KOTA KINABALU: (20 Mei, 2013) - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin di Sabah hari ini diberitahu faktor geografi dan politik menyebabkan jumlah populasi pendatang asing di negeri itu meningkat dengan drastik sejak tahun 1963 sehingga 2012.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk
Abu Bakar Mat berkata faktor tersebut menyebabkan pengeluaran kad pengenalan
(IC) biru kepada golongan pendatang meningkat di Sabah dalam tempoh 49 tahun
itu.
Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Abu Bakar berkata sebanyak 5,753 IC biru
dikeluarkan kepada warga asing di Sarawak selepas mereka memperoleh taraf
sebagai warganegara sejak 1963 sehingga akhir tahun lepas.
Ditanya Manoj mengenai pendapatnya mengapa jumlah
pengeluaran IC di Sarawak amat ketara perbezaaanya berbanding 66,000 di Sabah
dalam tempoh yang sama, Abu Bakar berkata ia bergantung kepada keadaan di
negeri masing-masing.
“Secara peribadi saya nampak lokasi di Sarawak berbeza
dengan di Sabah. Kedudukan geografi di
Sabah yang hampir dengan Filipina dan juga faktor politik menyebabkan jumlah
populasi warga asing meningkat di Sabah berbanding di Sarawak,” katanya.
Saksi ke-63 itu juga berkata kedudukan Sabah yang
berdekatan dengan perairan laut dan juga bersempadan dengan Filipina juga
merupakan faktor pendatang asing berhijrah ke negeri itu berbanding Sarawak.
Ketika ditanya mengenai cadangannya bagi menangani masalah
pendatang asing di Sabah, Abu Bakar berkata ia boleh dilakukan dengan
mengetatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sempadan negeri itu dan juga
dengan mewujudkan lebih banyak pintu masuk imigresen bagi memastikan kemasukan
secara sah.
Abu Bakar yang memegang jawatan itu sejak tahun 2003 juga
berkata pada 1966 sehingga 1980 permohonan IC di Sarawak mestilah disertakan
dengan sijil perakuan taraf dan sijil kelahiran.
Beliau berkata selepas 1980 hanya sijil kelahiran sahaja
diperlukan untuk memohon IC dan sijil perakuan taraf tidak boleh lagi
digunakan.
Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong juga diberitahu
bahawa implikasi sosial seperti gejala dadah, mencuri, kesihatan, dan kebersihan
banyak berlaku di negeri itu disebabkan masalah setinggan yang didiami rakyat
tempatan dan juga warga asing.
Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti
Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala
Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk
Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan
Sri Herman J. Luping.
Penolong pengarah penguatkuasa kanan Dewan Bandaraya Kota
Kinabalu, Mohammed Amir Izzat berkata selain masalah sosial, kewujudan rumah
setinggan itu juga mencacatkan pemandangan indah di ibu negeri Sabah.
Ditanya pegawai pengendali Jamil Aripin, Mohammed Amir
berkata pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan operasi merobohkan setinggan
di situ.
“Setakat bulan Mei tahun ini sebanyak 253 buah rumah
setinggan dirobohkan. Pada 2012 sebanyak
324 buah struktur setinggan dirobohkan, pada 2011 sebanyak 714 dirobohkan, 2010
pula sebanyak 510 buah dirobohkan dan pada 2009 sebanyak 1,520, buah rumah
berjaya dirobohkan,” katanya.
Saksi ke-64 itu berkata penghuni setinggan terdiri
daripada rakyat tempatan dan juga warga asing yang mendiami di kawasan tanah
milik kerajaan dan juga di tanah lot milik persendirian.
Beliau menjelaskan terdapat kemudahan bekalan air,
elektrik yang dibuat sambungan secara tidak sah di samping jalan raya.
Saksi itu juga berkata kebanjiran warga asing di bandaraya
itu banyak menyumbang kepada aktiviti yang tidak bermoral kerana ramai antara
mereka bekerja di pusat hiburan di samping pihaknya menerima ancaman dan
kenderaan mereka dirosakkan semasa operasi meroboh setinggan itu.
Mohammed Amir juga menafikan dakwaan terdapat pendatang
asing memperoleh lesen perniagaan menggunakan IC palsu.
“Berkemungkinan mereka adalah sebagai rakan kongsi, tetapi
jika ada sudah pasti pihak kami akan menolak permohonan mereka,” katanya lagi
yang tugasnya antara lain memproses lesen perniagaan dan mengawal selia
pertumbuhan setinggan di bandaraya itu.
Abd Rahim Katiman, pembantu penguatkuasa Majlis Daerah
Tenom pula memberitahu Suruhanjaya bahawa pada tiap-tiap tahun pihaknya akan ke
kawasan setinggan untuk memastikan rekod sentiasa dikemas kini.
Beliau berkata di Tenom hanya terdapat satu kawasan
setinggan sahaja dengan 34 buah rumah dan 174 penghuni yang terdiri daripada
warga Pakistan, Suluk Bajau Jawa dan Murut dan mereka bekerja sebagai petani,
peniaga dan buruh.
Saksi ke-65 itu juga berkata sehingga 2007 hingga 2013
pihaknya tidak menerima sebarang aduan pendatang asing menjalankan perniagaan
di situ.
Kassim Selamat, ketua unit setinggan Majlis Perbandaran
Sandakan berkata seramai 32,095 orang tinggal di 43 koloni setinggan dan 19,370
adalah bukan warganegara Malaysia.
Bagaimanapun beliau tidak pasti mereka dari negara mana
tetapi kebanyakannya adalah dari selatan Filipina.
Beliau juga bersetuju bahawa Sandakan mempunyai masalah
pendatang warga asing yang sangat ramai dan tinggi akibat kebanjiran pendatang
asing di situ.
Kassim berkata sebanyak 4,620 buah rumah setinggan
dirobohkan sejak tahun 2000 hingga 2008 manakala sebanyak 1,080 berjaya
dirobohkan antara tahun 2009 hingga 2012.
Saksi ke-66 itu berkata sebelum dirobohkan pihaknya akan
memberi notis 14 hari atau sebulan sebelum kerja-kerja meroboh dilakukan.
Majid Patola, yang bertugas sebagai merinyu Perbandaran
Tawau dalam keterangannya berkata seramai 19,455 penghuni setinggan di situ
dengan 11,904 adalah bukan warganegara.
Beliau juga berkata wabak penyakit seperti taun banyak
berlaku di situ kerana ketiadaan sistem pembetungan yang tidak betul dan
kekurangan bekalan air bersih.
Perbicaraan bersambung esok. Seramai tujuh saksi dipanggil
memberi keterangan hari ini.
No comments:
Post a Comment