Thursday, 14 June 2012

Jalan raya Kg Pahu hingga Kg. Lipantai perlu dinaik taraf


RANAU: Slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan didesak supaya benar-benar dilaksanakan dan bukannya sekadar menarik sokongan rakyat.
Slogan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan perlaksanaan projek yang tepat dan menepati citarasa rakyat setempat.

Ketika mengulas lanjut slogan itu, Ketua Bahagian STAR Ranau, Jalibin Paidi mendesak supaya jalan raya yang menghubungkan Kampung Pahu dengan, Kg. Mohimboyon dan melalui Kg. Lipantai segera dinaiktaraf oleh kerajaan.
“Jalan yang dianggarkan sejauh 5km itu kini dalam keadaan amat uzur dan sudah tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecuali motosikal.

“Jika jalan ini diperbaiki, bukan sedikit rakyat Ranau terutama dalam DUN Karanaan yang akan menikmatinya. Penduduk di Kg. Tudan hingga Kg. Himbaan akan turut menikmati faedah pembinaan jalan ini. Bahkan, penduduk kampung kelahiran Datuk Masidi Manjun iaitu Kg Terelobou juga akan sama-sama dapat menikmati pembinaan jalan raya ini,” jelas Jalibin lagi.

Buat masa ini, semua pengguna jalan raya sepanjang jalan dari Kg Tudan hingga Kg Pahu terpaksa melalui jalan BunduTuhan atau jalan Randagong untuk sampai ke Pekan Ranau.
“Jika perkara ini dilaksanakan, maka perjalanan yang memakan masa yg lama dapat dijimatkan dari segi masa, kos dan tenaga,” tambahnya.

Jalibin berkata, jika benar rakyat diutamakan, jalan ini seharusnya diberi keutamaan dalam pembangunan oleh kerajaan sedia ada. Apa yg dikesalkan, semua kampung kini diberi pembangunan pemasangan bekalan air paip yang menelan kos jutaan ringgit sedangkan hampir semua kampung yang terlibat langsung tidak memerlukan pembangunan itu kerana semuanya sudah dibekalkan dengan bekalan air graviti percuma, bersih dan mencukupi.

Beliau juga menyentuh bahawa terlalu banyak pembangunan kerajaan sekarang yang belum diperlukan rakyat atau bukan keutamaan rakyat.
Beliau mengambil contoh pemasangan sign board ‘Tak Nak Merokok’, pembinaan kelas kabin, pemasangan bekalan elektrik solar di sekolah dan pemasangan tangki raksasa ‘rain harversting’ kononnya untuk mengatasi masalah bekalan air d sekolah luar bandar.

Seorang penduduk d Kg. Tudan, Imi Bansinai pula ketika ditanya tentang desakan dinaik taraf jalan yang dimaksudkan menyatakan sokongan desakan Jalibin itu.

“Hanya segelintir yang boleh berfikir untuk mengemukakan cadangan sebegitu. Ternyata cadangan ini amat bernas dan benar-benar mewakili suara rakyat,” ujar Imi.



Dikeluarkan melalui KG Publicist -  012-8856465



No comments:

Post a Comment