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan sebuah makmal politik
diadakan bagi mencerna idea tentang format baru BN seperti yang dicadangkan di
mana semua pihak, termasuk kalangan bukan anggota parti yang mengambil berat
mengenai masa depan negara dan ingin memberi sumbangan turut dilibatkan.
“Bagi saya itu sesuatu yang agak besar tetapi saya juga
berpendapat ia penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh kekalkan
kedudukan sebegini untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi yang pasti
persoalan ini perlu dijawab dalam tempoh yang terdekat dan kalau ia wajar,
bagaimana hal itu hendak dilaksanakan.
“Ini perlu difikirkan untuk tempoh beberapa bulan dan
setahun ke hadapan, kalau sudah dianggap boleh selepas makmal itu dibuat
mungkin boleh panggil satu konvensyen maka pemimpin BN boleh duduk bersama bagi
membincangkan hala tuju dan survival parti di masa depan,” katanya.
Ditanya apakah beliau akan membawa cadangan penubuhan makmal
itu ke peringkat lebih tinggi, Muhyiddin berkata: “Di peringkat BN saya pun
telah beritahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin satu
daripada perkara yang kita akan teliti ialah struktur BN itu sendiri, bukan
lagi sekadar kosmetik tetapi secara serius bagaimana ia harus berubah dari yang
lama kepada struktur baharu yang lebih ke hadapan.
Beliau berkata cadangan itu mengambil kira perubahan
pemikiran masyarakat, pengundi dan generasi muda yang sebahagiannya tidak mahu
melihat parti yang dikatakan dibentuk berasaskan kaum.
Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri berkata
bedah siasat BN berhubung keputusan pilihan raya umum yang sedang dilakukan
oleh sebuah badan yang dilantik khas boleh diketahui selewat-lewatnya Julai
ini.
Muhyiddin berkata bagi memastikan analisis yang tepat, bebas
dan telus pasukan itu dibentuk dari kalangan mereka daripada luar parti bagi
memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk mengemukakan pandangan asalkan
berasas.
“Kita tidak mahu berselindung, kita hendak tahu apakah sebab
kita menang atau kalah, apa faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan,
dan lebih lanjut daripada itu adalah perakuan-perakuan yang kita akan buat
untuk menentukan supaya BN terus relevan dan bagaimana kita menangani tempoh
lima tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment