Thursday, 2 May 2013

Lagi AMT PKR Sabah dan 150 anggota SAPP Lumadan keluar parti


PAPAR: Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menerima tamparan hebat menjelang pilihan raya umum Ahad ini apabila seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi (AMT) negeri, Abdul Aziz Abdul Hamid keluar parti untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Penyertaan beliau ke dalam BN diumumkan pada majlis bersama rakyat di Kampung Dambai, dekat sini hari ini, yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Pada 25 April lepas, empat ketua cabang dan seorang timbalan ketua cabang PKR keluar parti untuk menyertai Umno.

Mereka ialah ketua cabang PKR Sandakan, Mazhry Nasir, ketua cabang PKR Kota Belud, Saidil Simoi, ketua cabang PKR Kalabakan, Irianshah Yunus, pemangku ketua cabang PKR Putatan, Abdul Zainal Atin dan timbalan ketua cabang PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan.

Terdahulu, dalam ucapannya sempena program bersama rakyat itu, Musa berkata kemasukan AMT tertinggi PKR negeri itu membuktikan rakyat mulai hilang kepercayaan terhadap perjuangan pakatan pembangkang.

Sementara itu, di BEAUFORT, seramai 150 anggota Parti Maju Sabah (SAPP) diketuai pengarah jentera SAPP kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Isa Hassan menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada majlis itu.

Beliau berharap kira-kira 1,800 anggota SAPP di DUN Lumadan turut mengikut jejak mereka.

“Keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) bakal memenangi pilihan raya umum ke-13 ini menarik perhatian jentera SAPP untuk menyertai BN,” kata calon BN Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.  

No comments:

Post a Comment